Ibadah korban, sembelihan yang menyeksakan?

Dalam catatan sejarah dunia, ibadah korban bukanlah sesuatu ritual yang asing dan pelik bagi warga dunia.

 

Ini kerana terdapat beberapa agama lain selain agama Islam yang menyatakan kewujudan perintah untuk melakukan penyembelihan yang disifatkan sebagai ibadah korban untuk ditunjukkan dan dipersembahkan di hadapan Tuhan.

 

Dalam sejarah tamadun Greek misalnya, bangsa Greek mempunyai ritual Holocaust iaitu suatu ritual beragama mengorbankan haiwan dengan membakarnya dengan api .

 

Selain itu, dalam agama Yahudi dan Kristian juga, di dalam kitab Perjanjian Lama terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang ibadah korban yang perlu dipersembahkan kepada Tuhan. Agama Hindu juga mempunyai ritual ibadah korban yang disebutkan sebagai festival Gadhimai.

 

Demikianlah beberapa pensyariatan agama selain Islam yang juga menekankan tentang ritual ibadah korban.

 

Namun apa yang membimbangkan kita dalam konteks Malaysia pada hari ini ialah barangkali timbul kekeliruan di benak hati dan pemikiran mereka berkenaan pelaksanaan ibadah korban orang Islam ini yang dilihat sebagai suatu kekejaman. Ada juga yang mungkin menganggap ibadah korban ini sebagai pesta pembunuhan binatang korban.

 

Beberapa persepsi dan anggapan salah ini mestilah diperbetulkan agar masyarakat di luar sana khususnya bagi mereka yang bukan Islam dapat memahami hakikat sebenar pensyariatan ibadah korban ini. Oleh itu, beberapa perkara harus diberi penekanan bertujuan untuk menghakis salah faham yang berlaku ini.

 

Pertamanya, ibadah korban ini adalah suatu bentuk pensyariatan yang diperintahkan oleh Allah Azzawajalla dan bukannya rekaan manusia. Menerusi firman-Nya dalam Surah al-Kauthar ayat 2 yang bermaksud:

 

“Maka tunaikanlah solat untuk Tuhan kamu dan lakukanlah sembelihan.”

 

Walau bagaimanapun, perintah ini adalah suatu tuntutan sunat (digalakkan) dan bukannya wajib. Adapun sebahagian ulama menyatakan hukumnya wajib seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah, tetapi kewajiban itu tertakluk kepada mereka yang berkemampuan sahaja.

 

Bagi yang tidak mampu maka gugurlah kewajiban tersebut. Ibadah korban ini adalah tuntutan bagi mereka yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Tidaklah dibebankan bagi sesiapa yang tidak berkemampuan untuk melaksanakannya.

 

Berkenaan penyembelihan yang disifatkan sebagai suatu kekejaman, Allah Azzawajalla melalui lisan Rasul-Nya Muhammad SAW telah menggariskan beberapa adab penyembelihan supaya ia tidak menyakitkan binatang yang disembelih. Bahkan adab-adab tersebut merangkumi sebelum, semasa dan selepas penyembelihan dilaksanakan.

 

Dalam hadis riwayat Muslim, baginda Nabi bersabda yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya Allah menulis (mewajibkan) ihsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh (dengan alasan yang sah), maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia merehatkan (menyenangkan) haiwan sembelihannya itu.”

 

Demikianlah penegasan baginda Nabi SAW dalam pelaksanaan ibadah korban supaya berlaku ihsan kepada binatang sembelihan. Islam melarang bahkan menegah daripada bersikap kasar dan tidak ihsan kepada sesuatu termasuklah kepada binatang sembelihan. Maka syariat ibadah korban ini bukanlah suatu bentuk penindasan dan kekejaman.

 

Sebaliknya ia melambangkan pengorbanan harta dan tenaga dalam melakukan ketaatan kepada Allah dan dalam masa sama juga lambang penghayatan sejarah Nabi Allah Ibrahim setelah bermimpi mendapat wahyu untuk diperintahkan menyembelih anaknya Nabi Allah Ismail.

 

Adapun soal kaedah penyembelihan, pelbagai pembuktian melalui kajian sains menyatakan kaedah penyembelihan cara Islam adalah selamat dan tidak menyakitkan.

 

Dalam satu dapatan kajian yang dilakukan oleh Profesor Schulze dan Dr Hazim dari Jabatan Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman itu bertajuk ‘Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing’, mereka mendapati bahawa kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik dan lebih berperikemanusiaan.

 

Ini kerana, hasil kajian menunjukkan bahawa kaedah penyembelihan Islam telah menunjukkan rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) mencatatkan haiwan yang disembelih tersebut tidak mengalami sebarang kesakitan. Hasil ujian tersebut dapat dirumuskan seperti berikut :

 

1. Tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.

 

2. Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar daripada badan.

 

3. Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.

 

4. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar daripada badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

 

Berdasarkan hasil kajian berikut, kita dapat memahami bahawa kaedah penyembelihan yang telah digariskan oleh Islam merupakan suatu kaedah penyembelihan yang terbaik dan selamat untuk dimakan dagingnya.

 

Berbanding dengan kaedah selain Islam, ia mampu mendatangkan kesan kesakitan terhadap haiwan sembelihan dan tidak dijamin akan keselamatan daging untuk dimakan.

 

Walau apapun, kita perlu fahami sesungguhnya sesuatu pensyariatan yang datangnya daripada Allah, tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai lambang ketaatan kepada-Nya dan bukanlah beban dan kekejaman bagi kita. Semoga kita semua beroleh kefahaman yang jelas.

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia