Perceraian: Suami Isteri Perlu Bijak Mengurus Tekanan

Perceraian: Suami Isteri Perlu Bijak Mengurus Tekanan | IKRAM

Institusi kekeluargaan sentiasa memainkan peranan penting dan utama dalam melindungi fahaman agama, keselamatan, martabat serta memastikan semua ahli keluarga dipelihara, harmoni dan sejahtera.

Tentunya untuk mencapai semua itu, ia perlu dimulakan sedari sebelum berumah tangga lagi.

Segalanya perlu dengan ilmu dan kefahaman yang jelas bagi menangani salah faham mahupun ketegangan dalam menjalani kehidupan yang dibina dan kekal hingga akhir hayat.

Perlu diketahui bahawa semua itu bukan memerlukan waktu yang sedikit, tetapi sangat panjang walaupun ketika telah membina kehidupan berumah tangga dan berkeluarga.

Peranan sebagai pasangan, tidak kira suami atau isteri, seharusnya wujud sejak awal mahligai indah itu dibina. Ini bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini tercetus hingga mengakibatkan keretakan, lantas berlakunya perceraian.

Dewasa ini, tragedi yang tidak pernah sesiapa pun impikan dalam alam perkahwinan tersebut sering kali didengari di media arus perdana mahupun media sosial.

Jika suatu waktu dulu, ia menjadi ‘kisah’ yang ditutup rapi yang kadangkalanya tidak diketahui keluarga apatah lagi masyarakat sekeliling.

Namun, situasi itu sangat berbeza kini. Setiap hari ada sahaja media melaporkan kisah-kisah pergolakan, syiqaq (pergaduhan) hinggalah berlakunya perceraian yang kini menjadi fenomena dan virus jahat yang menular.

Dalam situasi ini, ia tentunya dapat dielakkan jika setiap pasangan khususnya mempelajari, memahami serta mengambil peduli peranan masing-masing terhadap rumah tangga dan keluarga.

Keharmonian, kedamaian dan kesejahteraan yang dimimpikan perlulah sering diulang tayang bagi mewujudkan aura, fizikal dan emosi yang positif.

Interaksi dan komunikasi antara pasangan haruslah ada setiap hari bagi mewujudkan kasih sayang dan kepedulian.

Mengurus Tekanan

Rentetan daripada situasi yang tidak diingini itu, terdapat di kalangan masyarakat kita yang berada dalam situasi yang merasakan kehidupan ini memenatkan. Apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan seharian menjadi sangat meletihkan dalam aspek fizikal dan emosi.

Justeru, dalam mengurus tekanan yang dihadapi, setiap pasangan, lelaki dan perempuan seharusnya melaksanakan peranan masing-masing agar ia dapat ditangani dengan sebaiknya.

Sedarkah kita, mengalami tekanan dan kebimbangan harian adalah sesuatu perkara biasa, tetapi dari masa ke masa, ia boleh menjadi suatu tekanan yang kronik sehingga boleh menjejaskan badan?

Ia berpunca daripada keletihan emosi disebabkan oleh tekanan hidup yang berterusan dalam tempoh yang lama, sama ada tekanan peribadi di rumah atau tekanan yang berkaitan di tempat kerja.

Sebagaimana diketahui, punca keletihan emosi berbeza bagi setiap individu. Boleh jadi, perkara yang tidak akan memberi tekanan kepada diri kita mungkin amat memberi tekanan kepada orang lain.

Keadaan emosi, mental dan keletihan fizikal yang disebabkan oleh tekanan berlebihan yang berpanjangan seharusnya dielakkan.

Sedarkah kita, situasi tersebut terjadi apabila diri seseorang itu diselubungi kesedihan dan tidak dapat memenuhi keperluan diri atau terlalu banyak tekanan kerja dalam jangka masa yang amat panjang?

Menurut pakar psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria, ‘keletihan mental yang melampau’ dalam terma psikologi merujuk kepada keadaan kelelahan fizikal, mental dan emosi yang berlaku kepada individu akibat pendedahan kepada tekanan yang berpanjangan

“Ia berlaku apabila seseorang itu tidak lagi mampu menampung tekanan apabila sumber kekuatan kita dalam menghadapi tekanan selama ini semakin menyusut. Dalam masyarakat, situasi ini sering dilihat sekadar stres biasa.”

Namun, ia perlu diberi perhatian yang wajar kerana dibimbangi keletihan sebegini boleh memberi kesan kepada kesihatan mental sekiranya tidak ditangani dengan baik dan segera.

Siapa pun tidak mahu sampai kepada situasi tekanan mental atau juga disebut ‘burnout’ berlaku. Setiap pasangan suami isteri perlulah memberikan sepenuh komitmen dalam menguruskan keluarga, bukan hanya menyerahkan kepada satu pihak sahaja.

Giat advokasi, kempen

Oleh yang demikian, stigma masyarakat terhadap tanggungjawab dan amanah sebagai suami isteri perlu diperbetulkan bagi mengelakkan salah faham yang berlarutan.

Sebagai contoh, sering didengari bagi seorang wanita yang sudah bergelar isteri, syurganya terletak di bawah kaki suami.

Walaupun tiada hadis sahih yang berkata sedemikian, namun ia boleh dianggap sebagai suatu analogi bahawa seorang isteri itu menjadi ahli syurga adalah dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak tercatat dalam ayat al-Quran dan hadis.

Namun, ia bukan menjadi asbab seorang lelaki iaitu suami boleh membuat sesuatu yang melampaui batas kepada isterinya, hingga seorang isteri rasa sakit, dikhianati seterusnya memberikan kesan mental yang tidak baik pada dirinya mahupun tempias yang buruk kepada keluarga. 

Rasulullah SAW perlu dijadikan contoh oleh para suami dalam melayani dan menyantuni isteri mereka dengan sebaiknya. Sabda Nabi SAW:

“Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya.” (HR Ibnu Majah, No. 1977, Hadis Hasan)

Dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan agar setiap manusia perlu menjaga diri dan keluarga mereka daripada melakukan perkara maksiat atau dosa, agar terhindar daripada azab di akhirat, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim: 6)

Pertelingkahan dan perselisihan adalah perkara lumrah dalam rumah tangga. Apa yang penting, situasi yang berlaku itu perlu ditangani sedari awal agar tidak merebak dan membarah dalam keluarga apalagi masyarakat.

Usaha-usaha ini perlu diambil peduli oleh semua pihak agar ia berjaya direalisasikan dan dapat mengurangkan terjadinya kes-kes rumah tangga dan keluarga seterusnya menoktahkan tragedi buruk itu.

Oleh itu, pendidikan, advokasi atau kempen kesedaran dalam membina keutuhan keluarga perlulah dipergiatkan lagi bagi mewujudkan kembali masyarakat yang rukun, harmoni, sejahtera dan bahagia.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia