SEPANG – Karnival Bola Sepak Piala Presiden IKRAM telah berlangsung di Padang Bola Sepak Awam, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) sempena Hari Sukan Negara pada 9-10 Oktober lalu.
Karnival dua hari ini dengan aktiviti utamanya Liga Bola Sepak Belia 9 Sebelah dianjurkan bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), IKRAM Muda dan Ahli Majlis JPP Zon BBST Utara Majlis Perbandaran Sepang.
Sebanyak 14 buah pasukan yang terdiri daripada anak-anak muda telah menyertai kejohanan ini.
Dalam pertandingan ini, pasukan Poseidon FC telah meraih gelaran juara, manakala naib juara pasukan AD’s Brothers, ketiga Gelora FC dan keempat Baginda FC.
Muhammad Aiman Irwan dari pasukan Poseidon FC pula dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan dan penjaring terbanyak.
Juara Piala Presiden IKRAM membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 manakala naib juara meraih RM800.
Turut hadir memeriahkan karnival Timbalan Presiden IKRAM, Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang beramah mesra dengan para peserta dan pengunjung.
Selain bola sepak, terdapat aktiviti-aktiviti menarik sepanjang karnival iaitu Mini Tournament FIFA (e-Sport), Crossbar Challenge, cabutan bertuah dan food truck.