Politik, Kebahagiaan dan Reda Tuhan: Peranan Kerajaan

Politik, Kebahagiaan dan Reda Tuhan: Peranan Kerajaan | IKRAM

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baru berlangsung telah melabuhkan tirainya dengan keputusan diumumkan sebagai cerminan amalan demokrasi di negara ini.

Bagi yang mengikuti perkembangan politik tanah air, sudah tentu dapat menyaksikan pelbagai bentuk kempen yang digunakan oleh pihak-pihak yang bertanding.

Kempen yang sihat patut dipuji, manakala kempen toksik dan berbaur fitnah hendaklah dijauhi, apatah lagi yang mewujudkan persengketaan yang berpanjangan. 

Realitinya, negara kita menghadapi cabaran untuk mewujudkan budaya berkempen yang sihat dengan tumpuan kepada perbahasan berhubung dasar dan hala tuju untuk membawa negara ke tahap yang lebih baik.

Politik menatijahkan kebahagiaan

Politik sepatutnya membawa natijah kesejahteraan kepada rakyat melalui dasar-dasar yang dilaksanakan oleh gabungan parti politik yang membentuk kerajaan.

Taraf hidup rakyat meningkat melalui dasar-dasar kerajaan yang mencipta peluang pekerjaan yang berkualiti, peluang pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang baik.

Golongan miskin dan terpinggir dibela, dan kemewahan negara dapat dinikmati oleh semua. Rakyat pula dapat hidup dengan bersatu padu dan harmoni.  

Kesejahteraan yang tercapai melalui pentadbiran kerajaan yang baik akan membawa kepada kebahagiaan. Malah, ada sarjana ekonomi menyatakan matlamat utama kerajaan adalah untuk memberikan kebahagiaan kepada rakyatnya.

Walaupun pembangunan material itu penting, apa yang lebih penting adalah pembangunan yang holistik agar kebahagiaan dapat dikecapi oleh rakyat.

 Dalam hal ini, “Happiness Index” atau Indeks Kebahagiaan digunakan sebagai petunjuk kemajuan dan ekonomi, tidak terhad kepada pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan lain-lain petunjuk konvensional semata-mata.

Malaysia juga telah buat julung kali mengeluarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) untuk tahun 2021 dengan mengukur tahap kebahagiaan rakyat dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.

Manakala Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) pula mengukur tahap kesejahteraan rakyat Malaysia dari perspektif ekonomi dan sosial. Ini bermakna konsep kebahagiaan itu sangat luas dan pelbagai kerana sifat manusia juga pelbagai.  

Reda Tuhan

Dalam Islam, kebahagiaan merangkumi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kemuncak kebahagian adalah mencapai keredaan Allah SWT dengan ganjaran syurga yang dijanjikan.

Untuk mencapai keredaan Allah SWT, kehidupan dunia menjadi jambatan kepada akhirat. Dunia menjadi tempat untuk manusia beramal sebagai bekalan di akhirat. 

Islam menetapkan kebahagiaan dunia dicapai apabila keperluan hidup manusia dapat dipenuhi berdasarkan matlamat dan tujuan syariat, atau maqasid syariah yang melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Syariat Islam diturunkan untuk kebaikan seluruh umat manusia, orang Islam juga bukan Islam dan seluruh alam. Keadilan dapat dicapai melalui dasar-dasar yang dilaksanakan berlandaskan syariat.

Dengan itu, keindahan Islam dapat dilihat dan dinikmati oleh semua, bersesuaian dengan konsep karamah insaniah yang memartabatkan seseorang secara adil di tempat yang mulia.

Peranan kerajaan

Sehubungan itu, kerajaan yang dilantik berperanan menguruskan negara agar rakyat dapat mencapai kebahagiaan yang diharapkan dengan sokongan semua pemegang taruh dan juga rakyat, seperti yang diungkapkan dalam konsep pendekatan keseluruhan Malaysia (whole-of-nation approach).

Kebahagiaan ini dapat dikecapi dengan tercapainya ciri-ciri negara rahmah, merangkumi aspek kepimpinan, institusi kenegaraan, perpaduan nasional, masyarakat yang progresif dan kemakmuran ekonomi.

Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) yang diukur secara tahunan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melihat pencapaian ciri-ciri negara rahmah dan perlu dilihat saling melengkapi dengan beberapa indeks dan petunjuk yang lain.  

Dalam masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk, tentunya ada persamaaan dan perbezaan tentang konsep kebahagiaan yang hendak dicapai oleh pelbagai lapisan masyarakat merentasi pelbagai generasi dan sempadan geografi.

Pertimbangan juga perlu dibuat antara kepentingan individu, kepentingan kumpulan dan kepentingan masyarakat secara keseluruhannya.

Kerajaan yang bijak menguruskan rakyat yang pelbagai tentunya dapat mengemudi negara menjadi sebuah negara yang maju, aman dan makmur bersesuaian dengan konsep Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur (Negara yang baik dan Tuhan Maha Pengampun).

Inilah cita-cita yang hendak dicapai dalam kehidupan bernegara. Namun, cita-cita ini akan terencat sekiranya tiada keharmonian, perpaduan dan kesepaduan dalam kalangan seluruh rakyatnya.  

Mohammad Abdul Hamid
Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia