SERI KEMBANGAN – Imam Besar Masjid al-Aqsa, Syeikh Dr Ekrima Sa’id Sabri kagum dengan keluasan amal Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) terutama dalam usaha kemanusiaan melibatkan Palestin melalui Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).
Beliau menyatakan demikian ketika mengunjungi Ibu Pejabat IKRAM yang disambut Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin dan Pengerusi MyCARE, Dato’ Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, pada Jumaat.
Dalam kunjungan itu, Syeikh Ekrima mengingatkan tentang peri pentingnya kerja-kerja amal NGO terutama dalam kemanusiaan, yang sebahagiannya tidak dapat dibuat oleh pihak kerajaan.
Beliau menekankan bahawa bantuan ke Gaza mungkin tidak akan menyentuh kawasan Palestin lain disebabkan terpisah dengan kawasan penjajah Israel.
Namun begitu, beliau berasa tenang dengan laporan bahawa IKRAM melalui MyCARE dapat menyalurkan dana bantuan terus ke Baitulmaqdis melalui NGO di Turkiye dan berharap usaha ini akan berterusan.
Menurut MyCARE, bantuan di al-Quds dan Tebing Barat adalah melalui NGO seperti Mirasimiz, Burak dan Sebil dalam bentuk bantuan sara hidup murabitin, halaqah tahfiz, bantuan kecemasan, bantuan guru halaqah di al-Quds, bantuan baiki rumah mangsa Zionis, bantuan Covid-19 (makanan, perubatan), projek Ramadan, Aidilfitri, korban dan musim sejuk.
Dalam pada itu, Hj Badlishah menghargai kunjungan Syeikh Ekrima dan menyatakan komitmen penuh untuk terus membantu Palestin sehingga terbebas daripada belenggu penjajah Israel.
Syeikh Ekrima kini berada di Malaysia untuk merasmikan World Palestine Congress (WPC 2023) pada hari ini di Putrajaya anjuran Justice for Palestine Action Front (JPAF), seterusnya melancarkan International Consultative Council for Palestine (ICCP).
Turut hadir dalam pertemuan itu Setiausaha Agung IKRAM, Hj Shahrul Aman Mohd Saari, Ustaz Faridz Abdullah dan Prof Awaluddin Mohamed Shaharoun (JPAF), Dr Sami Salahat (ICCP), Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria dan Ustaz Abd Haris Bain (IKRAM).