PUTRAJAYA – Ahli Jawatankuasa Pusat serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM, Prof. Dr. Omar Yaakob dilantik sebagai anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2023-2025.
Pelantikan tersebut diumumkan bersama lapan lagi anggota MPPK dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 oleh Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek yang telah berlangsung petang tadi di sini.
MPPK dianggotai oleh sembilan ahli pemegang taruh dalam bidang pendidikan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, yang mana mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Amin Senin dilantik sebagai Pengerusi.
MPPK mula ditubuhkkan oleh Menteri Pendidikan pada November 2010 seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 10, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang berfungsi menasihati Menteri Pendidikan tentang apa-apa isu pendidikan dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara.
Prof. Dr. Omar Yaakob merupakan profesor di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia. Beliau juga adalah Felo Akademi Profesor Malaysia dan turut menjadi Ahli Jawatankuasa Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan, Akademi Profesor Malaysia.
Bergiat aktif dalam pendidikan sekolah-sekolah IKRAM MUSLEH, ini adalah pelantikan kedua Prof. Dr. Omar sebagai anggota MPPK yang mana lantikan pertamanya pada sesi 2018-2020.
Tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada Prof. Dr. Omar Yaakob, moga pelantikan ini dapat memperkasakan lagi institusi pendidikan negara ke tahap yang lebih cemerlang.