Pertubuhan IKRAM Malaysia menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah, yang menzahirkan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.
Perkara ini seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog (memberhentikan persidangan Dewan Rakyat tanpa membubarkan Parlimen) dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.
IKRAM berpandangan, Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.
Peranan Parlimen sebagai badan perundangan bagi Kerajaan Persekutuan harus dikuat kuasa dan dimanfaatkan sepenuhnya terutamanya dalam situasi pandemik hari ini, di mana polisi dan penguatkuasaan undang-undang amat kritikal untuk diputus dan dilaksanakan.
Oleh itu, IKRAM menyeru agar:
1. Sidang parlimen bersidang dengan segera dalam masa terdekat agar proses semak imbang dapat berlaku dengan baik dan semua ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi dapat terlibat sepenuhnya dalam pembuatan dasar dan keputusan terutamanya yang melibatkan kepentingan rakyat.
2. Semua pemimpin sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang mengenepikan segala kepentingan politik, parti mahupun peribadi, dan berusaha untuk berbincang secara objektif demi memastikan kehidupan rakyat terpelihara dan beban masalah rakyat diselesaikan agar kesejahteraan dan pembangunan negara terus meningkat.
3. Usaha menghidupkan ekonomi, keyakinan pelabur dan meningkatkan tata kelola yang baik (good governance) diberi fokus demi kemaslahatan negara. Ini termasuklah memutuskan rantaian rasuah.
IKRAM menyokong penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk mengembalikan peranan penting Parlimen mengikut Perlembagaan agar usaha dan langkah untuk membendung pandemik Covid-19 dan mengembalikan kesejahteraan negara dapat dirangka secara menyeluruh dan lebih berkesan.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia