Budaya Pelbagai Kaum Meriahkan Karnival Bahasa Ibunda
KUALA LUMPUR – Pelbagai aktiviti menarik memeriahkan Karnival dan Majlis Penyampaian Hadiah Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2026 di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) pada Sabtu, 20 Jun lalu.
Program ini dianjurkan bagi meraikan keindahan bahasa, budaya dan warisan pelbagai kaum di Malaysia melalui pelbagai persembahan, aktiviti interaktif serta penglibatan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Majlis diserikan dengan ucapan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, TYT Manjurul Karim Khan Chowdhury, dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Yuneswaran Ramaraj.

Dalam ucapan perasmiannya, Yuneswaran menegaskan bahawa bahasa Kebangsaan dan bahasa ibunda memainkan peranan penting dalam membina negara bangsa yang kukuh, harmoni dan bersatu padu.
Menurut beliau, Malaysia membawa pendekatan yang unik dalam pembinaan negara bangsa, iaitu dengan meletakkan identiti nasional sebagai asas perpaduan, di samping menghargai kepelbagaian bahasa dan budaya masyarakat.
Program karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik, antaranya pameran dan penyampaian hadiah bagi pertandingan esei dan lukisan yang melibatkan murid daripada pelbagai aliran sekolah rendah.
Turut diadakan ialah program “Suara Ibunda”, iaitu aktiviti jawab dan menang untuk pelajar sekolah menengah, persembahan tarian pelbagai kaum serta persembahan choral speaking dalam pelbagai bahasa oleh murid sekolah rendah.
[Foto1] Pelajar MUSLEH menulis khat buat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, TYT Manjurul Karim Khan Chowdhury
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti budaya masyarakat Malaysia seperti kaligrafi Melayu, Cina dan Tamil, tiupan bunga plum, kolam atau rangoli, mehendi atau inai bercorak, seni anyaman Melayu, India dan Orang Asli serta seni patung doh. Kemeriahan program turut diserikan dengan permainan tradisional seperti congkak, palanguli, batu seremban, diabolo dan Jak Renoi Orang Asli.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memupuk kefahaman silang budaya, menghargai bahasa ibunda serta memperkukuh semangat perpaduan dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa menjadi wadah penting untuk mengingatkan masyarakat bahawa kepelbagaian bahasa bukan sahaja warisan yang perlu dipelihara, malah merupakan jambatan penting dalam membina hubungan, saling menghormati dan keharmonian negara.
[Foto2] Himpunan di dewan
Penganjur utama program ini ialah LLG, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Tamil Foundation Malaysia, Jaringan Orang Asal Malaysia dan Dong Zong. IKRAM di wakili oleh Profesor Dr Hanim Salleh selaku Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM.
Program ini turut mendapat kerjasama Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), The United Chinese School Teachers Association of Malaysia, Kadazandusun Language Foundation dan Merdeka Universiti Berhad sebagai penganjur bersama.
Rakan strategik program pula terdiri daripada Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), IPPN, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia dan Yayasan Chinese Association Malaysia.




