Perceraian: Mengapa Wanita Sering Dipandang Serong?

Perceraian: Mengapa Wanita Selalu Dipandang Serong? | IKRAM

Agak menyakitkan didengar apabila ada segelintir pihak yang gemar merendahkan wanita-wanita yang diuji dengan perceraian dalam rumah tangga dengan memberi  julukan yang kurang menyenangkan, seolah-olah mereka ini adalah wanita golongan rendahan dan tidak memiliki  maruah diri. 

Sikap dan tohmahan sebahagian masyarakat begitu menghiris hati, lebih-lebih lagi ada pihak yang sengaja mengapi-apikan suasana dengan menyebarkan iklan-iklan produk yang menggunakan ayat-ayat provokasi sebagai pelaris produk tanpa berfikir akan kesan negatif terhadap sebilangan nasib para wanita yang berstatus janda. 

Ingatlah akan ayat Allah Azzawajalla perihal orang-orang yang gemar merendahkan orang lain dan bersikap sombong.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik daripada mereka.” (Surah Al Hujurat: 11)

Ibnu Katsir rahimahullah berkata bahawa ayat di atas berisi larangan melecehkan dan meremehkan orang lain. Dan sifat melecehkan dan meremehkan termasuk dalam kategori sombong sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

“Sombong adalah sikap menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (HR Muslim, No. 91) 

Yang dimaksudkan di sini adalah meremehkan dan menganggapnya kerdil. Meremehkan orang lain adalah suatu yang diharamkan kerana boleh jadi yang diremehkan lebih mulia di sisi Allah seperti yang disebutkan dalam ayat di atas.” (Tafsir al-Quran al-Azim, 6: 71)

Seharusnya masyarakat pada hari ini lebih peka, lebih bijak dan matang dalam perilaku agar jangan sengaja memburuk-burukkan peribadi wanita-wanita yang berstatus janda kerana mungkin saja di luar pengetahuan kita terdapat sebilangan mereka memilih untuk mengakhiri perkahwinan agar beroleh jalan kedamaian dan ketenangan hidup.

Dan mereka ini bukanlah kesemuanya tergolong dalam kalangan wanita-wanita yang kurang baik akhlak dan peribadinya seperti yang difikirkan ramai pihak. 

Sangat menyedihkan apabila melihat pelbagai kata-kata kesat dan hinaan dilemparkan, sebahagian orang melihat masa lalu sebagai tiket untuk menilai tanpa mengetahui perihal sebenar di sebaliknya.

Sikap menuding jari yang hanya menyalahkan wanita sebagai punca masalah perceraian, walhal hakikatnya lelaki juga adalah penyumbang terbesar dalam perpecahan sesebuah rumah tangga.

Kegagalan institusi rumah tangga tidak boleh dilihat hanya sebelah pihak sahaja yang bersalah, melainkan kedua-dua pihak.

Ini kerana apabila kedua-dua pihak sudah tidak memiliki persefahaman dan buntu menemui jalan perdamaian yang terbaik, langkah akhir yang diambil adalah berpisah dan membawa haluan hidup masing-masing.

Apabila memperkatakan tentang perceraian, maka seharusnya masyarakat kena adil dalam menilai dan tidak menumpahkan semua kesalahan hanya terpikul di bahu para wanita sahaja.

Begitu juga dengan pelbagai julukan kurang baik yang sudah sekian lama berakar dalam masyarakat haruslah dihapuskan. Kerana itu, penting untuk ‘membasuh’ minda masyarakat daripada pemikiran negatif agar kelak generasi masa depan lebih bersifat insani dan berimpati.

Tidak mudah menilai mahupun memperlekehkan orang-orang yang diuji dengan perceraian, baik ia seorang lelaki mahupun seorang wanita.

Buat mereka yang sedang diuji dengan pelbagai ujian yang menggoyahkan bahtera rumah tangga, ingatlah hikmah di balik ujian, sungguh ujian itu mentarbiah dan pembelajaran memperbaiki diri ke arah lebih baik.

Dalam sebuah hadis, Nabi  SAW bersabda:

فَمَا يَبْرَحُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الْأَرْضِ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيئَةٍ

“Ujian itu akan selalu menimpa seorang hamba sampai Allah membiarkannya berjalan di atas bumi dengan tidak memiliki dosa.” (HR Tirmidzi, No. 2398, Hadis Hasan)

Oleh yang demikian, kegagalan dan kesilapan orang lain bukanlah tiket bagi kita untuk memperlekeh atau mentertawakan mereka, melainkan ada pengajaran yang boleh ditapis untuk dipelajari bersama. 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia