Kepentingan Persepsi Dalam Kehidupan Seorang Muslim

Kepentingan Persepsi Dalam Kehidupan Seorang Muslim | IKRAM

Kehidupan manusia pada masa kini seperti berada di medan perang.

Saban hari, kita berperang dengan masa, berperang dengan tuntutan kerjaya dan rumah tangga, berperang dengan keperluan peribadi dan keluarga mahupun masyarakat, apatah lagi berperang dengan buah fikiran dan konflik emosi yang menguji.

Hidup pada masa kini bersifat lebih rencam dan dipenuhi dengan pelbagai persoalan yang perlu difikirkan, tambahan pula pada zaman kemajuan digital dan maklumat tanpa sempadan yang kadang-kadang memuakkan minda dengan urusan dan masalah orang lain yang tidak perlu difikirkan.

Perkara-perkara yang tidak diperlukan ini secara tidak sedar telah masuk dalam kehidupan dan menyebabkan proses untuk sampai kepada tujuan hidup menjadi lambat atau tergendala. 

Satu perkara yang seolah disepakati manusia yang waras, iaitu mendapatkan bahagia ialah antara tujuan hidup manusia sejagat.

Saya teringat kepada sebuah buku yang sedang dibaca, Filosofi Teras oleh Henry Manampiring, sebuah karya tentang falsafah Yunani dan Rom kuno yang sudah diulang cetak sebanyak 25 kali dalam masa dua tahun.

Pencapaian buku ini yang sangat menakjubkan membuatkan saya teruja untuk meneruskan pembacaan.

Ringkasnya, penulis buku ini telah berjaya mendekatkan kefahaman pembaca tentang sebuah kemampuan akal manusia berfikir tentang kehidupan mereka lebih daripada 2,000 tahun yang lalu.

Sebuah pencapaian akal tentang cara menghadapi kehidupan (bukan teknologi fizikal tetapi teknologi mental) dengan akal dan minda yang sejahtera.

Buah fikiran yang dikenali dengan ‘Falsafah Stoasme’ (atau Stoisisme) yang diketengahkan dalam buku ini menganjurkan bahawa bahagia ialah saat kita tidak terganggu oleh fikiran dan perasaan yang negatif. 

Falsafah ini mencadangkan empat kebajikan utama dalam mencapai bahagia iaitu:

1. Kebijaksanaan iaitu kemampuan mengambil keputusan terbaik dalam apa juga situasi.

2. Keadilan iaitu memperlakukan orang lain dengan adil dan jujur.

3. Keberanian iaitu berani berbuat sesuatu yang benar.

4. Menahan diri yang merangkumi disiplin, kesederhanaan dan kawalan emosi dan nafsu serta kehendak.

Hakikatnya, kebajikan-kebajikan inilah yang menjadi pedoman dalam hidup. Bersama-sama dengan kemampuan mengendalikan emosi negatif, kehidupan yang tenteram, damai akan hadir sebagai natijah.

Menyentuh tentang emosi negatif, ia mengingatkan saya kepada sebuah cara terapi yang diamalkan oleh kalangan pakar psikologi iaitu terapi kognitif.

Metode yang mula berkembang sekitar tahun 1990an di Amerika menyatakan bahawa segala emosi yang mengganggu manusia sebenarnya berasal daripada cara penilaian yang salah.

Cara berfikir yang keliru atas kejadian dalam hidup menyebabkan seseorang itu tertekan, gelisah, depresi atau marah-marah tanpa alasan yang jelas.

Ini bermakna, sebahagian besar daripada tekanan yang wujud dalam hidup, berpunca daripada cara seseorang itu berfikir dan menilai serta memandang akan sesuatu isu.

Akidah Sebagai Asas Pandangan Sarwa

Berbalik kepada yang asas dalam kehidupan seorang Muslim, sedari kecil hampir setiap Muslim akan diajar dengan doa tentang memohon kebaikan di dunia dan akhirat sebagaimana yang tercatat dalam al-Quran iaitu:

وَمِنْهُمْ مَّنْ يَّقُوْلُ رَبَّنَآ اٰتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَّفِى الْاٰخِرَةِ حَسَنَةً وَّقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Di antara mereka, ada juga yang berdoa, “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta lindungilah kami daripada azab neraka.” (Surah al-Baqarah: 201)

Ini bererti, konsep dua dimensi kehidupan iaitu dunia dan akhirat membekas dalam minda seorang Muslim yang terdedah kepada ajaran Islam, sama ada secara langsung mahupun tidak.

Maha Suci Allah SWT yang menjadikan dunia yang dianggap sebagai jambatan kepada akhirat penuh dengan daya tarikan yang mempersonakan.

Jika tanpa tarikan tersebut, boleh jadi manusia hanya akan fokuskan kehidupannya untuk akhirat kerana ia lebih bersifat abadi dan kekal.

Kelebihan Dunia

Relatifnya, dalam menjalani kehidupan di dunia, manusia akan bersungguh-sungguh, hinggakan kadang-kadang manusia seperti akan hidup selamanya.

Hal ini tidaklah pelik kerana hakikat dunia memanglah begitu. Jelas sekali, perkara ini dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dijadikan indah bagi manusia kecintaan kepada pelbagai kesenangan yang berupa wanita, anak-anak, harta benda yang banyak berupa emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik.” (Surah Ali Imran: 14)

Hakikat Yang Sebaliknya

Sebaliknya, terdapat hadis-hadis yang berupa peringatan bagi sesiapa yang menjadikan tujuan utama hidupnya ialah untuk dunia semata-mata. Contohnya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah (No. 4108, Sahih), Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

”Perbandingan antara dunia dan akhirat boleh diukur dengan seseorang yang mencelupkan jari tangannya ke dalam air laut. Lihatlah, seberapa banyak air yang ia dapat di jari tangannya itu (itulah nilai dunia).”

Dalam hadis yang lain, diceritakan bahawa pada satu hari, Usman bin Affan bercerita, ”Suatu saat di tengah hari, aku melihat Zaid bin Tsabit keluar daripada kediaman Marwan. Dalam hati, aku tertanya-tanya, apakah yang sedang berlaku? 

Aku yakin, pasti ada sesuatu yang penting yang dibawa oleh beliau.” Usman mendekati Zaid lalu bertanya, ”Apa yang sedang berlaku wahai Zaid?” Zaid menjawab, ”Aku membawa sesuatu yang aku dengar secara langsung daripada Nabi SAW.” Usman bertanya lagi, ”Apa yang Nabi SAW sabdakan kepadamu?”

Zaid menjawab, ”Rasulullah SAW bersabda, ‘Siapa yang menjadikan dunia sebagai cita-cita akhirnya, Allah akan pisahkan dia dengan apa yang diinginkannya (dunia), lalu Allah akan menjadikan kefakiran membayang di pelupuk kedua matanya. Padahal Allah sudah pasti akan memberikan dunia kepada setiap manusia sesuai dengan yang telah ditetapkan. Tapi siapa yang menjadikan akhirat sebagai cita-cita akhirnya, maka Allah akan mengumpulkan dan mencukupi segala keperluannya di dunia. Lebih daripada itu, Allah akan membuat hatinya menjadi kaya. Dunia akan selalu mendatanginya, meskipun dia enggan untuk menerimanya.” (HR Ibnu Majah, No. 4105, Sahih)

Sementara itu, dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud: ”Wahai anak cucu Adam, kamu mencurahkan segala ibadah hanya kerana inginkan keredaan-Ku, pasti akan Aku penuhi hatimu dengan kekayaan. Aku juga akan tutup kefakiranmu. Jika tidak demikian, Aku akan penuhi hatimu dengan segala kesibukan. Aku juga tidak akan menutupi kefakiranmu.” (Daripada Abu Hurairah, HR Ibnu Majah, No. 4107, Hadis Hasan)

Hadis-hadis seumpama yang disebutkan menjadi panduan penting untuk seseorang itu membentuk persepsi yang jelas tentang nilai kehidupan dunia dan akhirat.

Yang jelas ialah, nilai dunia sangatlah rendah jika dibandingkan dengan akhirat. Allah SWT telah berfirman dalam Surah an-Nisaa’ ayat 77 yang bermaksud:

”Katakanlah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu nilainya kecil. Nilai akhirat jauh lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa.” 

Menyedari hal itu, kita sedari bahawa kehidupan dunia bersifat sementara demi mengumpul usaha untuk sampai kepada akhirat. Dalam Surah al-Qasas ayat 77, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

”Carilah nilai akhirat yang telah Allah sebarkan dalam kehidupanmu, tapi jangan lupakan dunia. Berbuat baiklah di dunia sebagaimana Allah telah berbuat baik padamu.” 

Persepsi Benar Amat Penting

Sebagai seorang Muslim yang bijaksana, memahami kedudukan nilai dunia dan akhirat, mengenal pasti kekuatan minda dan emosi sendiri akan memudahkan seseorang untuk menjalani kehidupan dunia dengan sejahtera.

Hidup berpandukan wahyu dan mengiktiraf kemampuan akal untuk menguruskan diri dan kehidupan, pasti manusia akan mampu menjalani kehidupan dengan terhormat dan berkat.

Akhirnya, sebagai renungan, setiap daripada apa yang dinyatakan dalam ayat berikut perlulah difahami dan dijadikan pedoman  sebaiknya. 

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُر بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah al-Hadid: 20)

Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM) dan Penasihat ILMAN

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia