Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM, Prof. Dr Omar Yaakob, IKRAM telah menganjurkan satu perbincangan meja bulat mengenai isu ini pada 14 Julai lalu yang melibatkan pertubuhan-pertubuhan pendidikan Cina di Malaysia.
Katanya, pertubuhan tersebut ialah Dong Zong, Jiao Zong, LLG Centre, Centre for Malaysian Chinese Studies, KLSCAH dan Gabungan Lembaga-lembaga Sekolah-sekolah Cina Selangor & Kuala Lumpur.
“IKRAM menganjurkan perbincangan ini bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai UEC serta mengenal pasti titik-titik pertikaian dan persefahaman tentang isu pengiktirafan UEC,” kata beliau.
“Kami telah menyuarakan keprihatinan dan kegusaran masyarakat Melayu Muslim terhadap pengiktirafan UEC.”
Sebelumnya, wakil Dong Zong telah memberi penerangan mengenai sistem pendidikan Cina dan peperiksaan UEC yang mereka kendalikan.
“IKRAM meminta aktivis pendidikan Cina untuk mengambil kira perkara-perkara tersebut dalam usaha mendapatkan pengiktirafan kepada sijil UEC sebagai syarat am kemasukan ke IPTA,” tegas Omar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mencadangkan beberapa jalan penyelesaian yang diharapkan boleh diterima oleh semua pihak.
“Walaupun belum ada kata sepakat, perbincangan merumuskan bahawa perkongsian sebegini perlu diteruskan untuk merapatkan jurang kefahaman dan persefahaman antara satu sama lain.”
Justeru, beliau bersetuju untuk melibatkan lebih banyak pihak dalam perbincangan yang akan datang.
“Perbincangan memohon semua pihak berpegang kepada sikap bertolak ansur dan mengambil langkah yang memberi kemaslahatan terbaik kepada pembangunan peradaban sejahtera di tanah air,” tambah Omar lagi.
Sebagai langkah proaktif jelasnya, aktiviti-aktiviti kokurikulum berbentuk silang budaya dan pemerkasaan Bahasa Melayu ditingkatkan di antara Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan sekolah-sekolah lain.
“Dalam hal ini, aktiviti silang budaya yang dipelopori oleh sekolah-sekolah rangkaian IKRAM MUSLEH boleh dijadikan contoh.”
Pada 11 Jun lalu, Jawatankuasa Pendidikan IKRAM telah menyerahkan kertas kerja berbentuk cadangan dan pandangan mengenai pendidikan di Malaysia kepada Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik, yang turut menyentuh isu pengiktirafan UEC.