Krisis ekonomi Lubnan: Pengajaran untuk Malaysia

Ini kerana negara tersebut kini berada dalam krisis ekonomi yang teruk di mana pendapatan ramai rakyat Lubnan tidak mencukupi untuk menyara keperluan asas mereka.

 

Lubnan banyak mengimport keperluan makanan. Oleh itu, apabila nilai mata wangnya jatuh dengan mendadak, harga makanan telah melambung naik sebanyak 150 peratus dalam masa kurang dari satu tahun.

 

Dalam kalangan rakyat biasa dan terutama yang miskin, pendapatan mereka tidak mencukupi untuk membeli makanan untuk keluarga. Itu pun jika mereka bernasib baik mempunyai pendapatan tetap.

 

Satu laporan menyatakan, daripada jumlah tenaga kerja sebanyak 1.8 juta, seramai 550,000 orang atau lebih kurang satu pertiga tidak mempunyai pekerjaan. Angka ini diramalkan akan terus meningkat.

 

Kerajaan Lubnan sekarang sudah tidak mampu membantu rakyat kerana ia sendiri sedang terbeban dengan hutang luar yang banyak iaitu lebih daripada USD35 bilion.

 

Pada bulan Mac yang lepas, kekurangan minat dalam kalangan institusi kewangan antarabangsa untuk terus memberi hutang kepada Lubnan mengakibatkan kerajaan Lubnan terpaksa mengisytiharkan bahawa ia tidak mampu menjelaskan sebahagian daripada hutangnya dalam bentuk Eurobond sebanyak USD1.2 bilion. Akibatnya, matawang Lubnan semakin merosot dan kos pinjaman baru turut meningkat.

 

Lubnan sekarang terdesak dan oleh itu sedang memohon kepada IMF untuk mendapat bantuan kewangan. Sudah tentu bantuan tersebut, jika diluluskan, akan mempunyai syarat yang ketat.

 

Antara lain kerajaan Lubnan akan diminta oleh IMF untuk menaikkan kadar cukai dan juga kadar faedah, serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan termasuk menghapuskan subsidi. Ini sudah tentu akan mengakibatkan rakyat akan bertambah sengsara.

 

Kemungkinan berlakunya rusuhan oleh rakyat yang marah tidak mustahil akan berlaku jika syarat ketat yang dikenakan oleh IMF dilaksanakan oleh kerajaan Lubnan.

 

Persoalannya ialah bagaimanakah Lubnan terjebak dalam masalah ini?

 

Dua punca utama kepada masalah Lubnan ialah sistem politik yang mempunyai unsur korupsi dan nepotisme yang berleluasa, serta kebergantungan kuat kerajaan Lubnan kepada hutang, terutama sekali daripada institusi kewangan luar negara.

 

Unsur korupsi dan salah guna kuasa berpunca daripada sikap masyarakat yang mengambil ringan terhadap amalan tersebut serta wujudnya beberapa suasana politik sektarian dalam masyarakat. Rakyat Lubnan berpecah kepada beberapa kumpulan, dan mereka saling bersaing untuk mendapat pengaruh dan kuasa.

 

Antara kumpulan utama yang dimaksudkan itu adalah puak Kristian dan sekular (di bawah payung parti At-Tayyar al-Watani al-Horr dan parti At-Tayyar Marada), puak Syiah (yang berpayung di bawah parti Amal dan parti Hezbollah) dan puak Sunni (di bawah payung parti Tayar Al-Mutakbal, Jamaah Al-Islamiya, Al-Karama dan Hizb Ittihad).

 

Akibat daripada persaingan untuk mendapatkan sokongan, pemimpin-pemimpin parti politik daripada pelbagai kumpulan ini cenderung untuk beramal dengan amalan korupsi dan nepotisme.

 

Dana kerajaan banyak dibazirkan. Ini kerana sebahagian dana tersebut akan disalurkan oleh pemimpin-pemimpin parti kepada penyokong masing-masing untuk memperkuatkan kedudukan politik mereka.

