Politik Antara Punca Rakyat Stres, Murung

Politik Antara Punca Rakyat Stres, Murung | IKRAM

Biasanya kita menganggap menjadi warganegara yang bermaklumat dalam bab politik adalah bagus untuk individu itu dan juga untuk masyarakat. Tapi kajian soal-selidik pada tahun 2017 dan 2020 mendapati sebaliknya. 

Kajian tersebut mendapati ramai individu yang menganggap amalan mengikuti perkembangan politik semasa secara aktif adalah satu sumber stres atau tekanan yang besar, walaupun selepas berlaku perubahan pentadbiran kerajaan.

Mungkin isunya bukan sangat siapa atau parti politik mana yang memimpin negara, tetapi lebih kepada sikap kerajaan semasa yang tidak mengambil tindakan yang sewajarnya dan juga drama politik yang tidak berkesudahan.

Politik Jadi Punca

Soal selidik pertama dilakukan pada tahun 2017 dan mendapati rakyat Amerika menyalahkan politik sebagai punca tahap stres yang tinggi, merosakkan perhubungan dan tidur yang tidak cukup.

Barangkali ada pihak yang mengatakan, mungkin sensitiviti rakyat dan polarisasi politik semasa Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang melibatkan kemenangan Donald Trump sebagai puncanya.

Tapi soal selidik kedua yang dilakukan pada tahun 2020 apabila Trump tidak lagi menjadi Presiden adalah hampir sama. Dapatan kajian menunjukkan politik adalah punca stres kronik (berpanjangan) bukan sekadar semasa musim pilihan raya sahaja.

Malah, politik bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan mental, tapi juga kesihatan fizikal. Antara simptom yang hampir separuh peserta kajian dapati akibat politik ialah kelelahan, kebencian, kemarahan, kehilangan sabar dan tingkah laku kompulsif. 

Hampir suku daripada peserta kajian memaklumkan disebabkan politik, mereka berfikir untuk berpindah dari tempat tinggal mereka sekarang. Malah, lima peratus melaporkan disebabkan politik, mereka terfikir untuk bunuh diri.

Stres, Murung Meningkat 

William Chum, seorang ahli psikoterapi mendapati berlaku penambahan kes kebimbangan (anxiety), kemurungan (depression) dan stres traumatik yang berkaitan dengan politik dalam sesi terapi beliau.

Ini mungkin berlaku apabila ahli-ahli politik atau blok-blok parti politik memberi dua atau tiga pandangan politik yang terlalu berbeza hingga mewujudkan stres, kebimbangan dan kemurungan rakyat kerana memikirkan masa hadapan mereka yang tidak pasti sebagai rakyat biasa. 

Mungkin sebab itu, kajian ini mendapati rakyat Amerika dalam kalangan golongan muda yang liberal mengalami kesan kesihatan negatif yang lebih tinggi apabila calon-calon politik ramai dalam kalangan yang berpemikiran konservatif.

Untuk makluman, ‘liberal’ di sini merujuk kepada keterbukaan untuk mengubah polisi lama, tidak semestinya merujuk kepada antiagama. Dan konservatif di sini merujuk sikap tidak mahu mengubah polisi lama, tidak semestinya merujuk kepada sikap patriotisme atau keagamaan.

Contohnya, dalam kajian yang sama didapati rakyat yang berpemikiran konservatif biasanya menganggap media berlebih-lebihan melaporkan kesan negatif virus Covid-19, manakala rakyat yang berpemikiran liberal biasanya menganggap negara tidak melakukan tindakan yang cukup untuk menghalang jangkitan virus Covid-19. 

Kajian APA

Kajian oleh American Psychological Association (APA) mendapati 66 peratus rakyat Amerika Syarikat menganggap masa depan negara sebagai satu punca stres yang signifikan. Dan iklim politik pula dianggap faktor paling tinggi yang menyebabkan stres.

Walaupun pertukaran Presiden atau kerajaan memberikan sedikit harapan untuk perubahan, isu lama masih lagi berulang seperti ketidakprihatinan tentang isu kesihatan global, janji yang tidak ditepati, dan kegagalan mematuhi dan melaksanakan undang-undang secara telus.

Pilihan Raya 2020 Amerika Syarikat tidak membantu sangat dalam isu kesihatan mental walaupun Trump tidak lagi menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Apa yang baru disedari oleh rakyat ialah sistem politik dan pentadbiran Amerika itu sendiri begitu mudah dimanipulasi oleh pemimpin hingga mewujudkan stres dan menjejaskan kesihatan mental. 

Krisis kesihatan dan perpecahan politik yang berlaku serentak zaman pandemik dan pascapandemik berisiko tinggi bukan sahaja dalam menjejaskan kesihatan mental, tapi juga dalam mewujudkan ekstremisme dalam politik, sama ada ekstremis konservatif atau ekstremis liberal. 

Setakat ini, saintis dalam bidang kesihatan tidak pasti sama ada stres akibat politik sama jenis impak kesihatannya berbanding dengan stres kronik yang telah dikaji sekian lama. 

Pengamal dalam kesihatan mental seperti kaunselor, pekerja sosial, ahli psikologi kaunseling, ahli psikologi klinikal dan doktor psikiatri juga akan menghadapi cabaran jika klien dan pesakit mula bercerita tentang politik kepartian dalam sesi kaunseling dan sesi psikoterapi sebagai punca stres dan penyakit mental mereka, lebih-lebih lagi jika pengamal tersebut juga ada pandangan politik yang tersendiri.

Jaga Kesihatan Mental

Antara cadangan yang diberikan untuk menjaga kesihatan mental rakyat berkaitan dengan politik ialah dengan cara menstrukturkan waktu harian kita untuk mengehadkan diri daripada membaca berita-berita politik di media terutama media sosial.

Media sosial dan diskusi dalam talian memang boleh menyebabkan stres dan perpecahan politik. Cuba dapatkan sokongan emosi daripada ahli keluarga dan sahabat-sahabat serta amalkan aktiviti rahmah kendiri (self-compassion).

Jangan malu untuk mendapatkan khidmat nasihat kaunselor, mahupun ahli psikologi klinikal dan doktor psikiatri jika gangguan emosi yang dialami agak teruk hingga menjejaskan diri, keluarga, dan kerja. 

Cuba fahami bagaimana sistem politik di negara masing-masing berfungsi. Mereka yang ada ilmu politik (bukan maklumat politik kepartian) mempunyai kebarangkalian yang rendah mendapat kesan mental negatif daripada politik kepartian. 

Melibatkan diri dalam politik kewargaan yang lebih kepada mendidik rakyat dan membantu rakyat dari segi kebajikan mereka boleh mengurangkan rasa stres kerana ia boleh mewujudkan perasaan bahawa kita menyumbang kepada politik negara dengan cara yang lebih memberi makna kepada kehidupan individu. 

Walaupun seseorang itu tidak berpihak (non-partisan), membantu calon-calon politik kompeten yang berintegriti dan boleh membawa kepada perubahan yang baik, boleh mengurangkan kesan stres politik kerana perspektifnya menjangkau calon atau parti politik tapi lebih kepada makna kehidupan individu.

Ada perkara yang rakyat boleh kawal, ada perkara yang rakyat tidak boleh kawal. Antara yang rakyat boleh kawal ialah keluar mengundi, membuat kerja-kerja sukarela dan mencari makna kehidupan daripada tingkah laku dan amalan politik kita, sama ada kita bersikap tidak berpihak atau menyokong parti politik tertentu.

Jika aspek politik yang di luar kawalan rakyat menyebabkan stres, dicadangkan untuk kita mengamalkan penjagaan kendiri (self-care) dan gaya hidup sihat seperti pemakanan sihat, senaman berkala dan tidur yang cukup untuk menjaga kualiti kesihatan mental akibat sistem politik yang melelahkan.

Dan jika stres politik menyebabkan kesihatan mental terganggu, jangan malu untuk mendapatkan bantuan profesional daripada talian psikososial, kaunselor berdaftar, pekerja sosial, ahli psikologi kaunseling, ahli psikologi klinikal dan doktor psikiatri.

Kesihatan mental anda lebih berharga daripada kemenangan dan kekalahan calon parti politik dalam pilihan raya. 

Dr Alizi Alias
Pengerusi Psikospiritual IKRAM (P.S.I)

Bibliografi:

  1. “No Matter What Party Is in Power, Politics Can Harm Mental Health” oleh Lo Styx. Laman Web “Very Well Mind.”  
  2. “Political polarization is affecting mental health, and patients want therapists who share their views” oleh Jo Adetunji. Laman Web The Conversation. 
  3. “The Mental Health Impact of Politics: 8 Ways to Cope.” Laman Web Newport Institute.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia