Kongres yang dirasmikan oleh Presiden MUBIN, Ir Hj Sahak Yasin ini bertemakan ‘Hala Tuju Dakwah di Jalur Ekonomi’ mengumpulkan usahawan dalam kalangan ahli IKRAM bagi tujuan jaringan dan takaful dalam bisnes.
Turut hadir Ketua IKRAM Muda, Mohd Hafiz Abd Hamid memberikan ucapan aluan kongres yang dihadiri lebih 100 orang peserta. Antara slot yang menarik yang diketengahkan ialah perkongsian ‘Dakwah di Jalur Ekonomi’ oleh Ketua MUBIN Muda, Saudara Ammar Roslizar, pengasas ARBA Travel.
Dalam ucapannya, beliau sangat menekankan kepentingan Muslim untuk menjadi jutawan berjaya dan impaknya kepada dakwah.
“Visi dan misi anak muda kini serta ‘business model’ mereka banyak berbeza daripada zaman sebelumnya dan saya yakin dengan cita-cita tinggi, semangat ingin bebas dan bakat yang hebat-hebat pada anak-anak muda, menjadikan mereka berani mencuba dan mampu untuk berjaya,” kata Ustaz Mohd Fadzil Saleh yang hadir mewakili IKRAM.
Beliau mengharapkan agar kongres ini menjadi titik permulaan kepada penghasilan dai-dai usahawan yang tegar dengan prinsip keislaman dan keimanan serta bersedia berada di barisan hadapan menggalas kejayaan Islam dengan penuh praktikal dan realistik, bukan lagi angan-angan.
Dalam perkembangan berkaitan, turut diadakan sesi perkongsian daripada pemilik-pemilik usahawan muda berjaya dalam kalangan ahli MUBIN dan anak muda IKRAM. Bagi peserta, Ainun Salimah Ghani, sesi perkongsian ini sesi yang paling manis dan mahal.
“Sebab kita bukan sembang tentang idea dan mimpi tapi tengok contoh real, anak Melayu Islam Malaysia yang buktikan boleh jadi individu yang miliki syarikat yang ‘memimpin dalam teknologi’ di peringkat dunia!” ujarnya.
Sehubungan itu, MUBIN Muda melihat pentingnya mereka yang sudah berada dalam bisnes untuk ditingkatkan potensinya untuk benar-benar berjaya dalam ekonomi.
Ini penting supaya sumbangan bukan hanya dapat diberikan dengan duit, tetapi dalam bentuk operasi ekonomi itu sendiri seperti peluang pekerjaan, aktiviti membesarkan bisnes, pelaburan dan lain-lain.