 

Tidak hairanlah kerajaan Lubnan akhirnya terbelenggu dengan hutang yang banyak. Dalam senarai kerajaan yang paling banyak berhutang (berbanding saiz ekonomi negara), Lubnan berada di tempat ketiga dengan hutang berbanding KNK (atau saiz ekonomi negara) sebanyak 152 peratus.

 

Jelaslah bahawa satu lagi punca utama kepada masalah ekonomi Lubnan ialah kebergantungan yang tinggi kepada sumber hutang, terutama daripada luar negara.

 

Selama ini, keadaan tersebut dapat ditangani dengan sokongan pengaliran masuk matawang asing (kebanyakannya dalam bentuk Dolar Amerika) ke Lubnan oleh rakyat Lubnan sendiri yang berkerja di luar negara. Namun, sumber tersebut telah menurun secara mendadak daripada 25 peratus berbanding KNK pada tahun 2008 menjadi hanya 14 peratus pada tahun 2019.

 

Masa depan ekonomi Lubnan sebenarnya sangat membimbangkan. Kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyatnya mungkin akan berterusan untuk jangka masa yang lama kerana dua faktor utama yang dibincangkan di atas tidak mudah untuk diselesaikan kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada nilai masyarakat.

 

Adalah diharapkan masalah ekonominya tidak akan menjadi punca kepada konflik ganas sektarian antara puak-puak yang bertelagah seperti yang telah berlaku pada tahun 1980-an yang telah mengorbankan ribuan nyawa.

 

Apa yang lebih penting bagi kita ialah mengambil iktibar daripada masalah serius yang sedang dihadapi oleh Lubnan. Bagaimana kita hendak memastikan masalah yang sama tidak berlaku di negara ini?

 

Pengajaran pertama ialah amalan korupsi dan nepotisme oleh pemimpin politik tidak boleh dibiarkan berleluasa. Walaupun persaingan antara ahli politik dan antara parti politik tidak dapat dielakkan dalam sistem demokrasi berparlimen, namun ia mestilah persaingan yang sihat dan bukan melalui cara salah guna kuasa dan amalan nepotisme.

 

Rakyat hendaklah bijak untuk tidak diperalatkan oleh pemimpin yang akan cuba memainkan sentimen puak serta sentimen perkauman, walhal sebenarnya mereka dan kroni mereka sedang giat memperkayakan diri masing-masing.

 

Kedua, masyarakat perlu berusaha untuk memastikan dana kerajaan tidak dibelanjakan oleh pemimpin untuk menyokong amalan korupsi dan nepotisme. Prinsip ketelusan dan akauntabiliti mesti diperkuatkan dalam sistem kewangan kerajaan.

 

Sebenarnya amalan ini tidak mungkin berlaku jika keadaan kewangan negara tidak mencukupi. Malangnya keadaan kemampuan kewangan kerajaan ini sering kali dipalsukan atau dimanipulasikan dengan cara menambahkan hutang kerajaan.

 

Oleh itu, pengajaran penting yang ketiga ialah rakyat mestilah sensitif dengan keadaan keberhutangan kerajaan. Sebenarnya selagi institusi kewangan dari dalam dan luar negara sanggup memberi hutang kepada kerajaan, selagi itulah pemimpin yang memegang tampuk kuasa akan mengatakan bahawa kerajaan masih mampu untuk berbelanja.

 

Hakikat bahawa sebenarnya kerajaan tidak mampu hanya akan disedari apabila institusi kewangan enggan memberi pinjaman lagi kepada kerajaan. Malangnya pada ketika itu, nasi sudah menjadi bubur. Itulah yang telah berlaku di Lubnan. Persoalannya adakah kita mahu menunggu nasi menjadi bubur di Malaysia juga?

 

Profesor Dr Mohd Nazari Ismail
Universiti Malaya
19 Julai 2020

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia