Dalam era digital yang semakin berkembang, media sosial telah menjadi platform utama untuk berkomunikasi, berkongsi maklumat dan mempengaruhi ramai. Ahli masyarakat menggunakan media sosial bagi membina jaringan komunikasi dan perhubungan.
Ramai individu berusaha keras menjadi pempengaruh media sosial dengan harapan untuk menjadi individu terkenal dan mempunyai ramai pengikut.
Jika dahulu cita-cita anak muda adalah untuk menjadi tokoh dalam bidang profesional seperti pendidik, ahli badan beruniform, jurutera, doktor dan sebagainya, namun kini fokus mereka adalah untuk menjadi pempengaruh di media sosial.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, pempengaruh media sosial dapat disimpulkan sebagai individu terkenal kerana mempunyai jumlah pengikut yang ramai dan menerima tanda suka yang banyak pada hantaran gambar di aplikasi media sosial.
Mereka juga adalah individu yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi orang lain dalam media sosial menerusi kuasa, ilmu pengetahuan, kedudukan atau hubungannya dengan pengguna.
Oleh itu, tanpa mengenal latar belakang dan tahap pendidikan, seseorang itu dapat diangkat menjadi pempengaruh hanya dengan memuat naik video-video di akaun media sosial mereka. Dan yang pasti, video-video tersebut harus mampu menarik perhatian warganet.
Seorang pempengaruh media sosial yang juga seorang pegawai perubatan iaitu Dr Malar pernah membuat satu hantaran di media sosial beliau dengan menyatakan bahawa menjadi pempengaruh media sosial ini bukanlah satu pekerjaan, bahkan ia juga tidak menjamin kestabilan hidup.
Mahu hidup mudah
Sesuatu yang mendukacitakan apabila melihat anak muda zaman kini hanya mahu hidup mudah. Mereka tidak mahu berfikir panjang untuk melakukan sesuatu perkara.
Mereka hanya mahu mencari kerja tanpa berniat untuk membina kerjaya. Kerjaya yang sebenar pastinya sesuatu aktiviti yang bukan sahaja mampu menjana wang, bahkan dapat membangunkan potensi diri ke arah yang lebih baik sepanjang hayat.
Seorang pempengaruh mendapat bayaran sebagai upah setelah melakukan “ulasan produk” (product review). Perbuatan mereka ini tidak ubah seperti peribahasa Melayu “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” – ada kerja ada upah.
Jika tidak ada yang meminta mereka untuk membuat ulasan produk, terpaksalah mereka mencipta apa saja kandungan bagi dimuat naik di laman sosial mereka. Mereka perlu sentiasa mencari idea-idea baharu bagi kekal relevan di media sosial.
Namun, kita dapat lihat baru-baru ini terdapat seorang pempengaruh sosial media yang telah mendapat kecaman hebat kerana perbuatannya yang seperti tidak peka akan isu semasa.
Dia tidak langsung menggunakan populariti sebagai pempengaruh media sosial bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang isu kemanusiaan yang berlaku.
Kesan pada tindakannya itu telah menyebabkan pempengaruh tersebut kehilangan sejumlah pengikut di media sosial selain mendapat kecaman hebat daripada warganet yang amat tidak senang dengan tindakannya.
Ternyata, menjadi seorang pempengaruh ini bukanlah hanya semata-mata untuk menjadi seorang yang terkenal, bahkan ia datang dengan tanggungjawab yang besar.
Pempengaruh media sosial ialah individu yang memiliki pengikut setia dan daya tarikan dalam rangkaian sosial mereka. Mereka memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pendapat dan perilaku pengikut mereka.
Pemikiran analitikal, kritikal
Oleh itu, untuk kekal relevan, popular dan berkredibiliti dalam dunia digital ini, mereka perlu mempunyai pemikiran yang analitikal dan kritikal.
Mereka bukan sahaja boleh mencipta kandungan media sosial yang kreatif dan menarik, bahkan mereka juga dapat menggunakan kandungan-kandungan tersebut untuk membentuk budaya dan mengubah paradigma pengikut mereka ke tahap yang lebih baik.
Berdasarkan kajian, konsep pemikiran dapat ditakrifkan sebagai satu operasi mental yang digunakan untuk menyelesaikan masalah dan kemudian membuat keputusan atau rumusan serta memenuhi keinginan untuk mendapatkan sesuatu jawapan.
Justeru, ia amat penting bagi membolehkan individu mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang sikap dan perhubungan manusia dalam pelbagai persekitaran sosial.
Pemikiran analitikal melibatkan proses pemikiran di luar kebiasaan apabila sesuatu masalah diselesaikan melalui sumber yang berlainan atau tidak berkaitan. Kepentingan pemikiran analitikal ini adalah apabila sesuatu masalah perlu dilihat daripada perspektif yang berlainan supaya mudah untuk diselesaikan.
Edward De Bono, seorang tokoh dalam bidang pemikiran ini ada menyatakan bahawa antara faktor penting dalam persekitaran analitikal adalah untuk mengenal pasti idea yang dominan, melihat masalah pada sudut yang berbeza, melonggarkan cara pemikiran yang terkawal dan menggunakan idea yang diberikan oleh orang lain.
Pemikiran kritikal pula merupakan semua kemahiran intelektual untuk menilai dan mempertingkatkan sesuatu situasi. Bagi kalangan pemikir kritis, penerokaan yang berlaku sangat berkaitan dengan pengalaman yang dialami, sama ada melalui bahan bacaan atau pemerhatian, atau dengan cara mendengar, melihat atau menempuhnya sendiri.
Pemikiran kritikal mampu menghasilkan pempengaruh yang boleh menganalisis secara kritikal tentang apa juga keadaan yang berlaku di sekeliling dan membuat penilaian secara sistematik dan praktikal dalam mencari penyelesaian yang optimum.
Seorang pempengaruh media sosial yang berkredibiliti sentiasa cakna setiap peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka.
Mereka sangat peka dengan keadaan yang terjadi bukan hanya untuk mencari idea bagi kandungan media sosial mereka tetapi lebih kepada menjalankan tanggungjawab sebagai teladan yang terbaik kepada semua pengikut setia mereka.
Penganjuran Anugerah TikTok Malaysia 2023 yang julung kalinya diadakan juga dapat dilihat sebagai bukti yang jelas bahawa pempengaruh media sosial telah semakin diiktiraf dalam kalangan masyarakat umum.
Apatah lagi tema yang dibawa sewaktu penganjuran majlis tersebut iaitu “Yang Gah di Skrin Kecil” telah membuktikan bahawa para pempengaruh ini adalah personaliti yang telah diiktiraf dan diterima sebagai contoh teladan kepada masyarakat.
Para pempengaruh ini harus mewujudkan matlamat yang jelas dan menyelaraskan kandungan di media sosial berdasarkan matlamat tersebut.
Mereka perlu sentiasa bertanya, “Apakah mesej yang ingin saya sampaikan kepada para pengikut saya?” serta “Bagaimana kandungan ini akan memberi manfaat kepada mereka?”
Ternyata dengan memahatkan persoalan-persoalan ini pada setiap kandungan di media sosial, ia secara tidak langsung mampu membantu mereka menjana kandungan yang lebih bermakna dan relevan.
Fikir impak moral
Tunjang utama yang harus mendasari hati setiap pempengaruh media sosial ini juga ialah mereka perlu memahami “netika” (netiquette) bersosial di media sosial. Dalam erti kata lain, mereka harus sentiasa memikirkan impak moral dan sosial daripada kandungan mereka kepada penerima mesej tersebut.
Setiap perkara atau objek yang dipamerkan dalam video yang dimuat naik di media sosial pastinya akan mempengaruhi kredibiliti mereka sebagai pempengaruh. Pemikiran kritikal dan analitikal pastinya mampu membantu mereka menghindari penyebaran maklumat palsu, mempromosikan produk yang meragukan atau melanggar nilai-nilai masyarakat.
Memandangkan interaksi bersama pengikut adalah kunci untuk kekal relevan di media sosial, para pempengaruh ini juga perlu memberikan komentar, pertanyaan dan maklum balas pengikut dengan baik.
Keadaan ini pastinya akan menguji kemahiran komunikasi para pempengaruh ini. Mereka perlu mempunyai intuisi dan kecerdasan emosi yang tinggi bagi memahami perasaan dan keperluan pengikut mereka serta mengambil tindakan yang sesuai.
Para pengikut sentiasa mencari kandungan yang baru dan menarik. Para pempengaruh harus berani mengembangkan kemampuan kreativiti mereka dan berani mencuba perkara-perkara baru.
Pemikiran analitikal dapat membantu mereka melihat kandungan mana yang sesuai dengan situasi semasa dan apa yang tidak, sementara pemikiran kritikal membantu mereka terus meningkatkan kualiti kandungan mereka.
Dalam dunia yang sentiasa berubah dan pesat seperti media sosial, pempengaruh yang berfikiran analitikal dan kritikal lebih cenderung untuk kekal relevan dan mempunyai pengaruh yang berterusan.
Mereka mampu beradaptasi dengan perubahan trend dan keperluan pengikut serta membuat keputusan yang berasaskan data dan pemikiran yang mendalam.
Akhirnya, pemikiran analitikal dan kritikal adalah aset berharga bagi pempengaruh media sosial yang ingin terus berjaya dalam jangka masa panjang.
Nurul Nisha Mohd Shah, Pensyarah Komunikasi, UiTM Kampus Rembau
Mohd Radzman Basinon, Pengarah Seni Kreatif