PKP: Naratif baharu pendidikan negara

Usaha Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia yang telah dijalankan sejak 18 Mac 2020 hingga ke hari ini telah menunjukkan tanda positif.

 

Penghargaan harus diberikan kepada semua pihak terutamanya kerajaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), anggota-anggota keselamatan dan juga pasukan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah rakyat Malaysia yang turut menyumbang pemutusan rantaian jangkitan pandemik ini dengan mematuhi PKP.

 

Kejayaan negara mengawal wabak ini ini bukan sahaja diiktiraf oleh seluruh rakyat Malaysia, bahkan mendapat pengiktirafan dunia yang mana Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah disenaraikan antara tiga doktor terbaik dunia dalam menangani COVID-19 oleh China Global TV Network.

 

Rentetan daripada PKP ini, bermulalah kisah segelintir golongan mahasiswa yang terkandas di universiti awam, pekerja tidak boleh bekerja dan menjejaskan sumber pendapatan orang awam, terjejas ekonomi industri kecil dan sederhana (IKS), peningkatan kes keganasan rumah tangga dalam tempoh PKP, perubahan sistem pembelajaran formal atas talian (online), tidak dibenarkan solat Jumaat dan berjemaah serta tidak dibenarkan berkumpul melebihi lima orang dan lain-lain lagi.

 

Sampai bila kita akan berkeadaan begini? Persoalan ini yang bermain dalam fikiran setiap orang. Perkara sebegini tidak pernah berlaku sepanjang negara kita mencapai kemerdekaan. Maka, setiap unit pengurusan negara perlu menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini dari akar umbi hingga ke pucuknya.

 

Isu UPSR dan PT3 dibatalkan

 

Terdapat banyak isu yang berlaku semasa tempoh PKP yang telah dilaksanakan selama sebulan, yang terkini berkaitan UPSR dan PT3 dibatalkan. Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan) iaitu YB Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 15 Mac yang lalu.

 

“Keputusan ini diambil selepas beberapa siri perbincangan bersama dengan beberapa individu penting pendidikan negara termasuk dalam kementerian dan NGO serta atas nasihat MKN dan KKM. Ini bertujuan bagi menjamin keselamatan murid-murid sekolah,” kata beliau dalam sidang media tersebut.

 

“Walaupun UPSR adalah taksiran bagi pelajar untuk masuk ke sekolah berasrama penuh dan seumpamanya, begitu juga PT3. Perkara itu bukan satu masalah kerana taksiran mengikut kaedah lain akan diperkenalkan. Dan apa yang penting pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diteruskan,” tambah beliau.

 

Satu pujian boleh diberikan kepada beliau atas keputusan bijak membatalkan UPSR dan PT3. Namun begitu, kaedah taksiran menjadi perhatian penulis kerana persoalan ini masih menjadi tanda tanya semua pihak.

 

Apakah kaedah pentaksiran yang ingin diperkenalkan? Saya sebagai anak watan Malaysia yang menerima pendidikan Malaysia sejak ‘primary’ sehingga ‘tertiary’ meragui sistem pendidikan Malaysia yang masih belum mampu bersaing dengan negara-negara lain.

 

Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) telah menjalankan The Programme for International Student Assessment (PISA) iaitu satu penilaian untuk mengukur sistem pendidikan sebuah negara melalui tahap pembelajaran pelajar berusia 15 tahun terhadap Matematik, Sains dan Pembacaan.

 

Menurut rekod PISA 2018, Malaysia mendapat min bagi Matematik ialah 440, Sains ialah 438 dan pembacaan ialah 415. Nilai ini menunjukkan peningkatan dibandingkan pada tahun 2012 tapi Malaysia masih jauh berbanding negara membangun yang lain seperti yang pernah diucapkan oleh mantan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr Maszlee Malik dalam akhbar The Star.

 

“Education Minister Dr Maszlee Malik said although the country’s performance has improved compared to 2012, and was ranked second among South East Asian countries, there was still much work to be done to ensure that our children are on par with the rest of the world. The reality, he said, is that Malaysia was still at the bottom of the list when compared to the 11 developed countries assessed in PISA 2018.”

 

Kemenjadian pelajar yang diinspirasikan seharusnya segaris dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan individu yang holistik dalam setiap segi serta aktif untuk pengembangan potensi diri.

 

Lagi sekali, pentaksiran bagaimana yang ingin dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)? Jika sistem pendidikan Malaysia sudah cukup mapan, pasti prestasi PISA tidak sekadar melebihi garis imbang yang telah OECD tetapkan.

 

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang telah diaspirasikan oleh YAB Tan Sri Muhiyidin Yassin semasa memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan, Pentaksiran Berdasarkan Sekolah telah diperkenalkan (PBS).

 

Antara saranan pertama yang boleh dicadangkan di sini adalah untuk menjalankan taksiran pelajar melalui PBS sepenuhnya memandangkan PdP masih berjalan seperti biasa.

 

Saranan kedua ialah pemansuhan UPSR. Melihat negara-negara lain yang mempunyai sistem pendidikan yang baik seperti negara Finland, mereka hanya menduduki tiga ujian wajib sepanjang bergelar pelajar.

 

Hasrat pemansuhan UPSR ini telah dituntut oleh Harry Tan Huat Hock sebagai Setiausaha Agung Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang melihat ini adalah satu tindakan untuk memecahkan tradisi sistem pendidikan Malaysia yang berpaksikan peperiksaan.

 

Kedua-dua saranan ini juga dapat meningkatkan prestasi para pendidik untuk membuat penilaian literasi dan numerasi pelajar. Walau bagaimanapun, satu mekanisme yang efektif perlu dikaji selidik pada saat ini apabila tidak semua pelajar mendapat akses untuk PdP atas talian.

 

Dan sejauh mana para guru bersedia untuk PBS sepenuhnya? Ini kerana mereka ibarat enjin yang akan menggerakkan sebuah kereta. Jika enjin itu tidak berfungsi, maka kereta itu tidak akan bergerak lebih jauh. Sebarang kewajaran saranan, penulis menyerahkannya kepada pihak KPM untuk mengkaji selidik serta membuat penilaian.

 

Harapan bersama

 

Semua pihak termasuk para pendidik, ibu bapa serta murid-murid pasti menunggu kaedah pentaksiran baharu yang akan dirangka oleh pihak KPM bagi merealisasikan aspirasi pendidikan negara dalam melahirkan modal insan yang seimbang akademik, sahsiah dan jasmani.

 

Manakala dalam aspek akademik yang mengandungi Science, Technology, Engineering and Mathematic (STEM) dan Humanities, Arts and Social Sciences (HASS), kedua-duanya boleh dijadikan sukatan pelajaran kokurikulum sebagai transformasi pendidikan semasa tempoh PKP dan seterusnya.

 

Tempoh PKP adalah satu permulaan bagi era pendidikan baharu buat Malaysia. Inilah masanya untuk membuat satu lompatan besar untuk ‘rejuvenasi’ sistem pendidikan Malaysia untuk seiring dengan negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik dunia. Ini adalah permulaannya.

 

Norfazliana Abdullah, aktivis Persatuan Belia HARMONI Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia