Baikilah Perkahwinan, Gapai Kebahagiaan

Baikilah Perkahwinan, Gapai Kebahagiaan | IKRAM

“Saya dah sampai fasa hambar dan tiada lagi cinta. Bantulah saya bagaimana dan apa yang boleh saya buat? ” luah seorang peserta dalam bengkel perkahwinan.

Saya membaca satu persatu mesej, pasangan ini usia perkahwinannya baru menjangkau lima tahun. Pada pendapat saya yang bukanlah pakar, masih banyak yang boleh dipelajari.

Cuma bagi seseorang yang sedang dalam fasa hambar, segalanya akan nampak kabur dan buntu. Mereka sukar memikirkan jalan yang terbaik di saat diri sedang tertekan dan merasakan kebanyakan masalah adalah datangnya daripada pasangan.

Mereka merasakan telah pun bekerja keras dan berusaha sehabis baik menyelamatkan perkahwinan ini dengan bersikap jujur dengan apa yang diperlukan daripadanya namun dipandang sepi. Si dia tetap juga tidak berubah. Maka mulalah ia berfikir-fikir adakah penceraian jalan yang terakhir?

Sewaktu diri dalam keadaan tegang dan menghadapi konflik, ini bukanlah masa yang sesuai untuk membuat keputusan kerana selalunya semasa itu diri sedang dikuasai dengan pelbagai emosi yang tidak menentu seperti sedih, marah dan kecewa.

Pastinya yang seseorang itu nampak hanyalah kesalahan di pihak pasangan sahaja tanpa mengakui masalah yang juga datang dari diri mereka sendiri. Kalau bertepuk sebelah tangan, masakan berbunyi?

Berhentilah sejenak dan cuba lakukan langkah ini bagi membina semula harapan dan impian dalam perkahwinan tersebut.

Usah terburu-buru, kerana bukan semua penceraian adalah jalan terbaik bagi perkahwinan yang belum bahagia. Mungkin saja masanya yang belum tiba.

1. Bincangkan permasalahan, bukan berbalah mengenainya

Konflik berlaku dalam rumahtangga yang bahagia. Noktah.

Pernah seorang rakan sekerja saya yang baru berkahwin bertanya kepada saya tentang konflik dalam rumahtangga. “Maksud konflik itu bila kita bergaduh jerit-jerit ke macamana?” Tanyanya jujur. Saya katakan padanya apa-apa sahaja salah faham yang timbul antara suami isteri adalah konflik, besar ataupun kecil.

Tidak bermakna bila bergaduh atau bertelagah sahaja ada konflik, ada pasangan yang mempunyai konflik tetapi diam dan dingin sahaja. Semua masalah simpan, sorok bawah karpet. Kalau tiada api, masakan ada asap.

Kebanyakan pasangan yang berkahwin akan menghadapi isu berkaitan kewangan, tugasan kerja rumah, anak-anak, mentua atau apa sahaja yang boleh menimbulkan persepsi berbeza antara keduanya.

Namun selalunya, ketegangan di antara suami isteri bukanlah disebabkan oleh apa yang diperbalahkan, tetapi bagaimana kita berbalah. Sudah tentu kalau ada yang meninggi suara, mudah pula naik kaki tangan, atau pinggan melayang-layang. Kesudahannya tidak kemana.

Jujurnya kita akan lebih cenderung merasakan apa yang kita pertahankan adalah betul tanpa melihat atau cuba memahami terlebih dahulu apa pandangan orang lain.

Maka selalunya penyelesaian yang akan dicadangkan adalah hanya berdasarkan kefahaman atau pengalaman yang mungkin sahaja terbatas.

Berhenti sejenak sebelum meneruskan perbalahan, dan lupakan tentang siapa betul, siapa salah. Bincangkan bersama apakah jalan penyelesaian yang sesuai untuk permasalahan yang dihadapi. Pasangan semestinya juga mahukan penyelesaian yang terbaik, walaupun cadangannya berbeza.

Lihat semula pilihan yang ada, tangguhkan keputusan dan timbangkannya dalam semua sudut pandang suami dan isteri dan hormatilah perbezaan yang ada. Lalu, berkompromilah. Itu lebih harmoni.

2. Dapatkan maklumat yang benar daripada orang yang tepat

Pernah suatu ketika, seorang rakan menghubungi saya meminta nasihat bagaimana untuk membantu rakan wanitanya agar membuat perancangan kehamilan.

“Jenuh saya kak, dari anak kedua sampailah masuk ketiga dah, semua saranan saya untuk ‘family planning’ langsung tak dihiraukan” keluh Puan Ana (bukan nama sebenar) mengenai Puan Nabila (bukan nama sebenar).

Saranan ini atas dasar kasih dan prihatinnya kepada Puan Nabila yang tertekan dan penat mengurus rumahtangga dengan anak-anak yang masih kecil ditambah bebanan kewangan yang belum stabil.

Saya anjurkan padanya agar membawa Puan Nabila untuk berjumpa dengan kaunselor keluarga bagi membincangkan permasalahannya. Bunyinya seperti cliche bukan?

Sepertimana jika ada permasalahan kesihatan, kita disaran berjumpa dengan doktor untuk mengenal pasti dan menjalankan rawatan, seperti itulah seharusnya kita mengambil pendekatan yang sama dalam memilih berjumpa dengan kaunselor.

Tidak salah jika kita berjumpa dengan orang yang kita percaya mempunyai pengalaman, namun kebarangkalian mendapat saranan yang berat sebelah mungkin ada, kerana keterbatasan penilaian daripada satu sudut pandang. Apatah lagi jika penilaian dibuat dengan mendengar daripada sebelah pihak sahaja.

Sebaiknya kita berjumpa dengan kaunselor, mereka mempunyai penguasaan ilmu kaunseling yang mampu mengambil sudut pandang yang lebih luas, kemahiran dan teknik pendekatan yang boleh membantu kita menilai diri dan pasangan, dan celik akal dalam sesi kaunseling.

Kaunselor juga terikat dengan etika tertentu untuk menjaga kewibawaan dan tahap profesionalisme bidang kaunseling.

3. Mulakan dengan diri sendiri

Dulu saya selalu berharap yang suami akan jadi seperti saya yang suka membaca buku tentang perkahwinan, isu seputar rumahtangga dan mengenai ilmu keibubapaan.

Lebih mudah saya kira begitu, jadi kami akan mempunyai sudut pandang yang sama dalam banyak hal. Fikir sayalah. Namun, hal itu belum terjadi.

Saya belum mampu membuat suami saya suka untuk membaca bahan sebegitu, apatah lagi mengharapkan suami mengambil tindakan seperti yang disaran dalam buku yang tidak pun dibacanya.

Sungguh, merubah orang lain adalah bukan dalam kawalan diri! Jadi apa yang mampu dilakukan adalah mengambil pendekatan merubah diri sendiri.

Kita seharusnya memilih dengan penuh sedar diri berhak bahagia dan bukan hanya menyalahkan keadaan dan menunggu orang lain berubah.

Contohnya, kita mahukan pasangan mencintai kita sebegini seperti cara yang kita mahukan, namun itu adalah di luar kawalan kita. Tetapi kita ada pelbagai cara yang mampu menunjukkan cinta kita kepadanya, dan itu adalah dalam kawalan diri kita sendiri. Itulah yang perlu berubah, diri sendiri.

Hmm… tapi bolehkah perkahwinan kita menjadi bertambah baik sekiranya hanya kita sahaja yang berubah? Ya, sudah tentu. Walaupun pastinya ia akan memakan masa dan kesabaran, percayalah ia memang berbaloi!

Lambat-laun pasangan akan menyedari perubahan kebaikan yang kita lakukan dan akan memberi tindak balas yang boleh membawa perkahwinan kita ke tahap yang lebih baik.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat: Ayat 34)

4. Sabar dan Solat

Perkahwinan itu ibarat ‘roller coaster.’ Ada masa naik, ada masa turun. Semestinya dalam kehidupan bersama dua personaliti yang berbeza, perkahwinan akan diuji dengan pelbagai ujian.

Apatah lagi di saat kita sedang mengimbangi semua peranan yang ada baik di rumah atau di tempat kerja, bebanan pastinya akan menjadi bertambah sukar.

Selain daripada tiga langkah di atas, saya kira ini langkah untuk menghadapi apa jua bentuk ujian yang menimpa dalam kehidupan. Ia bukanlah ubat ajaib yang berkesan dalam sekelip mata, namun ubat ini mampu menjadi penawar mujarab.

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (yaitu) orang-orang yang menyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah: Ayat 45-46)

Sesukar mana pun ujian dalam perkahwinan, pohonlah kepada Allah agar dikurniakan segenap kekuatan daripada-Nya untuk membantu diri menghadapi ujian dengan kesabaran.

Kekuatan doa bukan sahaja mampu mengubah hati pasangan, malah hati kita sendiri dalam mencari ketenangan dalam perkahwinan.

Tetaplah bersabar dan teruskan mencari langkah terbaik untuk merealisasikan perkahwinan yang diidamkan.

Ambil masa untuk mempelajari ilmu dan kemahiran diri untuk membina hubungan yang sejahtera dan dapatkanlah nasihat daripada yang mereka yang pakar dan tepat untuk mengukuhkan ikatan perkahwinan bersama.

Ditulis oleh Puan Nur Idayu Abd Rahman, Eksekutif Pemantapan Kesejahteraan Ahli (PeKA), Ibu Pejabat IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia