Tanggungjawab menyebarkan kebaikan adalah pada bahu semua orang. Begitu juga tanggungjawab menumpas keburukan, tiada sesiapa terkecuali daripada memastikan ia tidak menular.
Ia selari dengan tuntutan agama Islam dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang menjadi kewajipan setiap Muslim, bertepatan dengan firman Allah Taala dalam surah Ali-Imran, ayat 104:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
Jaga Kemaslahatan
Setiap orang memiliki posisi dan kedudukan tertentu. Sebagai ahli masyarakat, setiap orang ada pertanggungjawaban masing-masing dan ruang untuk bersuara dan bertindak.
Maka, jika setiap atau sebahagian besar daripada masyarakat dapat berkongsi tanggungjawab menyelesaikan masalah sekitar, banyak isu dapat diselesaikan. Beban yang berat menjadi ringan apabila dijinjing bersama.
Budaya ‘menjaga tepi kain orang’ harus dihidupkan sekiranya mahu melestarikan kehidupan masyarakat yang sejahtera, aman dan harmoni.
Setiap ahli masyarakat harus cakna dan empati terhadap apa yang berlaku dalam lingkungan pengaruh masing-masing sama ada dalam komuniti atau mana-mana ruang jaringan capaian masing-masing.
Sikap menyandarkan tugasan memperbaiki keadaan sebagai tugas pihak lain, atau menyalahkan orang lain semata-mata tidak akan memulihkan apa-apa keadaan.
Sebarkan Kebaikan
Setiap amal kebaikan atau keburukan berupaya memberikan pengaruh sehingga mengakar ke dalam masyarakat. Kebaikan harus disebarkan sehingga ramai orang berupaya menikmatinya sebagaimana falsafah kebaikan yang disampai dalam hadis Nabi SAW:
“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, ia akan membakar bajumu dan juga kamu mendapat bau yang busuk.” (HR Bukhari, No. 2101)
Renungkan suatu ketika dahulu, free market atau pasar percuma adalah konsep kebajikan yang janggal didengari. Pasar yang berkonsepkan serampang dua mata di mana ia adalah solusi pada dilema pihak yang ingin melupuskan barang yang masih baik.
Dalam pada itu, ia adalah kegembiraan kepada pihak yang memerlukan barang tersebut tetapi tidak berupaya mendapatkannya. Kini pasar percuma tidak asing lagi bagi masyarakat, bahkan seringkali diangkat sebagai projek komuniti atau persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan.
Begitu juga dengan inisiatif kitar semula dalam usaha mewujudkan negara yang bebas sisa buangan dan memperkasakan masyarakat agar menguruskan sisa dengan teratur dalam memelihara alam sekitar.
Sisa kitar semula telah dijenamakan sebagai sampah yang menjanakan keuntungan dalam bentuk nilai wang atau sebagai pilihan gaya hidup minimalis.
Jika dahulu masyarakat beranggapan barang kitar semula hanya terhad pada tilam lama atau surat khabar lama termasuk botol dan tin minuman melalui apek yang masuk taman perumahan dengan lorinya.
Kini hampir semua barang dalam rumah boleh dikitar semula. Sudah banyak tong-tong kitar semula yang menerima sisa barang rumah di taman kejiranan.
Keburukan Turut Berjangkit
Sekiranya kebaikan boleh tersebar luas, kejahatan turut tidak pernah berhenti memberikan saingan sengit. Sekelumit kejahatan yang dibiarkan tanpa halangan mampu mengumpulkan kekuatan memberikan kenistaan dan bencana.
Berbeza dengan kebaikan yang memberikan nikmat dan kegembiraan, kejahatan memberikan implikasi mudarat yang sukar diperbaiki atau dipulihkan. Disebabkan itu wujud falsafah yang mengandungi hikmah, mencegah lebih baik daripada mengubati.
Idea mewujudkan pendidikan seks di sekolah dianggap sebagai isu yang tabu yang sering disalahertikan.
Padahal tujuannya untuk membendung gejala seks, mengelakkan kanak-kanak dimanipulasi dan memperkasakan kanak-kanak agar ada ketahanan dalaman dalam memelihara maruah diri mereka, jauh sekali untuk mempromosikan seks sebagai amalan.
Namun ironinya, pornografi ‘laku keras’ di negara ini. Mudah sahaja untuk menatapinya tanpa sengaja mencarinya.
Lawak lucah pula sering menjadi jenaka ketawa yang menghiburkan di mana-mana sama ada di dalam masjid yang suci, atau dalam sidang parlimen yang dihadiri oleh YB-YB.
Menyebutnya tidak dianggap menjatuhkan maruah. Malang sekali, sebutan lucah telah menjadi normalisasi dalam masyarakat.
Pemimpin Perlu Berhati-hati
Para pemimpin atau sesiapa yang berpengaruh perlu lebih berhati-hati dalam setiap kata-kata dan perbuatan kerana mereka ada pengikut. Maka, golongan berpengaruh ini harus segera bertindak apabila tersalah langkah supaya tiada siapa yang sempat meniru perbuatannya.
Memperbetulkan keadaan dengan memberi teguran membina adalah tindakan yang tepat bagi menghalang apa-apa anasir keburukan daripada terus merebak.
Memohon maaf dengan kekesalan tanpa menjustifikasikan perbuatan adalah respons yang menunjukkan ketinggian maruah diri.
Selagi budaya mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan tertanam dalam jiwa setiap rakyat, selagi itu gejala buruk dan anasir yang merosakkan ada harapan untuk ditumpaskan atau diminimakan bahayanya.
Janganlah kita menganggap kerja memperbaiki manusia ini adalah kerja orang lain dan jangan menganggap kenistaan yang berlaku adalah salah orang lain sentiasa.
Ibarat satu jari kita menuding kepada orang lain, sedangkan jari-jari kita yang lain sebenarnya menuding kepada kita.
Yang paling penting, ukur diri sendiri sejauh mana diri berbakti memperbaiki masyarakat dan negara.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.