Peristiwa Hijrah: 7 Nilai Menginspirasi Kehidupan

Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW merupakan satu titik perubahan besar dalam sejarah Islam. Meskipun berlaku lebih 1,400 tahun yang lalu, namun ia tetap relevan untuk dihayati sehingga ke hari ini.

Hijrah menandakan permulaan era baru dalam sejarah Islam dengan nilai-nilai pengorbanan, persaudaraan dan keberanian menjadi tunjang dalam pembentukan masyarakat yang adil dan sejahtera.

Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar ini, semangat hijrah membawa inspirasi yang mendalam untuk membina kehidupan yang lebih bermakna.

Artikel ini akan mengupas bagaimana aspek-aspek penting daripada peristiwa Hijrah boleh diterapkan dalam kehidupan seharian serta menjadi panduan bagi mencapai kejayaan dan kesejahteraan dalam hidup.

1. Pengorbanan dan kesabaran  

Hijrah merupakan lambang pengorbanan yang tinggi. Rasulullah SAW dan para sahabat meninggalkan tanah air, harta benda dan keluarga demi menegakkan Islam.

Pengorbanan mereka bukan sahaja bersifat fizikal tetapi juga emosional kerana mereka berpisah dengan semua yang disayangi dan meninggalkan segala kesenangan duniawi.

Peristiwa ini menunjukkan betapa besar pengorbanan yang diperlukan untuk mempertahankan prinsip dan keyakinan yang benar. Semangat pengorbanan ini boleh diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan kita seperti dalam pekerjaan, pendidikan dan hubungan sosial.

Kesabaran yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat sepanjang perjalanan hijrah adalah teladan yang berharga. Pelbagai rintangan dan cabaran dihadapi dengan ketabahan hati dan keteguhan iman.

Kesabaran mereka mengajar kita untuk terus tabah dalam menghadapi cabaran hidup. Kesabaran adalah kunci untuk terus maju tanpa berputus asa.

2. Persaudaraan dan kerjasama  

Salah satu aspek penting dalam peristiwa Hijrah juga ialah semangat persaudaraan yang terjalin antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Tindakan kaum Ansar dengan penuh ikhlas membantu dan berkongsi segala keperluan dengan kaum Muhajirin mencerminkan kekuatan persaudaraan Islam yang melampaui batasan harta benda dan status sosial.

Ia menunjukkan bahawa nilai persaudaraan dan kasih sayang adalah asas kepada masyarakat yang harmoni dan progresif. Dalam konteks kehidupan moden, semangat ini boleh diaplikasikan dengan memperkukuh hubungan silaturahim, saling membantu dan bekerjasama.

Persaudaraan yang kukuh akan melahirkan rasa kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang tinggi, menjadikan setiap individu lebih prihatin terhadap kesejahteraan orang lain. Nilai ini menjadi semakin penting bagi memastikan kehidupan masyarakat yang sejahtera dan rahmah.

3. Keberanian dan keyakinan

Hijrah memerlukan keberanian yang luar biasa. Rasulullah SAW dan para sahabatnya meninggalkan segala-galanya untuk memulakan kehidupan baru di tempat yang asing demi memastikan kelangsungan dakwah Islam.

Keberanian ini bukan sahaja dari sudut fizikal tetapi juga mental dan emosional. Keimanan yang mendalam terhadap Allah SWT serta keyakinan akan ganjaran yang besar memberi mereka kekuatan untuk terus maju walaupun dalam keadaan yang sukar.

Dalam kehidupan, kita sering berhadapan dengan situasi yang memerlukan keberanian untuk membuat perubahan, sama ada dalam kerjaya, pendidikan atau kehidupan peribadi.

Keberanian untuk melangkah keluar dari zon selesa dan menghadapi cabaran baharu adalah langkah penting menuju kejayaan.

Keyakinan kepada diri sendiri serta yakin akan pertolongan Allah kerana Allah sentiasa bersama adalah kunci untuk menghadapi ketidakpastian dan ketakutan. Keberanian dan keyakinan sebegini akan membawa kita kepada kejayaan dalam hidup.

4. Perancangan dan strategi  

Hijrah bukanlah satu perjalanan yang dilakukan secara spontan, tetapi ia dirancang dengan teliti oleh Rasulullah SAW. Baginda memilih masa yang tepat, laluan yang strategik dan mengambil langkah-langkah keselamatan untuk memastikan kejayaan hijrah.

Ini menunjukkan betapa pentingnya perancangan dan strategi dalam mencapai sesuatu matlamat.  Kita harus mengamalkan prinsip seperti ini dengan merancang tindakan kita dengan baik, menetapkan tujuan yang jelas dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang.

5. Menghargai kebebasan dan keadilan  

Peristiwa Hijrah telah membawa Rasulullah SAW dan para sahabat keluar daripada penindasan di Makkah kepada kebebasan dan keadilan di Madinah.

Hijrah membuka peluang untuk mereka hidup dan mengamalkan Islam sepenuhnya tanpa rasa takut. Madinah menjadi tempat nilai-nilai kebebasan dan keadilan dapat ditegakkan serta hak-hak setiap individu dihormati dan dilindungi.

Nilai kebebasan dan keadilan adalah asas kehidupan yang penting, bukan sahaja untuk kesejahteraan individu tetapi juga untuk kestabilan dan kemakmuran masyarakat keseluruhannya.

Dengan menghargai dan mengamalkan nilai-nilai ini, kita dapat membina sebuah masyarakat yang lebih harmonis, adil dan sejahtera. Dalam masyarakat seperti ini, setiap individu diberi ruang untuk berkembang dan dihormati hak-haknya.

6. Kesederhanaan dan keinsafan  

Hijrah juga mengajar kita tentang kesederhanaan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak membawa harta benda yang banyak ketika berhijrah, tetapi mereka membawa keimanan dan keikhlasan.

Hal ini menunjukkan bahawa kekayaan hati dan jiwa jauh lebih  penting daripada kekayaan material. Dalam dunia yang semakin materialistik, mengamalkan kesederhanaan dapat membantu kita mencapai perkara yang lebih bermakna iaitu hubungan dengan Allah.

Kesederhanaan juga mengajarkan kita untuk bersyukur dengan apa yang ada dan menjauhkan sikap tamak yang boleh merosakkan nilai-nilai kemanusiaan. Kita akan menjadi lebih insaf dan sedar akan tujuan hidup yang sebenar iaitu mencari keredaan Allah.

Keinsafan ini mengingatkan kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dan menjalani kehidupan dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati. Dengan yang demikian, kita dapat mencapai ketenangan jiwa dan kebahagiaan yang hakiki.

7. Keteguhan iman dan doa  

Akhir sekali, hijrah ialah satu perjalanan yang didasari keteguhan iman dan kekuatan doa. Rasulullah SAW sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah.

Kayakinan yang teguh kepada Allah menjadi asas kepada setiap keputusan dan tindakan. Inilah yang memberi Rasulullah SAW kekuatan dalam menghadapi segala cabaran dan rintangan di sepanjang perjalanan hijrah.

Dalam kehidupan kita, keteguhan iman dan kekuatan doa adalah sesuatu yang tidak ternilai. Doa merupakan cara kita berkomunikasi dengan Allah, memohon petunjuk, bantuan dan keberkatan dalam setiap urusan.

Doa menunjukkan kerendahan hati dan pengakuan bahawa kita memerlukan Allah dalam setiap aspek kehidupan.

Iman yang kukuh pula memberi kita keyakinan bahawa Allah sentiasa mendengar dan akan memberikan yang terbaik untuk kita walaupun kadang-kadang apa yang kita inginkan tidak seiring dengan apa yang Allah tentukan.

Oleh itu, dalam setiap langkah dan keputusan yang diambil, kita harus sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah serta yakin akan dibimbing ke jalan yang diredai-Nya. Inilah rahsia kejayaan dalam kehidupan seperti yang diajarkan oleh peristiwa Hijrah.

Penutup

Menghayati semangat hijrah bermaksud mengambil pengajaran daripada peristiwa besar ini dan mengaplikasikannya dalam kehidupan.

Dengan meneladani sifat-sifat dan nilai-nilai di atas, kita dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan diberkati.

Semoga semangat hijrah sentiasa menjadi inspirasi dalam setiap langkah hidup kita, membimbing kita menuju kejayaan di dunia dan kebahagiaan yang abadi di akhirat.

Siti Salwa Abd Samad

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia