PRU15: Dijangka Tiada Parti Lebih Dominan? – Presiden IKRAM

PRU15: Dijangka Tiada Parti Lebih Dominan? - Presiden IKRAM

Selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia telah melalui empat belas proses pilihan raya umum bermula tahun 1959 dan terkini, semua rakyat menunggu tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dikhabarkan akan berlaku pada waktu terdekat. 

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen yang membolehkan rakyat dilibatkan dalam sistem pemerintahan negara dan raja-raja menjadi lambang taat setia rakyat.  

Sistem ini membuka jalan kepada rakyat untuk memilih wakil-wakil dalam proses pilihan raya yang mana Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan setiap lima tahun sekali untuk memilih perwakilan pada peringkat pusat dan kebanyakan negeri. 

Rakyat diberikan peluang memilih calon daripada parti politik yang disokong untuk dinaikkan sebagai pemimpin yang dipercayai.

Sepintas Lalu PRU

Perkembangan PRU di Malaysia mutakhir ini telah menyaksikan politik bergerak dengan dinamik dan semakin sukar dijangkakan seiring dengan kepantasan perkembangan global melalui dunia digital. 

Melihat ke belakang sepintas lalu ketika PRU11 pada tahun 2004, ia telah menyerlahkan keupayaan Barisan Nasional (BN) menerusi kemenangan majoriti kerusi terbesar sejak pilihan raya 1978.

Ia suatu kemenangan yang mengangkat BN sebagai parti dengan kekuatan yang sukar ditembus, meneruskan legasi kemenangan sebelumnya.  

Disangka panas hingga ke petang, kiranya hujan di tengah hari. Begitulah juga yang terjadi kepada BN dalam PRU12 pada tahun 2008 dengan keputusan memeranjatkan ramai penganalisis politik apabila BN buat pertama kalinya dinafikan kemenangan majoriti dua pertiga sepertimana yang dirangkul olehnya pada siri-siri PRU sebelumnya.

BN hanya beroleh 140 kerusi Parlimen dan baki 82 kerusi Parlimen dikuasai oleh pembangkang pada masa itu termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). 

PRU13 meneruskan keputusan konsisten dengan pengumuman BN menang dengan majoriti tipis apabila hanya menang 133 kerusi Parlimen manakala Pakatan Rakyat memenangi 89 kerusi parlimen. 

Akhirnya dalam PRU14  pada tahun 2018, Pakatan Harapan meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu melalui kerusi yang dimenangi sebanyak 113 kerusi diikuti oleh Barisan Nasional (BN) dengan 79 kerusi.

Bagaimana PRU15 Dijangka?

Berdasarkan analisis data keputusan PRU12 sehingga PRU14, ia memberikan gambaran bahawa rakyat Malaysia sudah mula mengalih sokongan dan kesetiaan mereka daripada BN kepada parti atau gabungan parti lain.

Situasi ini memberikan isyarat bahawa melalui gabungan parti yang konsisten dan berpanjangan, ia mampu mengubah landskap undian, menggugat serta menumbangkan rejim yang sudah lama berkuasa di Malaysia. 

Peralihan undi yang ketara dan kemunculan parti atau gabungan parti politik yang baru menunjukkan tanda aras demokrasi yang sihat dalam amalan sistem politik di Malaysia. 

Terkini pasca-PRU14 menunjukkan BN menang selesa dan mudah menerusi keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor walaupun kadar peratusan yang keluar mengundi direkodkan rendah iaitu hanya 54.9 peratus di Johor dan  65.86 peratus di Melaka.

Ini jelas memberikan gambaran bahawa politik bergerak dengan dinamik dan terhasil melalui percaturan yang berstrategi.

Bagi PRU15 pula, penganalisis politik tidak menolak kemungkinan bahawa tiada parti yang akan mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Kerjasama Demi Rakyat

Hakikatnya, apabila tiada parti atau mana-mana gabungan parti politik yang memiliki kekuatan yang terlampau seperti ini, mereka akan menjadi saling bergantung dan perlu bekerjasama untuk mencapai persefahaman dan kesepakatan sekali gus menjauhi persengketaan. 

Tentunya ini akan membawa manfaat kepada rakyat dan pemerintah akan lebih bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

Ketika kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan pada April tahun lalu, terhasil beberapa usaha yang dilihat sebagai kejayaan untuk rakyat dan negara seperti Akta Antilompat Parti, pewartaan Undi18 dan Pendaftaran Pemilih serta yang terbaru adalah kesepakatan untuk mengadakan Akta Pendanaan Politik. 

Oleh itu, kerjasama seperti ni sekali gus memastikan integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran yang mana ia turut bertindak sebagai salah satu mekanisme semak dan imbang yang kuat untuk menaikkan kecekapan dan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

Dengan demikian, rakyat dan pemimpin berada dalam solidariti yang membolehkan negara memperoleh kebaikan dan manfaat yang besar.

Apa yang disaksikan dalam lipatan sejarah mana-mana negara, apabila sebuah parti atau kerajaan berkuasa menjadi terlampau kuat, maka ia mengakibatkan penumpuan kuasa yang berlebihan.

Keadaan ini berupaya membawa kepada penyalahgunaan kuasa, terlalu selesa sehingga sukar menerima perubahan ke arah kebaikan dan menjadi terlalu berpengaruh sehingga memudahkan ruang untuk memanipulasi sistem demi kepentingan tertentu.

Keadaan ini membawa kepada kelemahan dalam tadbir urus, pemimpin cenderung untuk terlalu mementingkan kelangsungan hidup sendiri dan menumpu untuk meluaskan kuasa serta pengaruhnya hingga menjadi alpa dan terjejas fokus dalam pembangunan nusa, bangsa dan negara.

Akibatnya, rakyat akan menderita dan negara menjadi semakin huru-hara akibat kepincangan yang berlaku. 

Demokrasi dalam sebuah negara akan terus berlangsung untuk memanfaatkan rakyat dan negara sekiranya rakyat dilibatkan sebagai suara yang harus didengari dan dianggap penting sebagai alat semak dan imbang dalam memperkukuhkan tadbir urus negara ke arah pembangunan negara yang mampan. 

Oleh itu, kerjasama di antara pemimpin dan rakyat adalah mustahak dalam mencapai kemakmuran negara kerana tanpa kuasa rakyat, tiadalah kuasa pemimpin. 

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia