Amalan pengurusan masa perlu diterapkan dalam diri setiap insan tanpa mengira umur mahupun latar belakang pendidikan, agama dan bangsa supaya masa yang sedia ada dapat dimanfaatkan dengan baik.
Pengurusan masa ialah strategi bagi merancang masa yang ada dan mengawal jumlah masa yang diluangkan untuk tugasan atau aktiviti tertentu tanpa menjejaskan keseimbangan kerja dan kehidupan.
Pengurusan masa juga menjadikan seseorang itu lebih menepati masa, berdisiplin dan mengutamakan aktiviti yang mustahak. Selain itu, ia memperlihatkan seseorang itu mempunyai kemahiran pengurusan kehidupan.
Tanpa pengurusan masa yang baik, seseorang itu akan menghasilkan kerja yang tidak berkualiti, terlepas tarikh akhir terutama jika diberikan tugasan yang mempunyai tempoh, meningkatkan tahap stres, mengganggu keseimbangan kerja – kehidupan dan menjejaskan reputasi profesional.
Masa dalam budaya
Masa adalah elemen penting dalam sesebuah masyarakat dan budaya. Ahli psikologi, Robert Levine menganalisis budaya yang berbeza dan sikap mereka terhadap masa.
Beliau mendapati bahawa negara yang lebih maju dari segi ekonomi seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman atau Jepun, mempunyai masyarakat yang “bergerak dengan lebih pantas” kerana mereka menganggap “masa adalah wang.”
Dalam budaya Jerman dan Jepun, jika tidak tiba 10 minit awal bagi mesyuarat dan janji temu, anda akan dianggap lewat. Semua aktiviti akan bermula dan berakhir tepat mengikut jadual.
Ketepatan masa juga penting dalam budaya Cina. Masa dianggap sebagai komoditi bernilai seperti yang diperihalkan dalam peribahasa Cina yang bermaksud, “Seinci masa bernilai seinci emas, namun seinci emas tidak mampu membeli seinci masa.”
Hal ini boleh diketemukan dengan peribahasa Melayu yang berbunyi, “Masa itu emas.” Begitulah penting dan berharganya masa sehingga disamakan dengan nilai emas.
Amatlah rugi bagi insan yang membuang masa terutama mereka yang melakukan perkara yang tidak bermanfaat kerana ia seolah-olah membuang duit atau emas.
Bagi negara-negara yang ekonominya kurang maju menurut Robert Levine, masyarakatnya “bergerak dengan perlahan.” Budaya seperti di Timur Tengah, Amerika Latin atau Eropah Timur memupuk sikap yang lebih santai terhadap masa serta berorientasikan kekeluargaan dan sosial.
Namun orientasi tersebut tidak semestinya hanya wujud dalam satu-satu budaya sahaja. Sebagai contoh, walaupun bangsa Jepun menghargai masa, ketepatan masa dan mengamalkan budaya hidup ‘melangkah pantas’, namun mereka masih memandang perhubungan sosial sebagai elemen penting.
Oleh itu, cara individu berkelakuan terhadap masa bergantung pada tradisi budaya, kepercayaan dan status sosioekonomi mereka.
Pentingnya mengurus masa dalam Islam
Pengurusan masa juga ditekankan dalam Islam. Allah SWT menegaskan dalam al-Quran tentang kepentingan dan bernilainya masa khususnya kepada kehidupan manusia untuk berjaya di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-‘Asr: 1 – 3)
Manusia mengalami kerugian akibat gagal menguruskan masa dengan sewajarnya. Pengurusan masa penting untuk membahagikan perkara yang wajar diberikan keutamaan dengan perkara yang boleh dilakukan kemudian atau kurang mustahak.
Masa bagi pelajar
Bagi seorang pelajar, kemahiran pengurusan masa merupakan salah satu kemahiran belajar yang penting untuk dikuasai bagi membantu mereka mencapai keputusan cemerlang.
Kemahiran tersebut juga amat diperlukan pelajar yang mempunyai banyak tugasan untuk dilaksanakan dalam tempoh masa yang terhad.
Pelajar yang bijak dalam mengawal dan menggunakan masa dengan baik mampu mencapai kejayaan dan kepuasan dalam kehidupan.
Antara kaedah pengurusan masa yang popular adalah penggunaan jadual dan kemahiran membahagikan waktu. Pelajar juga boleh menetapkan penggera dalam telefon bimbit bagi setiap perkara yang mustahak dan perlu dilaksanakan dengan segera.
Rata-rata golongan pelajar pada masa kini terlalu leka dengan gajet, media sosial dan permainan dalam telefon pintar mahupun komputer.
Namun, hal ini tidak pula bermakna mereka langsung tidak boleh ‘bersama’ dengan gajet. Cuma mereka harus mengutamakan perkara yang mustahak seperti menyiapkan tugasan atau mengulang kaji pelajaran.
Masa bagi pekerja
Perkara yang sama juga berlaku kepada mereka yang sudah berada di alam pekerjaan. Terdapat pekerja yang ‘asyik’ dengan media sosial dan berbual-bual kosong dengan rakan sekerja walaupun dalam waktu pejabat – masa yang telah diperuntukkan untuk bekerja.
Kegagalan mereka dalam mengenal pasti keutamaan ketika bekerja menyebabkan segala tugasan yang diberikan majikan tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Oleh itu, akan timbul tomahan seperti ‘makan gaji buta’ dan ‘mengular’.
Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Oleh sebab itu, uruskanlah masa dengan sebaik mungkin agar masa yang sedia ada tidak disia-siakan.
Individu yang bijak mengurus masa akan merasai pelbagai kelebihan seperti bebanan kurang; lebih produktiviti; kurang pergaduhan dan masalah; lebih banyak masa lapang; tidak membuang masa; dapat meluangkan masa untuk perkara lain; dan membina reputasi yang baik sama ada di tempat belajar atau bekerja.
Zulfiqar Mohd Yusof
Pensyarah Kolej Al-Quran Sayyidina Ali