PRU15: Bersihkan Kempen Daripada Sentimen Perkauman

PRU15: Bersihkan Kempen Daripada Sentimen Perkauman | IKRAM

Tidak sampai sebulan selepas rakyat Malaysia meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan, Malaysia dikejutkan pula dengan pembubaran parlimen pada 10 Oktober 2022 yang lepas.

Rakyat akan keluar untuk mengundi pada 19 November nanti bagi memilih barisan pemimpin negara yang baharu. Ia satu tanggungjawab dan kewajipan yang besar untuk melaksanakannya dan bukannya pilihan bagi seseorang yang bergelar rakyat Malaysia yang layak mengundi.

Sesungguhnya Malaysia adalah tanah air yang mana semua rakyat berusaha untuk memajukannya dan sesekali tidak sanggup negara ini diruntuhkan oleh sesiapa atau mana-mana pihak sekalipun. 

Namun, bibit-bibit kejatuhan negara yang dicintai ini telah mula dirasai oleh semua pihak di dalam dan luar negara.

Ini bukan kerana Malaysia ketandusan sumber alam atau kemelesetan kepakaran sumber manusianya, tetapi kerana keruntuhan akhlak pemimpinnya yang rakus dengan kuasa dan kecintaan material sehingga sanggup merompak harta rakyatnya sendiri. 

Tuntutan Cintakan Negara

Negara kini menghadapi pelbagai krisis seperti kejatuhan ekonomi, permasalahan politik dan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin dan paling meruncing adalah berleluasanya amalan rasuah yang telah menjadi barah di setiap peringkat sistem pentadbiran negara. 

Apakah peranan kita sekiranya kita cintakan negara ini? Wajarkah kita berdiam diri atau berusaha sedaya upaya untuk memulihkan keadaan yang melanda negara? 

Ia menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan pemimpin yang dipilih mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang dapat merubah corak pentadbiran negara kepada yang lebih baik dan membangunkannya agar dipandang mulia semula di mata dunia. 

Hari mengundi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) ini merupakan hari penentuan kepada masa depan Malaysia yang gemilang yang semua rakyat idamkan. Siapakah yang mempunyai kuasa menentukannya sekiranya bukan kita yang mengundinya? 

Kuasa pemimpin masa depan adalah kuasa yang kita berikan pada mereka. Peranan kita sebagai rakyat yang cintakan negara ini adalah memilih mereka yang mempunyai ketiga-tiga ciri asas pemimpin iaitu berkemampuan, amanah dan jujur.  

Janganlah kita perjudikan negara dan masa depan generasi kita akan datang tanpa membuka mata kita kepada realiti yang berlaku di sekeliling kita.

Adakala taasub dan ketaatan kita kepada seseorang pemimpin itu menutup mata kita akan kebenaran sebenarnya. Maka, jadilah rakyat yang bijak dalam memilih pemimpin yang terbaik demi negara tercinta.

Usah Perjudikan Perpaduan

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk dengan kewujudan pelbagai kelompok kaum, agama dan budaya yang berbeza sejak hampir seratus tahun. 

Kemasukan warga asing telah menyebabkan komposisi masyarakat semakin berbilang bangsa. Kepelbagaian ini sebenarnya adalah aset penting bagi negara dan seringkali menjadikan masyarakat luar mencemburuinya. 

Namun, kepelbagaian ini juga terkadang sering disalahgunakan oleh calon pilihan raya bagi meraih populariti dan sokongan rakyat. Sentimen perkauman dan agama telah menjadi lumrah setiap kali pilihan raya umum sebelum ini dan kini telah pun banyak dilaungkan kembali.

Dengan pelbagai isu dan krisis yang melanda negara, rakyat sepatutnya memikirkan bagaimana memulihkan negara dan hendaklah berfikir dengan lebih terbuka akan segala sentimen perkauman dan agama yang dibawa.

Rakyat perlu sedar serta tidak hanya terikut-ikut dan mudah dikelirukan sehingga tersasar jauh daripada isu sebenar. 

Sebenarnya tindakan sesetengah pihak yang mempermainkan sentimen perkauman dan agama dilihat tidak relevan lagi. Pemain-pemain politik perlu berubah dan jujur.

Rakyat sudah matang, pemikiran mereka telah berubah. Ramai lebih gembira jika negara mencapai perpaduan dan keharmonian yang boleh menjamin kehidupan mereka yang lebih selesa.

Anehnya, sentimen perkauman ini hanya dilaungkan ketika pilihan raya dan ia terbenam sesudah itu. Tetapi sentimen perpaduan masyarakat disemarakkan bagi menarik perhatian rakyat kepada agenda mereka.

Rakyat kini sudah matang dan tidak akan terpedaya dengan permainan politik yang tidak bertanggungjawab ini.

Perlu diingatkan kepada ahli politik bahawa kempen yang berunsurkan perkauman adalah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, manakala berkempen dengan menyentuh sensitiviti agama adalah pengaruh tidak wajar dan kesalahan di bawah Seksyen 9 dalam Akta yang sama. 

Undi18 akan dilaksanakan pada PRU15 nanti dan kita tidak mahu anak muda diheret kepada kaedah politik yang tidak sihat ini.

Sudah sampai masa untuk ketepikan isu perkauman, sebaliknya berfikir bagaimana hendak membina negara dan memajukan kehidupan yang harmoni dalam pelbagai perbezaan.

Ahli-ahli dan parti politik diharap tidak menggunakan isu-isu perkauman serta agama untuk mencapai kepentingan peribadi dan parti.

Transformasi politik ini perlulah mencapai kematangan dalam politik yang membahaskan secara terbuka tentang dasar dan idea untuk memajukan masyarakat dan bukannya politik perkauman.

Diharapkan PRU15 ini dapat membuahkan satu perubahan landskap politik tanah air yang lebih matang oleh semua ahli politik dan juga pengundi. Perubahan ini seterusnya memungkinkan pemulihan negara yang lebih holistik dan berkesan bagi kesejahteraan rakyat dan negara.

Walau kita berbeza, namun kita tetap teguh bersama bagi menjamin kemakmuran dan keharmonian negara yang kita cintai ini.

Dr Sabariah Baharun
Ketua Kluster Perpaduan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia