Perpaduan: Semat Rukun Negara Dalam Urusan Seharian

Perpaduan: Semat Rukun Negara Dalam Urusan Seharian | IKRAM

BANDAR BARU BANGI – Rukun Negara yang dilaungkan sejak bangku sekolah seharusnya dihayati dan disemat dalam pemikiran setiap rakyat dan juga urusan seharian bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan negara terus dikecapi dan terpelihara.

“Rukun Negara bertujuan untuk mencapai perpaduan yang lebih erat, memelihara cara hidup yang demokratik, mencipta keadilan dalam menikmati kemakmuran negara bersama dan memupuk sikap menyelami budaya satu sama lain,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Indera Noridah Abd Rahim.

Jelasnya, amat penting sekali untuk kita merenung, mempelajari dan memahami kepentingan prinsip Rukun Negara dan bagaimana ia berperanan dalam menyemarakkan perpaduan dan semangat cintakan negara agar kita terus mengecapi keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian forum Bicara Bina Negara bertajuk ‘Lima Dekad Rukun Negara: Di mana Perpaduan Malaysia Kini?’ di Dewan Sheikh Othman Sarawak, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Forum ini menampilkan barisan panelis yang terdiri daripada Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Haji Badlishah Sham Baharin, Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari PBB (SDSN) Sunway University, Prof Dr Wong Chin Huat. 

Kata Dato’ Noridah lagi, buat pertama kalinya pada tahun 2021, Dasar Perpaduan Negara yang khusus telah dihasilkan melalui Pelan Tindakan Perpaduan negara (PTPN) 2021-2030 bagi menyokong serta menterjemah dasar itu dalam satu program dan inisiatif yang lebih terancang.

“Pelaksanaan PTPN 2021-2030 merentas pelbagai kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta secara bersepadu yang menekankan prinsip kebertanggungjawaban bersama dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai bangsa agama dan budaya berlandaskan perlembagaan persekutuan dan rukun negara,” tambah beliau.

Menurutnya, Kementerian Perpaduan Negara juga komited dalam menjayakan aspirasi ‘Membangun Malaysia MADANI’ yang telah diiltizamkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“MADANI ini bertindak sebagai ikhtiar yang menjelaskan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan, mewujudkan sebuah masyarakat maju, terampil dan terangkum dan akhirnya Malaysia menjadi sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain,” ujar beliau.

Perpaduan: Semat Rukun Negara Dalam Urusan Seharian | IKRAM
Sumber: FB Kementerian Perpaduan Negara

Dalam pada itu, perpaduan dan keharmonian adalah berteraskan semangat toleransi dan penerimaan yang diamalkan oleh rakyat Malaysia. 

“NGO perlu berperanan dengan menggunakan pendekatan yang bersifat mutiracial (pelbagai kaum) agar solusi yang dianjurkan dapat diterima oleh pelbagai kaum.” ujar Badlishah Sham. 

Beliau menjelaskan, kepimpinan di pelbagai peringkat harus selesaikan isu yang berlaku tanpa emosi melalui kekerapan perbincangan secara baik dan profesional. Contohnya, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) merupakan salah satu  pentas yang digunakan oleh NGO berlatarbelakangkan pelbagai kaum bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

Dalam kita menguruskan perpaduan di Malaysia, kita harus mengamalkan prinsip setuju untuk bersetuju, dan setuju untuk tidak bersetuju, demikian lontaran pemikiran yang ditegaskan Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.  Beliau menjelaskan lanjut bahawa kesepaduan adalah proses mencapai perpaduan.

Ini senada dengan pandangan Prof Dr Wong Chin Huat yang mengatakan demokrasi tidak boleh berdiri atas perpecahan tetapi perlu kepada kesepaduan.

Beliau mengatakan, persaingan akan mewujudkan perpecahan yang membawa kepada kekuatan sekiranya diurus dengan baik, tetapi perpecahan yang menyebabkan permusuhan adalah impak yang tidak harus terjadi dan perlu dielakkan.  

Bicara Bina Negara  (BBN) ‘Lima Dekad Rukun Negara: Di mana Perpaduan Malaysia Kini?’ merupakan forum anjuran IKRAM dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Institut Kajian Etnik (KITA) UKM.

Menerusi forum ini, ia diharapkan dapat meningkatkan penghayatan pemimpin, para pemegang taruh dan masyarakat terhadap prinsip Rukun Negara dan memahami peranannya dalam mencapai perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan etnik di Malaysia.

Dihadiri lebih 100 peserta yang terdiri daripada mahasiswa pelbagai universiti, agensi kerajaan dan NGO serta ditonton secara dalam talian, forum turut dihadiri Timbalan Presiden IKRAM Jusni Yusoff, Naib Presiden Prof Dr Hanim Salleh merangkap Ketua JK Agenda Nasional dan Ahli JK Pusat Dr Sabariah Baharun yang juga Ketua Kluster Perpaduan Nasional dan Pengarah BBN.

Tonton video penuh BBN: https://www.youtube.com/watch?v=8vhbqo71Nak 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia