Penyebaran berita palsu adalah integriti yang hilang

Kita sedar hari ini teknologi semakin canggih dan capaian berita semakin hari semakin mudah untuk dicapai kerana segalanya di hujung jari. Walaupun teknologi kita semakin canggih, nilai integriti masyarakat kita semakin hari semakin merudum apabila masyarakat kita sering kali menyebarkan berita-berita palsu tanpa selidik terlebih dahulu.

 

Hatta wujud juga dalam kalangan orang awam dan agamawan yang sering menyebarkan hadis-hadis palsu bahkan mempertahankan hadis-hadis ini. Ini bukan sahaja telah merosakkan individu, bahkan telah merosakkan agama kerana tersebarnya berita-berita yang karut ini.

 

Berita tidak sahih atau palsu ini memberi impak yang sangat buruk kepada semua orang yang mendengarnya sekiranya tidak diteliti sumbernya.

 

Orang akan menjadi takut, memandang sinis, suka menghukum, membenci dan akhirnya keamanan dan kedamaian dalam sesebuah negara akan hilang akibat fitnah yang dibuat orang yang berdendam dan masyarakat kita yang menyebarkan berita palsu.

 

Dalam hadis Bukhari ada menyebut ancaman terhadap orang yang hilang integritinya dek kerana menyebarkan berita palsu.

 

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ

 

“Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenaran), maka dia tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (Bukhari no 6477)

 

Ini adalah ancaman Tuhan yang perlu kita risaukan apabila kita menerima sesuatu berita yang kita sendiri tidak tahu akan kebenaranya. Beginilah agama mengajar kita untuk sentiasa meneliti setiap berita yang kita dengar dan baca apatah lagi apabila pada zaman moden hari ini.

 

Hari ini, sekiranya masih wujud periwayatan hadis, sudah pasti ramai antara kita bahkan agamawan sekalipun akan dituduh pendusta akibat ramainya masyarakat kita yang tidak tahu menapis dan menyaring maklumat yang diterimanya.

 

Mereka hanya berfikir tentang cita rasa mereka, apabila berita itu sama dengan tekak mereka, maka mereka akan kongsikan. Inilah nilai integriti yang telah hilang dalam masyarakat kita.

 

Nilai integriti ini kita tidak mampu beli di pasar-pasar mahupun supermarket, tapi nilai integriti ini perlu kita semai dan dididik sejak usia muda lagi supaya kebodohan yang telah dilalui hari ini tidak diwarisi generasi seterusnya.

 

Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, sudah wujud orang yang menyebarkan fitnah atau berita palsu ini kepada kaum Muslimin. Orang ini bernama Abdullah bin Ubay bin Salul yang dikenali sebagai pemimpin orang munafik. Beliau telah menyebarkan berita palsu berkaitan Ummul Mukminin Aishah RA dan Rasulullah SAW atau dikenali sebagai peristiwa al-ifki (fitnah).

 

Peristiwa ini telah dirakamkan dalam hadis yang sangat panjang dalam Sahih Bukhari (No. hadis 2661) dan terdapat juga dalam riwayat-riwayat yang lain. Hadis ini telah diceritakan sendiri oleh Aishah RA apabila beliau telah difitnah oleh ketua orang munafik Abdullah bin Ubay.

 

Peristiwa ini telah memberi kesan yang mendalam kepada Ummul mukminin Aishah RA, Rasulullah SAW, Safwan bin Muatil RA (sahabat yang difitnah bersama Aishah RA) dan para sahabat yang lain. Peristiwa ini berlarutan selama sebulan. Aishah RA menangis dan Rasulullah SAW kebingungan dek fitnah dan berita palsu ini sehinga bertanya pendapat sahabat dan isterinya yang lain.

 

Setelah beberapa ketika, turunlah ayat al-Quran daripada Surah an-Nur ayat 11-19 yang membebaskan Aishah RA daripada segala tuduhan palsu yang dilemparkan kepadanya lantas bertahmidlah Ummul Mukminin atas berita gembira tersebut.

 

Inilah bukti bahayanya berita palsu apabila tersebar kepada orang lain. Perkara ini akan memburukkan keadaan dan akan menyakiti orang lain. Jika nilai integriti ini tidak disemai dari sekarang, maka akan lebih banyak berita-berita palsu yang disebar tanpa diselidik asal-usulnya.

 

Dalam buku Sulalatus Salatin juga ada bercerita bagaimana akibat berita palsu ini akhirnya mampu menjatuhkan sebuah tamadun yang agung suatu ketika dahulu.

 

Tun Seri Lanang menukilkan dalam Sulalatus Salatin bahawa antara punca kekalahan Melaka kepada Portugis ialah apabila Sultan membunuh Bendahara yang berwibawa tanpa usul periksa berita yang didengarnya itu.

 

Setelah daripada pembunuhan itu, barulah Sultan sedar bahawa Si Kitul dan Raja Mandaliarlah yang telah menyebarkan fitnah dan khianat kepada raja dan Melaka.

 

Kita dapat lihat bagaimana kesan fitnah dan berita palsu akibat hilangnya integriti dalam diri seseorang itu telah mengakibatkan jatuhnya sebuah kerajaan yang besar dan dikenali juga digeruni kawan dan lawan.

 

Ini tidak lain adalah kerana nilai integriti yang telah lenyap lantas menghancurkan sebuah kemerdekaan yang setiap daripada kita idamkan.

 

Oleh kerana itu, Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya berbicara perkara yang baik atau diam.

 

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُت

 

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.” (Muslim no. 47)

 

Inilah yang kita perlu semai dalam diri setiap masyarakat kita tidak kira agama mahupun bangsa supaya sentiasa berkata perkara yang baik dan jika tidak tahu atau malas mencari kebenaran, lebih baik untuk kita berdiam diri.

 

Ini kerana, jika kita bercakap semua perkara yang kita tidak pasti ataupun kita pakar, akan mengeruhkan lagi keadaan. Ini sudah pasti bertentangan dengan syariat Islam.

 

Maka tidak boleh tidak, kita perlu didik masyarakat kita untuk sentiasa mempunyai nilai integriti dalam aspek penyebaran berita mahupun aspek amanah, jujur dan lain-lain.

 

Kita percaya jika semua rakyat Malaysia mempunyai nilai integriti yang tinggi, kita mampu menjadikan negara yang kita cintai ini, Malaysia menjadi negara yang maju dari segi fizikal dan rohaninya dan akhirnya membawa keamanan kepada seluruh manusia.

 

Irham Masiri
Aktivis Belia Harmoni UM
Penyelidik di Strategic Research Team of Harmoni

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia