Politik sering menjadi medan persaingan idea, dasar dan kepimpinan. Namun dalam suasana yang semakin mencabar, ada kecenderungan sesetengah pihak memilih jalan mudah iaitu politik kebencian.
Sentimen perkauman, agama, wilayah, prasangka dan serangan peribadi digunakan bagi meraih sokongan segera. Pendekatan ini mungkin mampu menghasilkan kemenangan politik dalam jangka pendek, tetapi jarang sekali berjaya membina sebuah negara yang stabil, makmur dan bersatu.
Sebaliknya, politik membina negara memerlukan kesabaran, kematangan dan kebijaksanaan.
Ia menuntut pemimpin memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat, memperkukuh ekonomi, meningkatkan mutu pendidikan, memperluas peluang pekerjaan dan menjamin keharmonian masyarakat. Hasilnya mungkin tidak kelihatan serta-merta, tetapi kesannya lebih berkekalan kepada generasi akan datang.
Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah Al-Ma’idah: 8)
Ayat ini mengajar bahawa kebencian tidak boleh dijadikan asas dalam membuat keputusan atau menjalankan pemerintahan. Keadilan dan maslahat rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan. Dalam tradisi fiqh siasah Islam, para ulama menetapkan satu kaedah agung:
تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
“Segala tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan maslahat (kepentingan umum).”
Prinsip ini menjadi asas penting dalam pemikiran siasah para ulama seperti Abu al-Hasan al-Mawardi dan Ibnu Taimiyyah. Pemerintahan bukan bertujuan memenangkan kelompok tertentu atau memuaskan kehendak politik semata-mata, tetapi untuk menjaga kepentingan rakyat, keamanan negara dan kesejahteraan masyarakat.
Perbezaan pandangan dalam sesebuah parti politik adalah perkara biasa. Namun apabila ia bertukar menjadi pertelingkahan terbuka, serangan peribadi dan perebutan pengaruh yang berpanjangan, kerugian akhirnya ditanggung oleh parti, kerajaan dan rakyat.
Masa yang sepatutnya digunakan untuk membincangkan pembangunan ekonomi, pelaburan, pendidikan dan kebajikan rakyat habis digunakan untuk melayan konflik dalaman. Keadaan ini bukan sahaja melemahkan organisasi politik, malah menimbulkan persepsi negatif terhadap kestabilan pentadbiran negara.
Dalam banyak keadaan, sesebuah gerakan politik tidak tewas kerana kekuatan lawannya, tetapi kerana gagal mengurus perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpinnya sendiri.
Sejarah dunia dan sejarah politik umat Islam sendiri memberikan banyak pengajaran mengenai bahaya perpecahan dalaman.
Budaya syura, nasihat yang baik, saling menghormati dan mendahulukan kepentingan umum perlu menjadi amalan setiap pemimpin. Perbezaan pendapat hendaklah menjadi sumber kekuatan, bukan punca permusuhan.
Malaysia memerlukan politik yang berteraskan maslahat, bukan politik kebencian. Negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat di bawah semangat Perlembagaan Persekutuan, Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Rakyat pula perlu menilai pemimpin berdasarkan kemampuan mereka menyelesaikan masalah, bukan berdasarkan kehebatan mencipta polemik. Pemimpin yang baik bukan yang paling kuat menghentam lawan atau paling lantang menyerang rakan sendiri, tetapi yang paling berkesan membawa manfaat kepada rakyat.
Akhirnya, politik kebencian mungkin mampu mencipta kemenangan dalam sehari. Pertelingkahan sesama pemimpin pula mungkin memberi kelebihan sementara kepada pihak tertentu.
Namun kedua-duanya tidak mampu membina sebuah negara yang maju dan dihormati. Negara dibina dengan perpaduan, kestabilan dan kebijaksanaan.
Kuasa hanyalah amanah, manakala tujuan sebenar pemerintahan ialah mewujudkan maslahat, menegakkan keadilan dan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat. Itulah ukuran kejayaan yang sebenar dalam politik dan pentadbiran negara.
SM Ismail




