Pemakanan Prakehamilan Seimbang Kunci Kesihatan Bayi

Kehamilan adalah satu fasa yang penting dalam kehidupan seseorang wanita, bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk kesihatan bayi yang bakal dilahirkan. Persiapan ke arah kehamilan yang sihat perlu dimulakan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum seseorang wanita hamil.

Pemakanan yang seimbang dan mencukupi dalam tempoh prakehamilan memainkan peranan penting dalam memastikan perkembangan bayi yang sihat dan mencegah masalah kesihatan seperti bantut.

Pemakanan yang baik sebelum kehamilan memberi manfaat kepada kesihatan ibu dan bayi yang bakal lahir. Nutrien yang mencukupi memastikan ibu berada dalam keadaan yang optimum untuk menghadapi kehamilan dan melahirkan bayi yang sihat.

Malah, kekurangan nutrien sebelum kehamilan boleh memberi kesan kepada pertumbuhan janin semasa di dalam kandungan dan meningkatkan risiko bayi lahir dengan berat badan yang rendah, masalah kesihatan kongenital dan buntut.

Pemakanan yang sihat sebelum hamil sangat diperlukan untuk kesiapsiagaan tubuh menghadapi proses kehamilan. Tubuh wanita memerlukan nutrien penting untuk menghadapi perubahan hormon, peningkatan keperluan tenaga dan persediaan untuk menyokong pertumbuhan janin.

Selain itu, pertumbuhan janin yang sempurna memerlukan nutrien yang mencukupi seperti asid folik, zat besi dan kalsium, khususnya di peringkat awal kehamilan. Pada tahap ini, organ-organ penting seperti otak dan tulang mula terbentuk.

Di samping itu, masalah bantut dapat diatasi  dengan mengelakkan  kekurangan nutrien semasa kehamilan dan selepas kelahiran. Hal ini kerana persediaan nutrien yang mencukupi semasa prakehamilan  telah dilakukan dengan sebaik mungkin.

Bantut merupakan masalah kesihatan yang berlaku apabila kanak-kanak mengalami pertumbuhan yang lambat atau tidak mencapai tahap tumbesaran yang sesuai dengan usia. Ia juga boleh disebabkan kekurangan nutrien semasa kehamilan dan selepas kelahiran.

Nutrien penting untuk pemakanan prakehamilan

Bagi memastikan kehamilan yang sihat dan mencegah risiko bantut, wanita yang merancang kehamilan perlu memberi perhatian kepada beberapa nutrien utama dalam diet harian mereka:

  1. Asid Folik

Asid folik atau vitamin B9 adalah nutrien penting yang membantu dalam pembentukan sel darah merah dan sintesis DNA. Ia juga diperlukan untuk perkembangan saraf bayi, terutamanya dalam pembentukan tiub saraf (neural tube) yang membentuk otak dan tulang belakang bayi.

Kekurangan asid folik dalam tempoh prakehamilan dan awal kehamilan boleh menyebabkan kecacatan pada tiub saraf dan masalah perkembangan otak. Wanita yang merancang untuk hamil disarankan mengambil 400 mikrogram asid folik setiap hari, dua atau tiga bulan sebum kehamilan, sama ada melalui makanan atau suplemen.

  1. Zat Besi

Zat besi diperlukan untuk memastikan pembentukan sel darah merah yang mencukupi dan memastikan bekalan oksigen yang mencukupi kepada janin.

Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia dalam kalangan ibu, yang berisiko meningkatkan komplikasi kehamilan seperti kelahiran pramatang dan berat bayi lahir rendah (≤ 2.5 kg). Sumber zat besi termasuk daging merah, sayur-sayuran berdaun hijau dan kekacang.

  1. Kalsium:

Kalsium penting untuk pembentukan tulang dan gigi yang kuat pada janin. Ia juga membantu dalam fungsi otot dan saraf ibu.

Kekurangan kalsium boleh menyebabkan masalah pada perkembangan tulang janin dan meningkatkan risiko osteoporosis pada ibu pada kemudian hari. Wanita disarankan mengambil 1000 mg kalsium setiap hari daripada sumber seperti susu, produk tenusu dan sayuran hijau.

  1. Zink:

Zink penting untuk sistem imun dan pembaikan DNA. Kekurangan zink dalam diet boleh menjejaskan pertumbuhan bayi dan meningkatkan risiko kelahiran pramatang. Sumber makanan yang kaya dengan zink termasuk makanan laut, daging dan bijirin penuh.

  1. Asid Lemak Omega-3:

Omega-3, terutamanya DHA (asid dokosaheksaenoik), penting untuk perkembangan otak dan mata bayi. Kajian menunjukkan pengambilan omega-3 yang mencukupi boleh membantu meningkatkan kecerdasan dan fungsi kognitif bayi selepas lahir. Sumber omega-3 termasuk ikan berlemak seperti salmon dan ikan kembung serta suplemen minyak ikan.

Kesimpulan

Masalah bantut adalah satu keadaan yang boleh dicegah melalui pemakanan yang mencukupi sebelum kehamilan Pemakanan yang baik sebelum hamil memastikan ibu mendapat nutrien yang mencukupi untuk menyediakan tubuh bagi proses kehamilan.

Setelah hamil, pemakanan yang seimbang dan mencukupi akan memastikan janin mendapat nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran yang sihat.

Pemakanan prakehamilan adalah langkah penting dalam memastikan bayi yang dilahirkan sihat dan bebas daripada masalah kesihatan seperti bantut. Nutrien penting seperti asid folik, zat besi, kalsium, zink dan omega-3 memainkan peranan utama dalam menyokong pertumbuhan janin yang normal dan mencegah komplikasi.

Oleh itu, wanita yang merancang kehamilan perlu memastikan diet mereka seimbang dan mencukupi agar mereka dapat menghadapi kehamilan dengan sihat dan melahirkan bayi yang membesar dengan baik.

Dengan amalan pemakanan yang baik, kita bukan sahaja dapat mencegah masalah kesihatan seperti bantut, tetapi juga dapat memastikan generasi yang lebih sihat dan sejahtera.

Profesor Dr. Norhasmah Sulaiman
Ketua Wanita IKRAM Selangor
(Melaksanakan Advokasi 1000 Hari Pertama Kehidupan)

Penulis juga merupakan:

Profesor
Registration Number: MAHPC (NUTR)00500
Jabatan Pemakanan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia