Kebebasan bersuara di Malaysia semakin terancam?

Dalam tempoh satu hingga dua minggu ini, penulis dapat merasakan bahawa terdapat suatu trend penggunaan undang-undang untuk menghalang rakyat negara ini yang lantang bersuara terhadap individu politik dan entiti korporat. 

 

Siasatan demi siasatan

 

Pada 28 Januari, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan penerbitan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ ditulis bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

 

Laporan BERNAMA yang turut diterbitkan di portal Astro Awani itu turut melaporkan bahawa sebelum ini, satu pasukan penyiasat telah ditubuhkan khusus untuk menyiasat dakwaan yang terdapat dalam buku tersebut, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.

 

Dua hari sebelumnya, pada 26 Januari 2022, Hailey Wee Kye, wartawan The Malaysian Insight yang telah melaporkan tentang isu hak asasi buruh kanak-kanak di Sabah juga telah disiasat oleh pihak polis buat kali kedua berkenaan laporannya. 

 

Artikel tersebut antara lainnya menceritakan pengalaman buruh kanak-kanak tanpa taraf kewarganegaraan yang sah yang sentiasa berdepan risiko tangkapan pihak berkuasa dan dipisahkan daripada keluarga mereka.

 

Di samping itu, berita tersebut turut menceritakan tentang penderitaan buruh kanak-kanak yang dikerah menjadi buruh kasar dan melakukan kerja berat yang lazimnya menjadi bebanan seseorang yang telah dewasa.

 

Selain disoal siasat pihak polis, Hailey juga diarahkan bersedia untuk menghadapi kemungkinan siasatan polis untuk kali ketiga atas laporannya itu.

 

Sehari sebelum itu pula, ‘ikon penghasut’ kegemaran ramai, Fahmi Reza juga telah disoal siasat polis buat sekian kalinya; kali ini berkenaan kiriman dan grafik satira ‘House of Balak’ yang didakwa polis menyerupai jata negeri Pahang.

 

Walaupun siasatan tersebut didakwa mengenai grafik satira tersebut, soalan-soalan pihak polis yang didedahkan Fahmi dilihat amat pelik dan melanggar privasi, contohnya ialah alamat e-mel dan kata laluan akaun media sosialnya. 

 

Kita undur lagi beberapa hari sahaja sebelum itu, pada 21 Januari, pihak berkuasa dilihat sekali lagi menggunakan kuasa mereka bagi mengekang demonstrasi aman #TangkapAzamBaki dengan menutup enam jalan raya di bandar raya Kuala Lumpur selain menutup 25 stesen tren di lima aliran tren Lembah Klang.

 

Walaupun Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya mendakwa halangan terhadap demonstrasi tersebut sejajar dengan halangan perhimpunan besar-besaran yang mana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), motif penguatkuasaan tersebut masih meragukan. 

 

Keraguan ini berasaskan tindakan polis yang mengambil kenyataan daripada 16 individu, termasuk lima ahli politik dalam siasatan bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. 

 

Berdasarkan carian pantas, Seksyen 504 Kanun Keseksaan diterangkan secara ringkas, boleh digunakan untuk menghukum sesiapa yang “..dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.”

 

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula, sebagaimana kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 2019 adalah bertujuan “..memastikan sebarang anasir yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat dan negara dapat dikawal dan dibendung sepenuhnya.”

 

Apa masalahnya?

 

Maka apa masalahnya dengan kesemua siasatan polis ini?

 

Jika diamati, pihak berkuasa dalam kesemua kes ini mendakwa bahawa kesemua kandungan-kandungan atau sifat pemberontakan yang dilakukan oleh pihak terbabit berunsur fitnah, hasutan atau mengganggu-gugat keselamatan negara. 

 

Maka atas kepercayaan itulah pelbagai undang-undang yang membenarkan pihak berkuasa menyiasat atas nama ‘menjaga keharmonian negara’ digunakan bagi membendung mereka yang bersuara terhadap kebejatan yang berlaku dalam negara ini.

 

Pembaca yang membaca secara objektif dapat menilai sendiri bahawa isu-isu yang diberi komen terhadapnya atau yang diutarakan dan dilaporkan oleh individu dan pihak-pihak yang terbabit mampu mengganggu-gugat status quo, antaranya ialah imej kerajaan yang memerintah sekarang dan pihak-pihak yang terpalit dengan mereka. 

 

Contohnya, penyiasatan terhadap kandungan buku tulisan Tommy Thomas dapat dilihat bermotifkan politik kerana terdapat ancaman pada pihak kerajaan yang memerintah sekarang berdasarkan laporan penggunaan kuasa badan eksekutif berlebihan dalam bidang kehakiman oleh kerajaan ketika itu. 

 

Selain itu, siasatan terhadap Fahmi Reza atas isu persamaan grafik satiranya dengan jata negeri Pahang itu mengalihkan orang ramai daripada isu sebenar iaitu penggunaan kuasa kerajaan untuk menghalalkan pembalakan yang berleluasa. 

 

Siasatan terhadap wartawan The Malaysian Insight yang melaporkan tentang isu eksploitasi buruh kanak-kanak tanpa taraf sah itu juga memperlihatkan seolah-olah pihak yang berada dalam kuasa sekarang terjejas imejnya apabila isu pelanggaran hak asasi manusia di Malaysia Timur itu didedahkan. 

 

Tambahan lagi, tindakan polis menyekat sebanyak mungkin laluan orang ramai daripada mengadakan perhimpunan aman semata-mata untuk melindungi seorang penjawat awam kelas atasan yang diragui integritinya itu turut memperlihatkan lagi konsistensi penggunaan kuasa bagi menyekat kebebasan bersuara orang awam. 

 

Berdasarkan siasatan terhadap ahli politik, aktivis tidak berpihak (non-partisan), wartawan profesional, hinggalah orang awam, kerajaan yang memerintah sekarang menunjukkan trend yang membimbangkan dalam penggunaan undang-undang sedia ada bagi mengekang kritikan kontroversi terhadap penyelewengan urus tadbir, integriti, hak asasi manusia dan kuasa. 

 

Hal ini tidaklah menghairankan kerana parti dominan yang mengetuai pakatan parti politik yang memerintah hari ini sememangnya berpengalaman mengunakan sebanyak mungkin undang-undang yang ada bagi menutup mulut sesiapa sahaja yang berani bersuara lantang terhadap mereka. 

 

Sekurang-kurangnya ada tiga lagi akta lain yang sering digunakan oleh kerajaan pada masa lampau bagi menyekat kebebasan suara wartawan, ahli politik pembangkang, dan aktivis tidak berpihak (Mustafa K. Anuar, 2004). 

 

Antaranya ialah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

 

PPPA mencengkam dunia media dengan kuasa yang diberikan oleh kerajaan untuk menarik semula lesen percetakan akhbar mereka jika penerbitan mereka dipercayai “mengganggu-gugat keselamatan negara.”

 

Manakala ISA pula mencengkam kebebasan bersuara dengan mendakwa sesiapa sahaja yang dipercayai mengganggu-gugat keharmonian kaum dan kesejahteraan negara. 

 

Sungguhpun undang-undang ini digubal dengan niat baik selepas tragedi 13 Mei 1969, undang-undang in terkenal digunakan oleh kerajaan pada masa lampau bagi menahan sesiapa sahaja, termasuk ahli politik dan wartawan ternama yang dipercayai mengeluarkan kenyataan atau melaporkan sesuatu yang berbaur hasutan. 

 

Tangkapan bawah akta tersebut juga terkenal dengan kezalimannya kerana sesiapa sahaja boleh ditangkap tanpa perbicaraan yang adil di mahkamah. 

 

Selain itu, OSA pula mengehadkan lagi usaha kewartawanan penyiasatan di negara ini, menyebabkan banyak lagi penyelewengan yang dilakukan kerajaan yang memerintah disorokkan. 

 

Pendek kata, hakikatnya kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia yang sudah sedia terancam makin terlihat terancamnya kebelakangan ini. 

 

Sepatutnya suara rakyat, aktivis, dan wartawan yang melaporkan isu negara menghasilkan tindakan bagi mengekang salah laku tersebut. Sekurang-kurangnya itulah yang terjadi di negara-negara maju. 

 

Namun di negara yang kebebasan medianya terancam seperti Malaysia, orang yang bersuara pula disiasat polis.

 

Sepatutnya polis lebih melindungi individu dan pihak yang bersuara jika mereka melaporkan pendedahan atau mengutarakan pendapat berdasarkan bukti dan sumber yang kukuh. 

 

Perkembangan dalam keseriusan ancaman terhadap kebebasan ini perlu dipandang serius orang awam dalam  mempertimbangkan semula sama ada kerajaan yang memerintah ini benar-benar mahu mendengar suara rakyat (yang mana mereka sendiri sekat) atau mereka sekadar ingin berada di tampuk kuasa. 

 

Wan Salman Wan Sallam ialah aktivis IKRAM Bandar Tun Razak dan kolumnis portal IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia