Perutusan Ketua Wanita IKRAM sempena Hari Wanita Sedunia

LATARBELAKANG

Hari Wanita Sedunia telah disambut pada tarikh 8 Mac setiap tahun oleh wanita di serata pelusuk dunia  sejak tahun 1911, sebagai hari untuk memberi sokongan dan  mengiktiraf sumbangan dan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat dunia. Sambutan Hari Wanita di peringkat Malaysia telah dirayakan sejak tahun 1961.

Tema Hari Wanita yang dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tahun ini adalah ‘Inspiring Change” atau ‘Menginspirasikan Perubahan’. Tema ini adalah amat bertepatan kerana wanita dan kita semua sememangnya memerlukan inspirasi berterusan  untuk memacu perubahan, baik dalam rumahtangga, keluarga, organisasi mahupun masyarakat amnya.


ISLAM MEMARTABATKAN WANITA

Bagi wanita muslim, risalah yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu sumber inspirasi utama yang telah mengangkat darjat wanita dan memimpin mereka untuk memainkan peranan yang sebenar dan menurut tuntutan syariat Islam. Sebagai Rasulullah s.a.w, beliau telah mengajar kita agar memuliakan wanita sebagai ibu, mencintainya sebagai isteri, mendidik dan mengasihinya sebagai anak dan melindunginya sebagai saudara kandung.

Islam telah menjamin hak-hak kehidupan wanita yang asas, termasuk hak ke atas  identitinya sendiri, hak untuk hidup, hak untuk mendapat pendidikan, hak bersuara, hak memiliki dan mewarisi harta dan hak-hak kemanusiaan lainnya, malah  dianjurkan untuk berperanan aktif dalam pembangunan keluarga dan masyarakat. Cara hidup Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. mencetuskan fenomena revolusi sosial yang mengubah masa depan wanita sehingga Saidina Umar Khalifah Islam yang kedua pernah menyebutkan “Pada zaman jahiliah kami tidak mengambil berat sedikit pun tentang wanita. Namun ketika Islam datang dan Allah s.w.t.  menjelaskan perihal mereka, maka kami tahu mereka mempunyai hak ke atas kami”.


KEDUDUKAN WANITA MALAYSIA

Wanita Malaysia adalah di antara wanita yang boleh dikira agak terkedepan dalam kedudukannya, berbanding dengan beberapa negara lain di dunia. Banyak kejayaan telah dicapai oleh wanita Malaysia berikutan daripada peluang-peluang yang lebih terbuka diberikan kepada wanita khususnya dalam bidang pendidikan.

Namun demikian, pencapaian dan pembelaan ini masih tidak dirasai oleh semua lapisan masyarakat wanita. Indeks kesejahteraan dan pembangunan wanita masih menunjukkan angka-angka yang menuntut kepada penambahbaikan dengan melakukan perubahan. Dasar Wanita Negara yang digubal oleh kerajaan Malaysia masih perlu penambahbaikan dalam mencapai objektif dan cara pelaksanaan strategi tersebut.

Hakikatnya, masih ramai wanita yang belum mendapat  pembelaan yang sebenar. Beberapa petunjuk sosial menunjukkan seorang daripada tiga orang wanita dan gadis di dunia pernah menjadi mangsa keganasan sama ada dipukul, dijadikan habuan seks atau didera dan dianiaya melalui pelbagai cara. Seorang dari empat orang wanita dizalimi dan didera semasa mengandung. Di Malaysia, setiap hari secara purata enam orang wanita dan gadis dirogol. Namun bilangan sebenar jauh lebih tinggi kerana hanya 25% kes rogol yang dilaporkan.

Pelaksanaan dan penuatkuasaan undang-undang negara kita masih belum berupaya memberi pembelaan sebenarnya kepada wanita. Sebagai contoh, masih ramai wanita yang tidak mendapat hak nafkah secara benar, hak sebagai isteri yang digantung tidak bertali dan  hak mendapat keadilan dalam kehidupan berpoligami.

Di sudut yang lain pula, walaupun kemasukan pelajar wanita ke institusi pengajian tinggi melebihi angka 65% di kebanyakan institusi berbanding pelajar lelaki, namun penglibatan wanita dalam sektor pembuatan polisi dan keputusan tertinggi masih jauh dari tahap 30% yang disasarkan kecuali di dalam sektor awam. Sebagai contoh hanya 10.4% ahli Parlimen Malaysia terdiri dari wanita dan 49.5% wanita negara ini bekerja dan menyumbang kepada negara, namun  menurut kajian oleh Thornton pada 2011, bilangan mereka yang menduduki jawatan kanan hanyalah sekitar 20%.

Mengimbangi antara tuntutan kerjaya dan keluarga masih menjadi satu cabaran kehidupan bagi wanita berkerjaya disebabkan ketiadaan sistem sokongan yang membolehkan wanita menyahut cabaran ini. Walaupun banyak dasar mesra wanita telah diumumkan oleh pihak kerajaan namun pelaksanaannya masih jauh dari apa yang sepatutnya. Jurang di antara ketetapan dasar dengan pelaksanaan ini perlu dirapatkan. Perjuangan ini untuk memartabatkan kaum wanita ini memerlukan sokongan padu dari semua pihak termasuk kaum lelaki.


INSPIRASI PERUBAHAN WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

Dengan ini, sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2014, Wanita IKRAM menginspirasikan perubahan berikut dilakukan:

  1. Perjuangan memartabatkan kedudukan wanita didefinisikan semula berdasarkan prinsip kesamarataan (equality) dari sudut melaksanakan tuntutan agama (Ad-Deen) dan kesaksamaan (equity) dalam menentukan hak dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita, iaitu berlaku adil pada tempatnya tanpa sebarang bentuk diskriminasi. Prinsip kesaksamaan yang diperjuangkan hendaklah mengambilkira fungsi biologi dan peranan setiap jantina dan kemampuan mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada keluarga dan masyarakat.
  2. Wanita diperkasakan dengan ilmu untuk mengenal matlamat hidup, membina jatidiri, melaksanakan tanggungjawab, menuntut hak dan membuat keputusan dalam hidupnya. Usaha ini akan membolehkan setiap wanita memulakan perubahan dari dalaman diri mereka,bukan hanya tertumpu untuk meningkatkan kecerdasan intelek semata-mata tetapi juga meningkatkan kecerdasan dan kemahiran mengurus emosi  dan spiritual sendiri dengan baik bagi mengambil kedudukan dan berperanan dalam sosio-masyarakat seperti yang telah dimartabatkan oleh Islam sejak lebih 1400 tahun dahulu.
  3. Lelaki dan wanita berperanan saling lengkap- melengkapi dalam hidup bermasyarakat dan bukan bersaing. Kaum lelaki perlu lebih memahami bahawa peranan yang dikhususkan untuk wanita serta segala bentuk sokongan yang diperlukan bukan bermaksud membezakan atau mendiskriminasikan wanita, tetapi memudahkan kedua-dua lelaki dan wanita untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih efektif.
  4. Wanita diberikan galakan, sokongan dan kemudahan untuk menyumbang dalam struktur sosial masyarakat menerusi bidang kepakarannya dengan menyediakan bantuan dan prasarana khusus untuk wanita muda, ibu muda, ibu tunggal, wanita terpinggir, wanita kelainan upaya dan warga emas. Pembentukan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan hendaklah melihat kepada keperluan ini dengan lebih menyeluruh (holistic) bagi menjamin pelaksanaan yang berkesan dalam menyediakan kemudahan dan sokongan  dalam bidang-bidang yang memerlukan tenaga wanita. Ianya tidaklah hanya sekadar menyatakan keperluan dengan menetapkan sasaran tenaga wanita untuk tampil keluar bekerja bagi membangunkan negara semata-mata.
  5. Institusi keluarga yang lebih mantap dan kukuh dengan lelaki dan wanita berperanan dalam rumahtangga didasarkan kepada prinsip perkongsian hidup, pembahagian tugas khusus, layanan yang baik dan menunaikan tanggungjawab dengan sempurna menurut syariat. Ini adalah aspek perubahan yang amat penting kerana Islam telah menetapkan bahawa asas institusi keluarga adalah untuk menjamin kepentingan wanita samaada bagi wanita yang belum atau telah berumahtangga.
  6. Institusi kehakiman yang akan melindungi dan menjamin hak seorang warga negara. Kita mengharapkan penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang  yang terbukti membela wanita. Perundangan berteraskan syariah yang melindungi wanita, selaras dengan prinsip-prinsip keadilan, kebebasan dan kesejahteraan yang mengambilkira kepentingan setiap lapisan masyarakat, tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan sekalipun wajar dihidupkan kembali dengan melihat kepada pelaksanaannya yang bersesuaian di abad ke 21 ini.


PIAGAM WANITA ISLAM

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia juga telah menyediakan satu dokumen PIAGAM WANITA ISLAM yang menghuraikan prinsip asas pengiktirafan terhadap peranan, tanggungjawab dan hak wanita dan lelaki dalam semua aspek pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara bagi mewujudkan umat pertengahan (ummatanwasatan).

Ianya menjelaskan secara khusus, asas perjuangan kaum wanita masa kini dengan memartabatkan peranan dan sumbangan kaum wanita dalam sebuah keluarga yang merupakan unit penting dalam masyarakat.


Selamat Hari Wanita 2014


USTAZAH MAZNAH DAUD

Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia