Semoga seluruh warga Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), anggota keluarga mereka, seluruh ummat Islam di Malaysia dan dunia sentiasa berada dalam keadaan sejahtera, sentiasa mentaati Allah s.w.t., memajukan diri serta memperkembangkannya hari demi hari supaya menjadi lebih baik dengan perjalanan masa, mampu menambah bakti kepada agama yang kita imani dan ummah yang kita sayangi.
Semalam tanggal 22 Oktober 2010, ulang tahun pertama pendaftaran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) diluluskan Pendaftar Pertubuhan. Kita semua sejak tarikh 22 Oktober 2009 yang lalu telah memperolehi sebuah wahana perjuangan yang dapat dimanafaatkan untuk memperkasakan perjuangan menegakkan Islam kembali gemilang menaungi manusia dan alam dengan kehendak Allah s.w.t. dengan rahmat dan keadilan-Nya.
Masa berlalu dengan cepat, kesibukan kita menguruskan transformasi entiti kita kepada IKRAM, pelancarannya di pusat, negeri dan cawangan-cawangan serta meletakkannya di atas landasan perjalanan yang terancang untuk mengejar visi dan menyempurnakan misi membuat kita terlupa tarikh kelahirannya semalam.
Ulang tahun kelahirannya merupakan tarikh keramat kepada kita semua. Permulaan era baru yang menuntut kerja-kerja keras, pengorbanan maksimum, dalam laluan mengkhidmati Islam, ummah dan manusia, pengabdian kepada Allah tahap tinggi sejajar dengan tuntutan masa dan situasi cabaran-cabaran getir yang sedang dihadapi ummah agar ummah kembali berada di posisinya yang mulia, memimpin ummat manusia menuju keredhaan Allah s.w.t, pencipta alam semesta.
Ukhuwah Teras Kegemilangan