Kepentingan Budaya Integriti dan Menegur Pemimpin

Kepentingan Budaya Integriti dan Menegur Pemimpin | IKRAM

Rasuah telah menjadi isu yang menjolok mata di negara tercinta ini. Negara pernah menjadi sensasi di mata dunia melalui skandal kewangan 1MDB yang masih sedang dalam perbicaraan hingga ke hari ini.

Ironinya, negara ini juga ada banyak lapisan agensi yang dikhususkan untuk mengawal penyelewengan dana dan salah guna kuasa seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malangnya, kewujudan agensi-agensi ini seperti tidak berupaya menangani isu korupsi yang nampaknya semakin membarah hingga ke akar umbi. Maksudnya, masyarakat pun seolah-olah turut membenarkan dan menormalisasikan amalan keji ini.

Benarkah ia begitu? Baru-baru ini apabila seorang tokoh pemimpin yang cuba menyucikan rasuah pengundi melalui topeng sedekah dalam kenyataannya pada umum, begitu ramai pengikutnya yang membela tindakan tersebut ataupun diam membisu. 

Sekiranya benar ingin menzahirkan kesetiaan dan kasih kepada pemimpin, langkah salah yang dibuatnya harus diperbaiki dengan teguran agar tidak tersalah landasan dalam memimpin pengikutnya ke hadapan.

“Pemimpin harus ditegur dan tidak harus terlalu dikagumi,” saran Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Haji Badlishah Sham Baharin, salah seorang ahli panel forum di Konvensyen Tadbir Urus Berintegriti yang berlangsung di Bandar Baru Bangi pada Khamis, 19 Januari lalu.

Cabaran Integriti Negara

Negara ini berulang kali memasang wawasan dan pelbagai gagasan ke hadapan, namun masih dibebani dengan gejala rasuah dan penyelewengan yang telah banyak membinasakan rakyat dan negara.

Malah, negara ini telah berturut-turut berada dalam kedudukan yang semakin merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Pada tahun 2019, Malaysia berada dalam kedudukan ke 51 daripada 180 negara yang diselidiki, kemudian tergelincir di tangga ke-57 pada tahun 2020 dan seterusnya jatuh ke tangga 62 pada tahun 2021 dengan pencapaian skor rendah iaitu 48 daripada 100 markah keseluruhan. 

Apa yang menyebabkan isu rasuah begitu sukar untuk ditangani? 

Negara ini telah ‘disenjatai’ dengan pelbagai agensi dan akta bagi melawan rasuah dan penyelewengan kuasa, bahkan setiap Perdana Menteri yang mentadbir membawa ideologi nasional yang menerapkan mesej integriti sebagai budaya kerja.

“Nilai etika, akhlak, moral yang dibawa oleh mesej kerajaan tidak membumi dan ia hanya sekadar meniti di bibir mulut sahaja. Mesej kebinasaan amalan rasuah dan menjaga integriti tidak dihayati dan dibudayakan sehingga ia mampu merubah sudut pandang kita,” jawab Haji Badlishah merungkai persoalan tersebut.

Kejijikan terhadap rasuah harus diadun sebati dengan jiwa sehingga ia benar-benar dirasakan keji oleh rakyat. 

Ujarnya, pendidikan tentang bahaya rasuah kepada masyarakat bersama iltizam politik kepimpinan negara akan menjadi teras kepada perubahan besar dalam usaha membersihkan negara ini daripada rasuah. Rakyat dan pemimpin negara harus komited untuk berubah. 

Tokoh saintis, Albert Einstein pernah menyebut bahawa pengulangan cara kerja yang sama berulang kali namun mengharapkan perubahan berlaku daripadanya adalah satu kegilaan.

Sekiranya rasuah masih dibiarkan bermaharajalela tanpa penguatkuasaan tegas dan ada pilih kasih, isu rasuah akan terus-menerus hanya menjadi omong kosong tanpa dirasai impaknya yang signifikan.

“Pernahkah ada orang yang dipenjarakan atas kesalahan yang dikeluarkan dalam laporan audit?” persoalan tajam yang dilontarkan oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dalam forum tersebut. 

“Tadbir urus ialah perkara yang dilaksanakan, bukan perkara yang dicakap-cakapkan dan kita takkan merasainya selagi mana kita tidak kehilangannya.”

“Misalan, tugas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ialah memastikan penerbangan selamat. Selagi tiada kapal terbang terhempas, kita mungkin tidak sedar kewujudan CAAM.”

“Itu cabaran utama dalam usaha melentur integriti kerana ia adalah sesuatu yang tidak nampak. Selagi kita tidak meletakkan pertanggungjawaban pada orang yang selayaknya, selagi itu isu tadbir urus berintegriti ini akan berterusan.” 

Mekanisme Tegur Pemimpin

Rakyat menyambut baik saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menegur mana-mana pemimpin yang tersalah langkah.

Namun, mekanisme teguran ini harus jelas agar tidak disalahgunakan dalam menyebarkan fitnah atau menjadi punca whistleblower yang jujur dan telus dikenakan tindakan disiplin seperti dipendekkan tempoh jawatan atau pertukaran kawasan.

Dalam forum itu, Pegawai Dasar dan Kajian APPGM-SDG, Dr Teo Lee Ken menyebut bahawa perlu ada pendekatan untuk memperkasakan institusi dan mewujudkan mekanisme yang bersifat telus.

Ini dilakukan supaya sesiapa pun tanpa mengira latar belakang berupaya meletakkan orang yang bersalah sebagai orang yang salah dan sesiapa yang melakukan korupsi, dia melakukan korupsi, tidak bersimpang-siur.

Oleh itu, budaya menegur demi menegakkan yang hak dan menumpaskan kebatilan harus menjadi tindakan yang dimuliakan.

Dalam forum itu, Haji Badlishah turut menekankan bahawa komuniti harus sentiasa berada dalam minda yang cergas dan cerdas dalam membantu negara agar mengekalkan kepimpinan yang akauntabiliti dan ketelusan dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Kuasa mesti dikawal, ujarnya. Tegurlah pemimpin apabila ia salah dan adalah sesuatu yang tidak wajar sekiranya para pengikut hanya menurutinya secara membabi buta. Sekiranya budaya teguran ini terus berlaku, kita boleh mengimpikan negara yang makmur dan mampan melaju ke hadapan. 

Oleh itu, integriti perlu bermula dari diri sendiri. Hasil daripada didikan, kempen kesedaran yang berterusan, penguatkuasaan yang berkesan serta ketegasan kepimpinan, budaya integriti dapat disuburkan dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia