Pelaksanaan perintah berkurung kepada remaja perlu pendekatan menyeluruh

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil cakna terhadap cadangan pihak Kerajaan dan pihak berkuasa untuk menetapkan had masa atau perintah berkurung (curfew) bagi remaja bawah umur di Malaysia untuk keluar rumah pada waktu malam tanpa pengawasan orang dewasa sebagaimana dipersetujui mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pemberantasan Dadah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini. Larangan khas ini bertujuan untuk melindungi golongan ini daripada kegiatan dan pengaruh negatif yang semakin membimbangkan.

Golongan remaja membentuk 29.4% daripada jumlah penduduk Malaysia (2017) dengan sejumlah 9.4 juta orang di bawah umur 18 tahun. Menurut kajian literatur kami, antara statistik gejala sosial berkaitan golongan ini adalah; sejumlah 30,844 kes dadah melibatkan remaja (2016) dan sebahagiannya (23,000 kes) adalah baru; pesalah juvana pula sebanyak 7,816 kes (2013) berbanding 3,700 kes (2012) iaitu peningkatan melebihi 100% dalam tempoh satu tahun; JAKIM pula mencatatkan sejumlah 81,000 anak luar nikah sehingga 2011; dan kes pembuangan bayi yang juga meningkat (2000-2006) sebanyak 580 orang. Perkembangan ini amat membimbangkan.

Pada dasarnya, IKRAM bersetuju dengan cadangan ini sebagai satu inisiatif penting dalam usaha mendidik golongan remaja bagi memastikan mereka menjadi insan-insan yang berilmu, seimbang dan harmonis, sesuai dengan peranan untuk menjadi penggerak kemajuan dan pemimpin negara masa hadapan.

Namun, pelaksanaan undang-undang yang berkaitan perlu diperhalusi bagi menjamin keabsahannya mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada, di samping bersifat rahmah (merciful) dan bukan menghukum (punishing).

IKRAM juga percaya bahawa pelaksanaan cadangan ini seharusnya tidak hanya melihat dari aspek pelaksanaan peraturan atau undang-undang semata-mata, sebaliknya pendekatan yang lebih menyeluruh mestilah diambil kira sesuai dengan sifat manusia itu sendiri yang dibentuk daripada gabungan rohani, emosi, jasmani dan intelek, khususnya bagi golongan remaja yang sedang membesar.

Sehubungan itu, IKRAM ingin mengemukakan saranan-saranan berikut kepada kerajaan:

1. Mengambil pendekatan holistik dalam menangani masalah sosial remaja yang melibatkan peranan semua pemegang taruh utama seperti kerajaan sendiri, keluarga, sekolah dan juga masyarakat.

2. Meningkatkan usaha untuk mengukuhkan institusi keluarga. Peranan keluarga amat penting. Keluarga berperanan besar dalam membina karakter dan nilai remaja. Keluarga yang bermasalah akan menyumbang kepada masalah ini. Pemegang taruh lain perlu membantu dengan menyediakan pelbagai inisiatif yang boleh menyokong institusi keluarga dalam memainkan peranan yang penting ini seperti mewujudkan aktiviti kemasyarakatan bagi mengisi masa lapang, membangun kemahiran dan jati diri remaja.

3. Meningkatkan peranan sekolah dengan membina suasana pembelajaran yang lebih terangkum bagi pembinaan karakter dan nilai remaja yang holistik. Penekanan yang keterlaluan terhadap pencapain akademik boleh menimbulkan tekanan kepada pelajar.

4. Melatih lebih ramai pakar kaunseling remaja.

5. Mengurangkan persekitaran, fasiliti dan perkhidmatan yang boleh menyuburkan budaya dan amalan lepak dalam kalangan remaja seperti kedai makan 24 jam dan pergaulan bebas.

IKRAM ingin menyatakan kesediaan untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan dan juga pemegang taruh lain yang berkepentingan dalam usaha menangani isu gejala sosial dalam kalangan remaja ini, sama ada melalui pembangunan dasar dan polisi baru kerajaan yang akan diperkenalkan mahupun perkhidmatan pembangunan diri golongan remaja khususnya melalui pelbagai program-program IKRAM yang berkaitan.

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia