Sejarah memberi kita pelajaran di sebalik peristiwa-peristiwa tragis yang merobek kemanusiaan, namun di situ juga tersirat titik-titik cahaya yang akan menerangi kebenaran dan keadilan.
Salah satu catatan bersejarah adalah semasa perang Vietnam. Pada tahun 1973, Amerika Syarikat menarik diri sepenuhnya daripada medan perang setelah dua dekad penuh dengan perjuangan sengit.
Peristiwa ini membuktikan bahawa kemenangan sejati tidak hanya terletak pada kekuatan ketenteraan, tetapi juga pada gabungan suara-suara yang bersatu dalam panggilan untuk keamanan dan perdamaian.
Catatan sejarah ini bukanlah sekadar kenangan yang jauh, tetapi cerminan dari perjuangan yang sedang berlangsung di bumi Palestin. Sekali lagi, rakyat bangkit, membawa pesan keadilan bagi mereka yang terpinggir dan tertindas. Namun kali ini, panggilan tersebut lebih global, mendalam mesejnya dan lebih berpengaruh.
Peranan media sosial
Jika dulu, hanya suara-suara kecil yang bergema melalui jalan-jalan kota-kota, tetapi sekarang, ia adalah suara dunia yang bersatu dalam solidariti dari jalanan hingga ke dinding mesyuarat rundingan antarabangsa.
Bagaimana perubahan itu terjadi? Jawapannya terletak pada keajaiban media sosial yang menghubungkan hati-hati individu dari sudut-sudut terpencil bumi, membawa mereka bersama dalam perjuangan yang sama.
Namun, kebangkitan yang berlaku ini tidak semuanya tentang retweet, share dan like; tetapi juga tentang kesaksian.
Ketika dunia menyaksikan serangan-serangan kejam yang menimpa warga Palestin, terutama di Gaza, hati-hati insan bergetar bersama dalam kemarahan. Dari sudut-sudut kampus hingga pentas-pentas dunia, suara-suara berani berkumandang, menolak kezaliman dan menuntut keadilan.
Bukan hanya aktivis dan NGO yang berbicara, tetapi merangkumi golongan selebriti, ahli politik, ahli akademik hingga pengusaha perniagaan besar. Suara-suara golongan berpengaruh ini menyuarakan sokongan mereka untuk Palestin. Mereka menolak kerjasama yang ada kaitan dengan rejim Israel.
Penentangan di pelbagai pihak pada segenap peringkat yang menyelar tindakan Zionis memberikan tekanan kepada pemimpin-pemimpin negara mereka. Ini adalah contoh bukti keberkesanan kesedaran awam yang mendesak untuk adanya tindakan moral dan politik terhadap pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel.
Gerakan boikot
Suara-suara yang menuntut keadilan dan memulangkan hak kemanusiaaan ini turut melaungkan keperluan memboikot barangan Israel dan sekutunya sebagai tindakan protes.
Senarai barangan boikot daripada Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) telah menjadi rujukan masyarakat dunia menghentikan sokongan antarabangsa terhadap penindasan Israel terhadap rakyat Palestin dan memberi tekanan kepada Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa.
Hasilnya adalah berlakunya penarikan pelaburan, kemerosotan untung penjualan dan tekanan ekonomi yang semakin besar pada entiti yang mendukung penindasan Israel.
Usaha boikot memang berkesan dan menjadi. Banyak perniagaan syarikat yang menyokong Israel secara langsung atau tidak langsung, mengalami kerugian. Itu adalah kekuatan rakyat dalam tindakan, menciptakan gelombang perubahan yang mengubah dunia.
Namun, perjuangan ini tidak hanya tentang ekonomi, tetapi juga tentang kompas moral yang digenggam. Pengusaha perniagaan di seluruh dunia sedar akan risiko reputasi dan impak ekonomi dari pengecaman terhadap tindakan kezaliman.
Mereka memilih untuk berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sokongan kepada tindakan rejim Israel kerana mereka sedar akan risiko reputasi dan kesan ekonomi yang mungkin timbul daripada pengecaman awam terhadap tindakan Israel terhadap Palestin agar kenyataan mereka tidak dipanjangkan sebagai sokongan terhadap tindakan yang tidak manusiawi.
Seruan kebangkitan
Sebuah perubahan telah dimulai, bukan hanya di peta politik, tetapi di hati manusia. Ini adalah panggilan untuk keadilan yang membangkitkan semangat kita, mengingatkan kita bahwa kekuatan rakyat memiliki kekuatan untuk membentuk masa depan yang lebih baik.
Bersama-sama, kita adalah suara bagi yang tak terdengar, dan kita adalah cahaya bagi kegelapan. Bersama, kita memperjuangkan keadilan Palestin.
Dalam gelombang perjuangan bagi keadilan Palestin, sebuah misi kemanusiaan yang menggetarkan telah menggerakkan misi yang berani.
Misi Break The Siege of Gaza Freedom Flotilla adalah sebuah pelayaran yang diikuti oleh 30 negara dan hampir 1,000 aktivis dari pelbagai belahan dunia, untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Namun, perjalanan mereka tidaklah mudah dan telah dihalang beberapa kali untuk berlayar oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Tujuan misi ini tidak hanya untuk mengirimkan bantuan, tetapi juga untuk membangkitkan kesedaran global tentang penderitaan yang dialami oleh penduduk Gaza.
Mereka mengecam sekatan tidak sah oleh Israel yang telah memotong segala keperluan asas hingga mengakibatkan rakyat Gaza terpenjara dalam keadaan yang mengerikan.
Dalam menghadapi kebisuan pemimpin-pemimpin besar dunia, masyarakat awam telah mengambil alih, menunjukkan keberanian dan pengorbanan yang luar biasa.
Mereka meninggalkan keluarga, pekerjaan dan tanah air mereka untuk menyuarakan keadilan di Gaza, sementara pemimpin-pemimpin mereka hanya mengirimkan kecaman lemah atau bahkan diam seribu bahasa.
Gencatan politik
Di tengah-tengah keadaan ini, Malaysia berdiri sebagai suara yang teguh dan konsisten dalam mendukung perjuangan pembebasan Palestin. Meskipun berganti pemimpin, semangat kesatuan untuk Palestin tetap menggelora di hati rakyat Malaysia dari dulu hingga sekarang.
Ini menjadi titik temu yang kuat untuk kerajaan dan pembangkang duduk bersama, melakukan gencatan politik, menyatakan solidariti dalam isu Palestin agar kesatuan suara negara Malaysia bertaring.
Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan tegas telah mengecam kekejaman yang terjadi di Gaza di pentas global dan berdiri dengan prinsip menegakkan hak asasi manusia.
Bantuan daripada kerajaan melalui Ops Ihsan dengan kerjasama agensinya dan NGO-NGO yang prihatin terus mengalir ke Gaza, membantu meringankan penderitaan yang tidak terbendung.
Maka, saat ini adalah panggilan bagi seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu, melangkah bersama dalam menegakkan hak asasi manusia.
Kita harus terus menunjukkan dukungan kita, memastikan suara solidariti kita bergema di seluruh dunia. Jangan biarkan api perjuangan kita padam, kerana hanya dengan bersama-sama, suara kita bertaring berbisa!
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia