Peranan Muslim dan Media Tangani Islamofobia

Peranan Muslim dan Media Tangani Islamofobia | IKRAM

Fenomena Islamofobia kerap dikaitkan dengan negara-negara yang mempunyai bilangan penduduk minoriti Muslim. Kekurangan pendedahan terhadap Islam dan masyarakatnya menyebabkan komuniti bukan Islam berasa takut dengan apa yang mereka tidak tahu. 

Bagaimanapun, Islamofobia turut berlaku di Malaysia walaupun negara ini didiami oleh majoriti penduduk Islam. Realitinya, fenomena ini turut berlaku dalam kalangan penganut Muslim, apatah lagi dalam masyarakat bukan Islam.

Kenyataan menghina dan mempertikaikan undang-undang Islam, mempersoal fatwa mufti, berasa curiga dengan orang yang berpenampilan seperti bertudung labuh dan berjubah membuktikan Islamofobia wujud di persekitaran dan ini harus dibendung. 

Islamofobia merujuk kepada persepsi negatif dalam bentuk diskriminasi dan ketidakadilan dalam pelbagai bentuk akibat didorong rasa takut, benci dan bimbang terhadap agama Islam dan penganutnya.

Persepsi serong ini harus diperbetulkan agar Islam tidak terus disalahfahami hingga mewujudkan prasangka yang salah dan tidak berasas.

Pada hakikatnya, tanggapan buruk ini terbina atas fakta yang tidak jelas atau salah. Ini ditambah buruk oleh tindakan segelintir Muslim termasuk orang yang dipercayai dalam masyarakat terlibat ‘menconteng’ agama ini sendiri dengan perlakuan jelik atau kenyataan yang jauh sekali bertentangan dengan ajaran Islam. 

Setiap penganut agama Islam seharusnya menjadi duta agama, namun malangnya, ini tidak dapat diterima pakai sebagai kenyataan yang benar sepenuhnya. 

Mana-mana agama akan ada orang yang bertindak menjadi nila setitik yang merosakkan susu sebelanga. Ironinya, Islam sahaja yang mendapat kategori Islamofobia berbanding agama lain.

Keganasan dan kerosakan yang ditimbulkan tidak berwajah agama, bahkan harus dinilai sebagai salah perilaku individu. 

Peranan media

Mutakhir ini, agama Islam dipersembahkan sebagai jumud, keras dan mengancam sehingga menakutkan masyarakat terutamanya terhadap orang yang tidak memahami Islam sedangkan ajaran agama ini tidak mengiktiraf, bahkan menentang perkara sedemikiran. 

Lantas Islam dikaitkan menjadi faktor pemecah, menimbulkan kebencian, menyebabkan perseteruan sehingga berwajah hodoh disebabkan oleh pendekatan melampau sesetengah pihak.

Sebaliknya Islam yang diwahyukan Ilahi dan dibawa oleh Nabi Muhammad SAW datang membetulkan ketidakadilan, keganasan, keburukan dalam masyarakat melalui pendekatan yang berhikmah dan beradab.

Media terbukti merupakan alat yang berkuasa membentuk pandangan majoriti masyarakat hingga masuk terpasak dalam jiwa dan pemikiran mereka. Namun, sering kali media dipergunakan untuk tujuan eksploitasi dan manipulasi bagi kepentingan diri.  

Media harus mengangkat kedudukannya menjadi rujukan yang ada akauntabiliti dan tanggungjawab dengan menyebarkan mesej-mesej berdasarkan fakta yang sahih dan betul tentang Islam.

Penerbitan yang bertentangan dengan nilai Islam atau mengelirukan tidak harus terjadi dan perlu dipandang serius.  

Perkara yang tidak betul atau senonoh tidak harus diangkat untuk diuar-uarkan sehingga menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat. 

Kejadian oleh penganut Islam yang tidak bertanggungjawab walaupun memakai pangkat apa sekalipun, tidak harus mewakili imej agama ini untuk disebarkan sebagai kepercayaan.

Setiap Muslim bertanggungjawab terhadap agama ini agar dikenali sebagai agama rahmatan lil alamin (rahmat untuk seluruh alam) sepertimana yang diwahyukan Ilahi dan dibawa Rasulullah SAW. Tanggungjawab ini harus diperkuatkan dengan jaringan insitutsi, badan-badan dan pertubuhan Islam yang ada. 

Tangani Islamofobia

Pelancaran Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HGIM) yang merupakan gabungan empat pertubuhan gerakan islam yang utama di Malaysia dilihat sebagai usaha untuk mendukung nilai-nilai Islam yang bersifat wasatiy iaitu menekankan keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan serta menolak ekstremisme.

Masyarakat terutamanya orang Islam harus dibina kefahaman yang jernih tentang ajaran agama yang benar melalui pelan strategi yang berkesan dari segenap peringkat merangkumi sekolah, masjid, daerah, negeri dan kebangsaan. 

Pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang mahu dilaksanakan oleh KPM dalam sekolah menengah agama adalah usaha yang dapat memperdalamkan kefahaman dan penghayatan terhadap agama pada generasi muda.

Generasi ini harus bangkit merubah masyarakat yang telah menormalisasikan maki hamun, cerca dan fitnah hingga dianggap sebahagian daripada amalan agama ini. 

Kerjasama antara agensi kerajaan, institusi agama dan pihak berkuasa secara selaras dapat memperkukuhkan usaha memerangi Islamofobia di negara ini agar menjadi contoh teladan yang dapat diikuti oleh negara-negara lain.

Ini sejajar dengan keprihatinan yang diluahkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78 pada 22 September lalu di New York. 

Anwar melahirkan kebimbangannya terhadap isu perkauman yang dimainkan ketika ini hingga menimbulkan prejudis terhadap bangsa lain dan tanggapan negatif terhadap umat Islam. 

Insiden pembakaran al-Quran misalnya, satu tindakan Islamofobia yang nyata,” ujarnya. 

Menurutnya, perbuatan ini bertujuan menghasut kepada kebencian. Jika tidak bertindak terhadap provokasi yang dilakukan itu, ia satu mesej bahaya kepada kemanusiaan.

Sejarah telah berulang kali menyingkapi kemudaratan terjadi akibat fenomena Islamofobia yang sepatutnya tidak perlu wujud.

Ini adalah agenda yang sengaja direka cipta oleh pihak tertentu tetapi dibenarkan melalui propaganda dan tindakan tidak bertanggungjawab orang Islam sendiri. 

Oleh sebab itu, seluruh umat Islam harus menggembleng tenaga, memerangi naratif buruk ini melalui mesej kebaikan yang dihiasi akhlak mulia membina dunia yang lebih inklusif, adil dan beradab sehingga semua kehidupan dapat merasakan kewujudah Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia