KUALA LUMPUR – Muhammad Farhan Param Kunaseigaran, lebih mesra dipanggil Cikgu Param yang pernah muncul dalam video perpaduan TV IKRAM pada 2022, hari ini dinobatkan antara enam pemenang Anugerah MyHero 4.0 pada hari ini.
Anugerah disampaikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang kepada beliau, disaksikan oleh Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI), Datuk Ng Yih Pyng di Wisma Chinese Chamber di sini.
Cikgu Param dan lima lagi pemenang Anugerah MyHero 4.0 menerima hadiah berjumlah RM5,000 bersama plak, sijil penghargaan dan penyertaan. Anugerah kali ini menerima 56 pencalonan, manakala 13 calon layak ke peringkat akhir dan enam daripadanya dipilih sebagai pemenang.
Hadir bersama dalam Majlis Penyampaian Anugerah MyHero 4.0 adalah Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin dan Ahli Jawatankuasa Pusat merangkap Ketua Kluster Perpaduan Nasional, Dr Sabariah Baharun.
Kakitangan Jabatan Komunikasi Korporat IKRAM, Mohamad Hanif Fadzil sebagai pencadang kepada pencalonan Cikgu Param turut hadir ke majlis tersebut untuk menerima penghargaan.
Beliau terlibat dalam pembikinan video perpaduan tersebut di bawah Jabatan Komunikasi dan Media IKRAM yang diketuai Pn Siti Hamisah Manan, sempena Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK) 2022 dengan tema “Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama.”
Majlis Penyampaian Anugerah MyHero 4.0 dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama KLSCCCI, bertujuan memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada wira dan wirawati Malaysia atas keikhlasan, keberanian dan keazaman dalam membantu masyarakat berlainan bangsa dan agama.
Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan masyarakat prihatin dan harmoni tanpa mengira batas agama dan bangsa, memberi inspirasi dalam menyampaikan mesej perpaduan kepada seluruh rakyat Malaysia dan menjadi platform mendidik generasi muda mengenai budaya toleransi.
Tahniah Cikgu Param! Semoga ia menjadi inspirasi dalam menyemarakkan lagi perpaduan di Malaysia. Video beliau boleh disaksikan di pautan https://www.youtube.com/watch?v=mdmdt9mw_gU&t=31s.