Pengajaran Kerajaan AS Tersepit Masalah Siling Hutang

Pengajaran Kerajaan AS Tersepit Masalah Siling Hutang | IKRAM

Kebelakangan ini isu siling hutang kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan kesan sekiranya hutang kerajaan gagal dilunaskan dalam tempoh masa yang dijanjikan atau istilah bahasa Inggerisnya ‘default’ menjadi topik hangat dalam kalangan ahli politik dan penganalisis ekonomi.   

Berdasarkan data Jabatan Perbendaharaan Amerika, jumlah hutang kerajaannya kini adalah melebihi USD31 trilion iaitu lebih kurang RM120 trilion iaitu lebih daripada seratus kali ganda hutang kerajaan Malaysia kini yang berjumlah RM1.5 trilion. 

Kumulatif hutang dalam jumlah yang amat besar ini terhasil akibat daripada dasar fiskal kerajaan Amerika selama puluhan tahun di mana perbelanjaan kerajaan setiap tahun adalah sentiasa melebihi pendapatannya.

Tambahan dana perbelanjaan yang diperolehi melalui hutang setiap tahun ini juga tidak diselesaikan, sebaliknya ia telah menambah hutang kepada jumlah hutang sedia ada yang masih belum dibayar. 

Faktor Masalah

Antara faktor utama yang membenarkan situasi ini berlaku ialah ciri sistem kewangan kini, di mana mata wang bukan lagi berbentuk fizikal seperti emas dan perak. 

Sebaliknya ia adalah dalam bentuk catatan-catatan elektronik di dalam komputer semata-mata. Di bawah sistem ini, institusi hutang (bank) akan mencipta wang baru setiap kali ia memberi hutang kepada pelanggan.

Ia juga tidak perlu mempunyai deposit yang cukup untuk memberi hutang kerana hutang yang diberikan itu akan dicatatkan sebagai deposit dalam akaun bank.

Oleh kerana wang sangat mudah diciptakan, maka industri hutang (bank) dapat membekalkan hutang kepada pelbagai pihak dengan mudah, termasuklah kerajaan Amerika walaupun dalam jumlah puluhan trilion dolar. 

Dalam usaha untuk mengekalkan popularitinya, kerajaan Amerika akan cenderung untuk berbelanja sebanyak mungkin.

Tambahan pula, langkah penjimatan dan berhemah hanya akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi dalam jangka pendek kerana mengakibatkan suasana ekonomi menjadi muram dan pastinya akan membuatkan rakyat marah dengan keadaan tersebut.

Oleh itu, walaupun prinsip apabila satu pihak berhutang ia sepatutnya berusaha menjelaskan kesemua hutangnya dengan seberapa segera diterima umum, namun kesemua pemimpin kerajaan Amerika enggan mengambil langkah tersebut semasa menjawat jawatan presiden kerana tidak mahu hilang populariti.

Penangguhan bayaran hutang amat menguntungkan industri hutang kerana jumlah ‘interest’ atau bunga yang perlu dibayar akan bertambah.

Kerajaan AS Tersepit

Kini kerajaan Amerika dalam keadaan tersepit. Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Janet Yellen telah memberi amaran bahawa tanpa penambahan hutang, kerajaan Amerika tidak akan mampu memenuhi kesemua kewajipan kewangannya sebelum 1 Jun 2023.

Oleh itu, ia terpaksa meminjam lagi dalam jumlah yang besar walaupun jumlah hutang terkumpulnya sudah mencapai tahap maksimum atau dikenali sebagai siling hutang, iaitu sebanyak RM31.4 trilion.

Siling hutang ini telah ditetapkan oleh Kongres Amerika sebelum ini dalam bentuk undang-undang.

Oleh itu, kerajaan Amerika kini menghadapi sekatan undang-undang daripada meminjam dana untuk membiayai perbelanjaannya. Ia hanya boleh meminjam lagi jika kongres mengubah undang-undang dan menaikkan siling hutang ke paras yang lebih tinggi. 

Namun sehingga pertengahan Mei 2023, terdapat petunjuk bahawa ahli-ahli kongres Amerika keberatan untuk membenarkan kerajaannya menambahkan hutangnya. 

Ahli-ahli kongres terutamanya daripada parti Republikan dijangka akan mengenakan syarat-syarat ketat kepada kerajaan jika siling hutang perlu dinaikkan.

Jangkaan Penganalisis

Ramai penganalisis ekonomi berpendapat bahawa jika ahli-ahli kongres berkeras untuk tidak menaikkan siling hutang dan menghalang kerajaan Amerika Syarikat daripada menambah hutang, ekonomi negara berkenaan akan terjejas teruk.

Ini kerana kerajaan Amerika akan kehabisan dana untuk membayar gaji pekerja kerajaan termasuk anggota tentera dan tidak dapat membayar pencen kepada kakitangan kerajaan yang sudah bersara.

Selain itu, agensi-agensi di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan juga akan terpaksa ditutup, manakala syarikat-syarikat dan badan-badan amal yang bergantung kepada dana kerajaan akan kehilangan sumber dana.

Memandangkan perbelanjaan kerajaan Amerika adalah faktor penting yang menyumbang kepada kesihatan ekonomi negaranya, maka pengurangan perbelanjaan oleh kerajaan akan mengakibatkan penguncupan ekonomi negara tersebut.

Selain itu, oleh kerana ekonomi Amerika adalah sangat besar dan berkait dengan pelaburan dan perdagangan di hampir kesemua negara di dunia, maka keputusan tidak membenarkan siling hutang dinaikkan berpotensi mengakibatkan kemelut dalam pasaran dan sistem kewangan global. 

Bahkan, kerajaan Amerika akan terpaksa berhenti membayar faedah ke atas hutangnya dan sekali gus boleh mengakibatkan ‘default’.

Para penganalisis ekonomi meramalkan jika ini berlaku, harga saham di pasaran saham Amerika akan jatuh mendadak dan ekonominya akan menguncup lebih empat peratus dan seterusnya mengakibatkan jutaan pekerja kehilangan pekerjaan.

Jika situasi ini berlanjutan dalam jangka panjang, pelabur akan mempunya persepsi bahawa hutang kerajaan Amerika adalah berisiko dan akibatnya kos atau bunga yang dikenakan kepada hutang tersebut akan meningkat.

Akibatnya secara tidak langsung, ia akan meningkatkan kadar bunga bagi seluruh sistem ekonomi Amerika, termasuk kadar bunga bagi pinjaman perumahan dan kenderaan. Ini akan mengakibatkan ramai rakyat Amerika menghadapi tekanan kewangan, terutama sekali yang banyak berhutang.

Siling Hutang Dinaikkan

Berdasarkan hakikat ini dan sepertimana tindakan penyelesaian yang lalu, kongres pastinya akan membenarkan siling hutang dinaikkan walaupun langkah ini akan mengakibatkan hutang kerajaan Amerika semakin bertambah.

Bahkan hutang kerajaan Amerika telah meningkat di bawah setiap pentadbiran presidennya. Dilaporkan siling hutang kerajaan Amerika pada abad ke-20 telah dinaikkan sekurang-kurangnya 90 kali dan ia tidak pernah dikurangkan.

Dari tahun 1962 sehingga 2011 sahaja siling hutang telah dinaikkan sebanyak 74 kali. Dalam tempoh antara 2001 sehingga 2016, siling hutang telah dinaikkan sebanyak 14 kali dengan jumlah peningkatan siling sebanyak USD11.9 bilion. 

Kebiasaannya sebelum meluluskan kenaikan siling hutang, ahli kongres akan memaksa kerajaan membatalkan rancangan-rancangan perbelanjaan yang tidak penting dan meningkatkan kutipan cukai.

Langkah tersebut sudah tentu akan memberi kesan negatif kepada rakyat umumnya, terutamanya daripada kalangan rakyat miskin dan berpendapatan rendah. 

Pengajaran Utama

Pengajaran utama yang dapat diambil daripada masalah yang dihadapi oleh kerajaan AS adalah mana-mana kerajaan yang memilih untuk meminjam dana bagi perbelanjaan tahunannya dan tidak berusaha untuk menjelaskan kesemua hutang sedia ada akan menghadapi keadaan di mana hutang akan menjadi sukar untuk diuruskan.

Pihak yang paling beruntung dalam keadaan yang menjerut ini adalah pemilik institusi hutang kerana memperolehi keuntungan yang besar dalam bentuk faedah atau ‘interest’.

Manakala pihak yang paling sengsara adalah rakyat umum terutamanya daripada kalangan berpendapatan rendah yang akan terkesan teruk akibat masalah inflasi, peningkatan kos sara hidup, gaji yang statik dan pemotongan bantuan kerajaan seperti subsidi dan biasiswa. 

Maka benarlah ayat al-Quran, Surah Al Baqarah, ayat 276: “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya.”

Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya
Panel Pakar, Kluster Kemakmuran Ekonomi IKRAM

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia