“Misi kita adalah untuk melakukan pengislahan masyarakat dan negara,” demikian tegas beliau semasa meyampaikan ucapan semasa majlis pembukaan persidangan Dewan Perwakilan Nasional (DPN) IKRAM yang bersidang selama dua hari bermula hari ini.
“Bagi menjayakan misi tersebut pendekatan koalisi dan kerjasama akan diteruskan dengan menggembleng semua elemen yang berada di medan. Kita harus berusaha memujuk dan meyakinkan semua elemen ini untuk bersama-sama dalam proses pengislahan negara ini.”
Presiden IKRAM menyeru ahli-ahli IKRAM supaya terlibat membantu mewujudkan suasana yang baru bagi menggerakkan usaha untuk memungkinkan perubahan yang menyeluruh bagi perubahan negara.
“Politik dan pendekatan dendam tidak harus berlaku,” tegas beliau.
“Bagi menjayakan usaha ini, kita harus mengutamakan pendekatan politik tawaafuq (politik koalisi), politik taawun atau politik bekerja sama dan politik menang-menang. Dan bagi menghadapi semua force yang bergerak menuju ke aras itu, kita memerlukan pendekatan perundingan,” jelas Dr Parid lagi.
Dalam ucapan tersebut Dr Parid juga menyeru semua pimpinan IKRAM dari pelbagai peringkat bermula Jawatankuasa Pusat untuk membangunkan pasukan yang berwibawa dan yang menghimpun pakar-pakar dan pengalaman-pengalaman bagi melaksanakan agenda besar pembangunan ummah dan mencapai semua rencana dan matlamat yang telah ditetapkan IKRAM.
Menjelaskan lagi peranan penting yang ahli-ahli IKRAM perlu mainkan dalam konteks ini, Dr Parid menyatakan ahli-ahli mestilah mengukuhkan organisasi (tanzim) dalaman, mengamalkan amalan syura yang telus dan berterusan, mengukuhkan tarbiah zatiyah, meningkatkan kepedulian terhadap komuniti dan ummah, meningkatkan peranan wanita (akhawat) untuk menyantuni keluarga, wanita dan anak muda selain menyantuni mahasiswa.
“Kita juga mahu menjayakan Akademi IKRAM untuk melahirkan Pelan Penerusan (succession plan), membangunkan golongan pakar dan memperteguhkan ketrampilan pimpinan sedia ada,” tambah Dr Parid lagi mengenai Akademi IKRAM yang telah dilancarkan.
DPN kali ini mencipta satu sejarah kerana ia adalah aktiviti IKRAM yang pertama dilangsungkan di Kompleks IKRAM yang baharu bernilai RM7.5 juta di Seri Kembangan yang dibeli hasil daripada sumbangan ahli-ahli IKRAM sendiri.
Seramai 95 orang Ahli DPN hadir ke persidangan DPN kali ke-2 bagi sesi 2014-2018 yang mewakili IKRAM dari negeri-negeri seluruh Malaysia selain perwakilan bagi kerusi umum, ulama, wanita dan lantikan. DPN adalah badan tertinggi pembuat dasar dalam IKRAM yang mempunyai keahlian seramai 111 orang.