Peranan Dan Fungsi Sastera Dalam Masyarakat

Peranan Dan Fungsi Sastera Dalam Masyarakat | IKRAM

Sejak dahulu lagi, manusia telah menghasilkan karya sastera dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Kelompok kaum, suku dan bangsa mengembangkan kedua-dua hasil karya sastera, iaitu lisan dan tulisan yang terdapat dalam korpus sastera mereka.

Apa yang menariknya, sastera mencerminkan kepercayaan dan falsafah sesebuah tamadun.

Rene Wellek dalam buku Theory of Literature (1948) menyatakan, pertembungan antara kritikan intrinsik dengan ekstrinsik akan terus berlanjutan. Buku teori moden yang pertama itu mengupas tentang dua pendekatan terhadap karya sastera.

Pertama, pendekatan ekstrinsik, iaitu pendekatan yang mengaitkan karya sastera dengan bidang lain dan keduanya ialah intrinsik, iaitu pendekatan yang mengkhususkan diri pada unsur karya sastera itu sendiri. 

Begitulah polemik yang berlaku pada 1950an, sewaktu dunia sastera dan persuratan negara ditata oleh sebuah persatuan besar Angkatan Sasterawan 50 (ASAS-50) yang mempolemikkan seni untuk seni atau seni untuk masyarakat.

“Sekurang-kurangnya pada waktu itu ada kesedaran sastera dan seni bukan sekadar untuk seni. Tapi sastera dan seni untuk masyarakat,” kata Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Prof. Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Menurutnya, barangkali pada waktu itu seni untuk masyarakat masih agak sempit pengertiannya.

“Soal perjuangan, keadilan dan ekonomi ketika itu memang tanpa ragu-ragu dipengaruhi nasionalisme, sudah mula mengakar menjadi intisari perjuangan masyarakat pada waktu itu,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjadi ahli panel Majlis Forum ‘Keberadaan Sastera Dalam Daulah Islam sempena Hari Sastera ke-18 yang bertemakan ‘Islam dan Sastera Kebangsaan’ di PCB Resort, Pantai Cahaya Bulan pada 4 hingga 6 Ogos lalu.

Tambahnya lagi, sekurang-kurangnya ketika itu telah wujud satu kesedaran bahawa seni sastera bukan semata-mata untuk seni sastera, seperti sesetengah kalangan yang sehingga sanggup ‘mendabrak’ segala sistem yang ada.

Sistem Nilai Dalam Sastera

“Sekarang kita berhadapan dengan satu aliran pemikiran dalam sastera mahu kembali kepada atau mengangkat sistem nilai, dan sudah ada keberanian luar biasa yang menakutkan, hingga ada penulis yang membuat tafsiran-tafsiran yang menyimpang daripada Islam hanya atas nama sastera.”

Jelasnya, yang menulis ini bukan calang-calang orang, yang berkelulusan sarjana muda dalam Syariah, kerana menurutnya, seni untuk seni.

“Kerana ini adalah daya imaginasi semata-mata untuk merubah tafsiran ayat-Quran dan ulama yang muktabar, kerana seni untuk seni. Dan ini adalah aliran yang sudah berkembang khususnya di kalangan penulis-penulis muda.”

Inilah realiti yang dihadapi, berpangkal daripada seni untuk seni dan sastera untuk sastera, dapat diperlakukan apa saja, hatta sehingga ‘mendabrak’, menghapuskan, melanggar segala sistem nilai yang ada termasuk agama.

“Jadi jika ini berlaku dan diizinkan berterusan, maka pada hemat saya soal Islam dalam sastera kebangsaan akan menghadapi satu cabaran besar, andaikata ini dibiarkan.”

Maka inilah gambaran atau ilustrasi soal sastera untuk sastera, adab yang sudah mendominasi pemikiran sebahagian sasterawan.

Beliau yang juga mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berharap semua ini tidak berterusan dan perlu ada satu upaya dan usaha untuk menghentikan pemikiran sedemikian.

“Jadi seolah-olah orang mengatakan biarkan saja, apa yang berlaku, mudah-mudahan akan berhenti sendiri. Ini juga saya kira satu tanggungjawab (taklifan) besar bagi persatuan-persatuan termasuk juga institusi DBP, bagi memastikan penulis mendapat didikan yang tepat tentang apa makna sastera dan untuk apa sastera itu.”

Unsur Penting Pendidikan

Soal sastera sebagai satu juzuk terpenting kehidupan, adalah merupakan satu fakta yang tidak dapat disangkal lagi.

Pada abad ke-5 Sebelum Masihi, tamadun Yunani iaitu zaman Greek Tua, telah berlegar perbincangan tentang persoalan sastera mengenai etika, politik, sistem moral.

Dan apa yang uniknya, mereka yang dikatakan hidup pada zaman purba itu telah melihat sastera sebagai satu unsur penting dalam soal pendidikan, soal pembinaan sahsiah.

“Jadi apabila sekarang berlaku, sastera seolah tiada peranan penting dalam pendidikan pembinaan sahsiah. Ertinya orang zaman sekarang jauh lebih mundur daripada orang abad ke-5 Sebelum Masihi, yang melihat sastera sebagai unsur pembangunan sahsiah,” ulas beliau yang bergiat aktif dalam perancangan bahasa Melayu di peringkat negara, serantau dan antarabangsa.

Apalagi pada zaman pra-Islam, syair-syair dialunkan, ia adalah sebagai suatu wasilah yang menyimpang, sebagaimana yang menjadi amaran Allah Subhanahuwataala dalam al-Quran surah asy-Syu’araa’.

“Tetapi dalam zaman sesudah itu, syair diislamkan bukan sahaja soal bentuk, tetapi lebih penting soal rohnya dan kandungannya menjadi wasilah pembinaan tamadun yang penting seterusnya meresap juga dalam perkembangan sastera di alam Melayu.”

Sebagai contoh, Hamzah Fansuri, turut menggunakan syair sebagai medium untuk menyampaikan dakwah, soal akidah, soal syariat, sebagai tasawuf.

Tidak terkecuali, Raja Ali Haji yang terkenal dengan Gurindam Dua Belas yang menggunakan sastera, puisi, gurindam untuk menyampaikan hal-hal kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Peranan Sastera Islam

“Tiap-tiap patah perkataan yang saya teliti dalam Gurindam 12, tiada pun satu yang putus, daripada rantaian soal akidah, syariah. Dan inilah saya kira, peranan sastera ketika bercakap dalam konteks Islam, dan sastera kebangsaan.”

“Maka pada hemat saya, kita tidak patut bersifat permisif atau bersifat terbuka segala-galanya dan apa saja kemungkinan. Maka soal sastera kebangsaan perlu dijelaskan.”

Menurut Sasterawan Negeri Perak, Abdul Rahman Hanapiah, berdasarkan sejarah, dunia sastera memang tidak sunyi dengan polemik.

“Pertentangan idea, gagasan dan teori telah terjadi sejak terciptanya dunia sastera.”

Beliau yang lebih dikenali dengan nama penanya Mana Sikana menghuraikan bahawa melalui polemik, ia memerah akal mencetuskan idea bernas, mementingkan yang hak dan kebenaran menjadi katalis berguna untuk merancang sastera masa hadapan.

“Tetapi, jika dikendalikan dengan emosi dan tanpa moral, akan membawa nada sumbang dan merugikan.”

Demikianlah juga, pernah timbul polemik soal sastera kebangsaan iaitu tentang apa ciri sastera kebangsaan, sebagaimana yang dijawab oleh Prof. Emeritus Dato’ Pendita Dr Ismail Hussein, iaitu siri terpenting bahasa Melayu, dan itu pun menjadi persoalan.

“Mengapa sastera dalam bahasa lain tidak dianggap sebagai sastera kebangsaan?” Ini sudah tentu terkait dengan Dasar Bahasa Kebangsaan kerana yang dikatakan Bahasa Kebangsaan itu adalah bahasa Melayu.”

“Maka ciri-ciri kebangsaan perlu disampaikan dalam medium bahasa perdana, dengan tidak ada maksud menafikan peranan dan sumbangan sastera dalam bahasa-bahasa lain. Itu tetap disuburkan,” kata Dr Awang lagi.

Tetapi dalam kerangka makna membina sastera kebangsaan, soal bahasa kebangsaan, soal nilai Islam, sebagai kandungan, maka itu tidak lari dengan sastera.

Yang Penting Adalah Mesejnya

Memetik kata Prof. Madya Dr Norhayati Ab Rahman, sastera perlu mengekalkan konsepnya yang indah dan berfaedah, iaitu berfungsi sebagai karya seni yang dinikmati, sekali gus menjadi medium penyebaran ilmu, dan bukan menularkan fantasi yang tidak berjejak di dunia nyata.

Ahli falsafah sastera mengatakan, yang penting adalah perutusan, mesejnya, melalui alat-alat gaya bahasa dan penyampaian yang tentu indah. 

Kata-kata terbaik bukan soal keindahan kata, tetapi kata-kata yang mengandungi yang berisi sesuatu perutusan yang merujuk kepada sumber-sumber yang sahih, sumber ilmu iaitu al-Quran al-Karim, hadis, pandangan para ulama yang muktabar yang bersandarkan nas.

Apabila ini tidak dijadikan sumber ilmu iaitu sumber dalam berkarya, dengan atas nama kebebasan bersastera, inilah satu persimpangan yang akan terbit dan timbul apabila sastera terdapat dikotomi dengan agama, nilai, akhlak, moral, masyarakat dan budaya.

“Mandiri sifatnya, bebas nilai, dan ini menjadi pegangan sebahagian pandangan sekular. Bahkan orang barat pun, tidak seluruhnya demikian. Kita mengatakan bahawa fahaman barat membawa fahaman sekularisme, betul.

“Tetapi sekarang orang yang bukan barat, termasuk orang Islam pun mengamalkan sekularisme, termasuklah dalam soal penulisan, bahasa.”

Al-Ghazali mengatakan, ilmu terpenting adalah bahasa, untuk memungkinkan seseorang itu mendalami ilmu, iaitu ilmu-ilmu khusus, ilmu-ilmu umum.

Dalam pada itu, al-arabi pula meletakkan linguistik sebagai cabang ilmu penting untuk menjadi alat bagi soal pengilmuan. Jadi falsafah seperti ini masih goyah dalam pegangan linguis ataupun ahli linguistik sendiri, apalagi dalam sastera.

“Kita perlu mengupas perkara ini, kerana kita di satu zaman yang sangat mencabar, zaman terbuka, perlu ada kesanggupan untuk kita mengupas persoalan ini daripada satu sudut atau konteks yang ilmiah,” jelasnya lagi.

Katanya, jika tidak, kita akan membiarkan semua ini berterusan sejak ribuan tahun berlaku, soal pertentangan falsafah demi falsafah, tentang akhlak, moral, tentang bahasa dan sastera.

Peranan Sastera Dalam Pembinaan Negara

Sastera bukan untuk sastera, sastera adalah untuk pembinaan sahsiah. Sastera juga berperanan membentuk keluarga. Maka tanpa sedar, ibu bapa juga menjadi menyampaikan perutusan didikan yang mempunyai unsur-unsur sastera..

Realiti dalam masyarakat, apabila sastera dipinggirkan, dianggap hanya milik golongan elit, orang biasa tidak terlibat dengan sastera. Ini menjadikan sastera tidak berfungsi sebagai alat pembinaan masyarakat.

Sekarang masih tetap ada dikotominya dengan profesional, korporat, golongan bahasa, golongan seni, seniman, sastera, yang tidak seharusnya berlaku kerana seluruhnya menggambarkan insan unggul yang perlu bersepadu dalam semua hal.

“Dalam konteks sekarang, adanya profesional, korporat, doktor gigi, pakar-pakar sains, ahli kejuruteraan, terlibat dalam penghasilan karya-karya sastera. Ini satu trend atau kecenderungan yang kita galakkan memperbanyak khalayak, yang terlibat dalam penghasilan karya sastera,” kata Prof. Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Tegas beliau lagi, andaikata sastera itu berjaya menjadikan wasilah untuk membina adab, maka di dewan yang mulia tidak timbul bahasa yang tidak mulia.

Parlimen dikatakan sebagai dewan mulia, tetapi bahasanya banyak yang tidak mulia. Ertinya sastera belum berhasil menghaluskan jiwa, menghaluskan peribadi dan akhlak, hingga memberikan gambaran buruk tentang nilai adab dan nilai akhlak, terhadap sebahagian orang yang ada di dalamnya.

Bagaimana sastera di hati-hati kita? Sudah lumat dan padat?

Atriza Umar
Peserta Hari Sastera ke-18

Pegawai Jabatan Komunikasi dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia