PRN: Tolak Persepsi Yang Membawa Prejudis

PRN: Tolak Persepsi Yang Membawa Prejudis | IKRAM

Menuju Pilihan Raya Negeri (PRN), begitu banyak berita dipolitikkan dan sentimen perbezaan diperbesarkan hingga menjadi-jadi. Ia adalah sesuatu yang lumrah terjadi di tanah air ini setiap kali menjelang pilihan raya. 

Justeru itu, setiap orang harus bersikap berhati-hati dengan maklumat yang diterima. 

Senjatakan diri dengan maklumat yang  benar, tepat dan luaskan pengetahuan agar tidak mudah menjadi mangsa manipulasi pihak yang berniat menipu fikiran, menyebarkan naratif negatif atau berunsurkan fitnah. Berinformasi adalah kunci kekebalan diri.

Ada segelintir pihak yang berkepentingan membina persepsi, membawa naratif yang merosakkan dan memecahbelahkan masyarakat. Mereka memanipulasikannya sebagai alat untuk mendapatkan pengaruh dan kemenangan. 

Perkara yang tidak ada boleh diwujudkan, begitu juga perkara yang ada boleh dihilangkan. Pembinaan persepsi yang membawa kepada prejudis dianggap senjata strategik untuk memenangi hati pihak sasaran.

Persepsi dan Ujian Doll

Ujian Doll, atau sering dirujuk sebagai ‘Doll Test’, ialah ujian psikologi yang dibangunkan oleh Kenneth dan Mamie Clark pada tahun 1940-an. Ujian ini bertujuan untuk mengukur persepsi dan pilihan kanak-kanak terhadap warna kulit dan bangsa yang berbeza.

Kaedah ujian ini melibatkan dua anak patung yang berkulit cerah dan satu lagi berkulit gelap, yang diletakkan di hadapan kanak-kanak tersebut. Mereka diberikan satu siri soalan yang direka untuk mengkaji kecenderungan kanak-kanak ini terhadap anak patung itu.

Setelah itu, mereka diminta untuk memilih anak patung yang mereka suka dan mahu bermain dengannya. Turut ditanya adalah anak patung mana yang dirasakan lebih pintar dan bagus.

Ujian anak patung pada asalnya dibangunkan untuk menyiasat kesan pengasingan kaum terhadap perkembangan kanak-kanak Afro-Amerika. Semasa eksperimen ini dijalankan, sentimen perkauman masih kuat di Amerika Syarikat. 

Keputusan ujian menunjukkan bahawa kebanyakan kanak-kanak Afro-Amerika lebih suka memberikan sifat positif kepada anak patung berkulit cerah, manakala mereka memberikan tanggapan negatif kepada anak patung berkulit gelap.

Penemuan daripada Ujian Doll menyimpulkan, kewujudan prasangka dan sikap stereotaip kaum dalam kanak-kanak Afrika Amerika disebabkan oleh pengalaman pengasingan dan diskriminasi yang dialami mereka dalam kehidupan seharian. 

Ujian anak patung telah menjadi alat penting dalam penyelidikan psikologi dan sosial untuk memahami persepsi kaum dan keutamaan kanak-kanak terhadap perbezaan kulit dan bangsa.

Dapatan ujian ini juga telah digunakan untuk menyiasat kesan media, pendidikan dan persekitaran sosial yang lain terhadap persepsi kanak-kanak terhadap bangsa dan warna kulit.

Penting untuk diambil perhatian bahawa Doll Test ini mempunyai kritikan dan batasannya. Namun, ujian ia kekal sebagai sumbangan penting kepada pemahaman kita tentang persepsi individu dan kesan sosial yang mempengaruhi persepsi tersebut. 

Ujian ini telah menyemarakkan usaha untuk menangani prasangka dan diskriminasi kaum, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan inklusif dan pengalaman sosial yang positif untuk semua.

Faktor dan Kesan Prejudis

Berbalik kepada persoalan persepsi yang membina perasaan prejudis. Prejudis adalah prasangka yang merujuk kepada sikap atau pandangan negatif yang diandaikan terhadap seseorang atau kumpulan berdasarkan prasangka atau stereotaip, tanpa penilaian yang tepat.

Prasangka boleh timbul daripada pelbagai faktor termasuk budaya, sosialisasi, pengaruh media dan pengalaman peribadi.

Prejudis akan memupuk sikap stereotaip yang selalunya melibatkan pertimbangan yang tidak adil atau prasangka terhadap individu atau kumpulan berdasarkan sifat seperti bangsa, etnik, agama, jantina, umur atau kewarganegaraan. 

Misalnya, individu yang mempunyai prasangka terhadap sesuatu kaum mungkin mempunyai pandangan negatif dan prejudis terhadap semua orang yang sama kaum, tanpa mengambil kira perbezaan individu yang sebenar.

Prasangka boleh membawa kepada diskriminasi dan layanan tidak adil terhadap individu atau kumpulan yang disasarkan. Ini boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan dan hak mereka dalam pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan, pekerjaan, akses kepada perkhidmatan atau penglibatan dalam masyarakat.

Atasi Prejudis

Untuk mengatasi prasangka, adalah penting untuk melibatkan diri dalam refleksi peribadi, pendidikan dan dialog antara budaya. 

Mempelajari tentang pengalaman, perspektif dan sumbangan individu dan kumpulan yang berbeza boleh membantu memecahkan stereotaip, lantas mewujudkan suasana saling memahami antara satu sama lain.

Memperkukuhkan kesedaran tentang kepelbagaian dan nilai inklusif juga merupakan langkah penting dalam mengatasi prasangka dalam masyarakat.

Setiap orang ada kecenderungan untuk bersikap prejudis. Dengan mengakui perasaan ini wujud dalam diri kita, sebenarnya mudah untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini.

Terpenting, layanilah orang lain sebagaimana kita mahu dilayani. Albert Einstein pernah mengatakan, “It is harder to crack prejudice than an atom.” (Lebih sukar memecahkan prejudis daripada atom).

Dalam dunia era digitalisasi, setiap kita diperkasakan dengan akses maklumat dari pelbagai arah. Kita ada kuasa untuk merubah dunia dengan desakan kuat dari dalam diri untuk memimpin perubahan dalam masyarakat.

Pilihlah untuk menjadi berbeza dengan prinsip diri yang kuat. Jangan biarkan diri kita mudah terpancing tanpa sandaran yang ada kredibliti dan sahih. 

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia