Karnival Al-Amin 2011 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Disember berakhir dengan jayanya dan ditutup secara rasmi pada majlis makan malam dan penganugerahan buat guru-guru serta kakitangan Pusat Pendidikan Al-Amin (PPAA) di Universiti Teknologi Malaysia di sini.
Karnival Al-Amin dengan tema “Teruskan Muafakat Demi Generasi Soleh Wa Musleh” diadakan sempena menyambut 25 tahun usia PPAA yang dimulakan dengan penubuhan Sekolah Rendah Islam Al-Amin di Jalan Kent, Kuala Lumpur pada 1986. Sekolah pertama ini mempunyai 60 orang murid dan tujuh orang guru.
Sejak karnival bermula dan dirasmikan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali pada Sabtu lalu, ia tidak putus-putus dikunjungi ibu bapa, pelajar, bekas pelajar dan orang ramai yang berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan, permainan, pengisian ilmiah dan jualan.
Menurut pengarah karnival, Prof Madya Dr Salwani Mohd Daud (kiri), sambutan jubli perak Al-Amin ini menggabungkan kesemua empat sekolah di bawah PPAA iaitu Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak (SRIAAG), SRIAA Kuala Lumpur (SRIAAKL), SRIAA Wilayah Persekutuan (SRIAAWP) dan Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak (SMIAAG). Lokasi utama aktiviti adalah di SRIAAG dan SMIAAG yang terletak di dalam satu kawasan, manakala beberapa acara turut dijalankan di sekolah-sekolah lain.
“Tujuan utama karnival ini adalah untuk meraikan sambutan 25 tahun sekolah-sekolah di bawah PPAA dan sekali gus mengisi tabung Yayasan Al-Amin untuk membantu pelajar yang ditimpa musibah, membantu pelajar cemerlang tetapi kurang mampu, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah secara amnya dan membantu kebajikan guru dan staf PPAA.
|
|
|
|
“Selain itu, sambutan ini juga bertujuan memperkenalkan lagi sekolah Al-Amin kepada masyarakat supaya kehadirannya lebih dirasai, di samping mempererat ukhuwah antara staf PPAA khususnya guru-guru dan kakitangan sokongan kerana boleh dikatakan merekalah yang berusaha keras menjayakan karnival ini,” jelas beliau.
Sehingga kini, katanya lagi, sambutan daripada ibu bapa terhadap Sekolah Al-Amin amat memberangsangkan kerana masyarakat sememangnya tercari-cari pendidikan alternatif terutamanya yang menawarkan sekali pendidikan Islam.
“Jumlah pelajar di sekolah-sekolah kita sekarang sudah melebihi 2,000 orang. Setiap tahun, kita terpaksa menolak tidak kurang daripada 100 permohonan selepas saringan pendaftaran dilakukan kerana tempat yang amat terhad. SRIAAWP yang terletak di Wangsa Maju itu pun dibuka bagi menampung dan menerima pelajar-pelajar yang tidak mendapat tempat di Gombak dan Kuala Lumpur,” tambahnya.
Pelbagai acara menarik disediakan pada karnival ini. Sesi-sesi pengisian ilmiah menampilkan barisan penceramah selebriti dan terkenal dewasa ini seperti Ust Roslan Muhammad (rancangan ‘Halaqah’ dan ‘Tanyalah Ustaz’ di TV9), Ust Dr Zaharuddin (pemilik laman web zaharuddin.net), Ustaz Don Daniyal (TV Alhijrah), Dr Robiah K Hamzah (penulis tetap majalah Anis dan pakar motivasi), Prof Dr Nazari Ismail (penulis ruangan ekonomi akhbar The Star), Puan Yasmin Siddik (perunding kecantikan) dan Encik Haron Mohd Yusof atau Hamdy (penulis buku ‘Rancang Hidup Rancang Wang’).
Selain itu, aktiviti menunggang kuda, bermain dengan burung kak tua dan arnab, ‘fun house’, urutan refleksologi, sauna untuk wanita, badut, ‘treasure hunt’, jualan makanan serta jualan buku dan pakaian sekolah juga diadakan. Sepanjang tiga hari karnival, sistem siar raya dikendalikan oleh Alunan Firdausi Entertainment dengan baik sekali.
Acara terakhir, “Pertandingan Pidato Tiga Minit” tidak kurang hebatnya apabila menawarkan hadiah tempat pertama berupa al-Quran Digital berharga RM600. Lima anak muda yang mengambil bahagian menunjukkan kematangan masing-masing kerana berjaya menyampaikan hujah yang bernas dan menarik dalam tempoh persediaan hanya beberapa minit.
|
|
![]() |
![]() |
Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah penghargaan kepada guru-guru dan kakitangan PPAA dengan penghargaan khas buat Puan Suhaini Ishak dan Puan Faezah Ismail, antara tenaga pendidik yang setia mencurahkan bakti mereka sejak 1986 hingga sekarang.