Pengabaian Kanak-kanak: Apa Peranan Kita?

Pengabaian Kanak-kanak: Apa Peranan Kita? | IKRAM

Surah Asy-Syura, ayat 49 bermaksud, “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” 

Anak-anak merupakan hibah dan anugerah daripada Rab kita. Oleh itu, amat wajar kita rahmati, sayangi serta mengasihi mereka sebagaimana nasihat Ar-Rasul SAW yang bermaksud, “Siapa yang tidak merahmati nescaya tidak dirahmati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibu bapa sewajarnya faham akan tanggungjawab mereka iaitu bukan sekadar memberi makan minum dan pakaian semata-mata, akan tetapi sebagai manusia, amat perlu mendidik, mengajar, mengasuh, memberi hak kepada mereka, menyuruh mereka solat dan beribadat atau menyeru mereka kepada kebaikan dan melarang sebarang bentuk kemungkaran. 

Walau bagaimanapun, negara kita sering kali dikejutkan dengan berita-berita pengabaian kanak-kanak di media arus perdana termasuk oleh ibu bapa sendiri. 

Kes jenayah seksual kanak-kanak 

Pada 12 September 2024, Berita Harian Online melaporkan bahawa Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) terkejut dan bimbang dengan laporan bahawa 402 kanak-kanak dan remaja di beberapa rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang menghadapi penganiayaan, penderaan seksual dan pengabaian. 

Wakil UNICEF di Malaysia, Robert Gass berkata, kanak-kanak berkenaan mengalami trauma yang teruk selain memerlukan sokongan daripada aspek perubatan dan psikososial.

Sinar Harian pada 5 September 2024 pula memberitakan bahawa seorang bekas Setiausaha Kerja sebuah persatuan penggiat seni kekal dihukum penjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas dua kes amang seksual dan satu persetubuhan luar tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun pada 2020.

Tertuduh yang berumur 33 tahun didakwa melakukannya di bilik sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat. Penjenayah diikat jamin sebanyak RM20,000 sementara menunggu rayuan dan mesti melapor diri di Ibu Pejabat Polis, sebulan sekali.

Bagaimana pengabaian kanak-kanak seumpama ini boleh berlaku? Bukankah ibu bapa sepatutnya mengambil langkah-langkah melindungi anak-anak mereka?

Kes penderaan kanak-kanak

Pada 14 Julai 2024, Berita Harian Online mengkhabarkan bahawa sepasang suami isteri ditahan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki mendera anak perempuan mereka berusia enam tahun dan abangnya yang berusia tujuh tahun di kediaman mereka, Kampung Jabur Kubur, Chukai, Terengganu.

Siasatan polis mendapati ada kesan kecederaan baharu dan lama pada keseluruhan badan kedua-dua mangsa.

Saksi melaporkan dia melihat salah seorang daripada mangsa disepak dan diterajang oleh suspek yang merupakan ibu mereka, seorang suri rumah, manakala lelaki seorang pekerja buruh adalah bapa tiri mangsa. Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.

Sedangkan binatang mengasihi anak-anaknya dengan rahmat yang Allah SWT campakkan pada diri mereka, inikan pula manusia yang sepatutnya mempunyai sifat keinsanan dan perasaan kemanusiaan tetapi terbukti telah hilang dengan contoh kes di atas.

Para salafus soleh mendidik ummah sekalipun dengan merotan, namun diurus dengan penuh kasih sayang tanpa mencederakan. 

Kes penculikan kanak-kanak

Harian Metro bertarikh 5 Ogos 2024 melaporkan siasatan kes penculikan Albertine Leo, kanak-kanak perempuan berumur enam tahun di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 20 Julai lalu, berkemungkinan bermotifkan isu pedofilia.

Ia berikutan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediaman suspek yang berusia 31 tahun di Kulai. 

Pemeriksaan menyeluruh oleh doktor pakar telah dibuat dan mangsa disahkan sihat dan selamat walaupun masih dalam keadaan trauma. Suspek utama ditahan kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai 2024, di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, ketika polis menyelamatkan mangsa di lokasi itu.

Menurut Ketua Polis Johor, suspek bakal didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.  

Dalam kes ini, kecuaian berlaku tanpa niat jahat ibu bapa. Begitulah singkapan tiga kategori kes yang berkaitan dengan pengabaian kanak-kanak yang berlaku di negara kita dewasa ini.

Peranan kita

Bagi menghindari kes-kes pengabaian kanak-kanak di atas, beberapa langkah waspada dan pencegahan boleh dilakukan oleh ibu bapa dan pengasuh atau penjaga serta pihak berwajib:              

  • Kerjasama pihak berwajib, masyarakat setempat dan kaum keluarga mesti diperkukuh. Orang ramai perlu lebih peka dan sentiasa berjaga-jaga terhadap sebarang kes mencurigakan yang berlaku di hadapan mata.
  • Semua pihak mesti melaporkan sebarang kes pengabaian kanak-kanak terus kepada agensi berkaitan tanpa bertangguh agar pembelaan terhadap penganiayaan kanak-kanak dapat dilaksanakan secepat mungkin. 
  • Pendakwaan dan hukuman maksimum oleh pihak berwajib perlu dikemukakan kepada penjenayah yang sengaja melakukan perbuatan terkutuk supaya menjadi pengajaran yang berguna kepada anggota masyarakat yang lain.
  • Semua pusat jagaan kanak-kanak mesti dipantau secara berkala dan teliti oleh pihak berwajib untuk mengelakkan penderaan berleluasa.
  • Ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar tidak melayan sapaan daripada orang yang tidak dikenali. Ajar mereka supaya dapat membezakan antara sentuhan baik dan sentuhan tidak baik.
  • Ibu bapa dan penjaga mesti peka dengan perubahan-perubahan tingkah laku anak-anak serta tidak mengambil ringan sebarang curahan hati mereka.
  • Ibu bapa perlu memantau dengan siapa anak-anak mereka bergaul rapat dan sentiasa berwaspada walaupun dengan kenalan akrab atau saudara terdekat. Larang mereka keluar tanpa ditemani orang dewasa.
  • Pihak berkuasa perlu mengadakan program secara berterusan untuk mendidik dan memupuk masyarakat dengan sifat perikemanusiaan dan keihsanan terhadap kanak-kanak. 

 

Penutup

Semoga kita dapat bersama-sama membantu menghindari kes pengabaian kanak-kanak di Malaysia dan menjadikan komuniti kita selamat daripada segala musibah dan jenayah.

Dr Hajah Azmi Aminuddin
Dungun, Terengganu

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia