Palestin: Keprihatinan merentas agama, bangsa

Jika Dome of the Rock kelihatan indah dengan kilauan kekuningannya, namun Masjid Al-Aqsa kelihatan telah luntur warnanya. Hakikatnya, berapa ramai yang mengetahui akan hal itu? Namun itulah Masjid yang dikisahkan Allah Subhanahuwataala dalam al-Quran.

 

Masjid al-Aqsa tidak lagi terhad hanya kepada isu menguasai binaan Kompleks al-Aqsa atau al-Haram asy-Syarif yang terletak di bahagian hujung timur Kota Lama Baitulmaqdis. Ia sebaliknya menjangkau hingga ke Baitulmaqdis dan isu tanah negara Palestin secara keseluruhannya.

 

Sebelum umat Islam solat menghadap Kaabah, Masjid al-Aqsa adalah kiblat yang pertama. Hal ini juga direkodkan dalam surah al-Baqarah ayat 143, yang maksudnya:

 

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan mensia-siakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.”

 

Hakikat yang perlu diselami, bukan kerana itu sahaja kita sangat memberikan perhatian kepada Palestin, tetapi sebagaimana yang disabdakan Nabi Salallahualaihiwasallam; kerana Masjid al-Aqsa merupakan kiblat pertama bagi umat Islam:

 

لا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاثَةِ مَسَاجِد: المَسْجِدِ الحَرَام وَمَسْجِدِي هَذَا وَالمَسْجِدِ الأَقْصَى

 

“Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalanan ke tiga destinasi ini: Masjid al-Haram, Masjidku (Masjid an-Nabawi) dan al-Masjid al-Aqsa.” [Hadis Riwayat Bukhari (1189) dan Muslim (1397)]

 

Apabila sesiapa pun bertanya, mengapa kita memberikan perhatian kepada Palestin?

 

Ini jawapan yang mudah dapat kita berikan bahawa Palestin adalah Bumi yang Allah Subhanahuwataala berkati, bersesuaian dengan ayat-Ayat Allah dalam surah al-Israa’ ayat 1:

 

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

 

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 

Tidak dapat dinafikan, walau kita jauh daripada negara itu, namun kita tetap mengambil peduli dengan isu yang menimpa rakyat Palestin. Kewajipan kita ke atas bumi suci Islam yang dijajah ini ialah membebaskannya.

 

Penulis berpeluang menemu bual beberapa orang untuk mengetahui apakah kesedaran yang kita laungkan untuk Palestin, mereka rasainya juga. Tiga soalan yang dikemukakan kepada mereka yang bertuah itu ialah:

 

1. Apakah yang anda tahu mengenai Palestin?

2. Harapan untuk negara Palestin

3. Kata-kata ucapan untuk rakyat Palestin

 

Ketika ditemui seorang lelaki yang baru selesai makan tengah hari di sebuah restoran di Seri kembangan berkata:

 

“Setahu saya, dulu Palestin adalah sebuah negara berdaulat. Namun semenjak dijajah oleh Israel, jadi negara yang tiada adidaya (kuasa), tiada power yang nak membuat undang-undang di negara sendiri berikutan negaranya ditindas,” kata Mukhtaruddin, seorang warganegara Indonesia yang sedang menyempurnakan urusan kerjanya di sini.

 

Dalam pada itu, ketika ditanya lagi apakah harapan beliau terhadap negara tersebut, beliau mengatakan:

 

“Sesedar diri saya, Palestin adalah sebuah negara yang merdeka. Dan saya harap Palestin segera mendapatkan kemerdekaannya, sebagaimana negara-negara lainnya, menjadi sebuah negara yang diiktiraf, tiada lagi penjajahan di buminya itu. Kerana apa yang berlaku sekarang ini adalah satu pencerobohan yang tidak sesuai dengan undang-undang antarabangsa yang siapa pun harapkan ialah kedamaian dan tertegaknya sebuah negara Palestin.”

 

Beliau turut melontarkan ucapan kepada sekalian rakyat Palestin ketika temu bual tersebut.

 

“Selamat berjuang kepada pejuang-pejuang Palestin. Teruskan perjuangan. Tekadkan perjuangan tersebut benar-benar untuk membela negara sendiri dan negara Islam. Masjid al-Aqsa, masjid Umat Islam. Masjid nomor tiga yang perlu diziarahi selepas Mekah. Ia kiblat kita pertama dulu. Dan sama-sama kita doakan agar negara Palestin cepat-cepat merdeka dan diiktiraf di dunia.”

 

Umum mengetahui, penjajahan yang menimpa Masjid al-Aqsa sejak tragedi an-Nakbah pada tahun 1967 dan sejak itu pelbagai penghinaan dan pencabulan telah menimpa masjid ketiga suci dalam Islam dan bumi Israk Mikraj itu.

 

Benarlah sebagaimana yang dikatakannya, Palestin adalah sebuah negara yang merdeka. Dan kita semua tentu berharap agar Palestin segera mendapatkan kemerdekaannya. Masjid diceroboh, dirosakkan, dibakar dan dicemari dengan upacara agama Yahudi. Bahkan, Zionis merancang untuk merampasnya sedikit demi sedikit secara makani dan zamani (ruang dan masa) dengan matlamat akhir untuk meruntuhkannya bagi membina kuil idaman mereka, Haykal Sulaiman.

 

Selain itu, jemaahnya? Mereka ditindas, dikasari dan dihalang masuk. Sebahagiannya ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan yang tidak masuk akal. Bahkan ada yang sengaja dibunuh. Keluarga mereka diancam dengan pengusiran, rumah mereka dirobohkan dan tanah mereka diragut kejam.

 

Dan segala itu berlanjutan sejak tahun 1967 sehingga hari ini tanpa mengira sama ada ia mendapat liputan berita atau tidak kerana inilah hakikat hidup di bawah penjajahan. Dan begitulah kehidupan yang dipenuhi keperitan, kesengsaraan dan penghinaan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, ketika bertemu dengan pasangan berbangsa India dan beragama Hindu yang berasal dari Seremban ketika diajukan soalan ini, isterinya yang bernama Maniam berkata:

 

“Saya selalu baca di surat khabar. Nampak selalu ‘gaduh-gaduh’. Mereka ditindas oleh Israel. Yang sangat kasihannya budak-budak kecil dan orang tua. Saya tengok sangat sedih. Nak baca sampai habis pun tak sampai hati,” ujarnya sebak seakan bertakung air mata di kelopak matanya.

 

Beliau seakan tidak mampu melanjutkan bicaranya namun digagahnya juga meneruskan memberi jawapan untuk soalan selanjutnya.

 

“Saya tak tahu nak kata apa. Apa yang pasti, selalu di akhbar menampakkan ‘mereka’ gaduh-gaduh, banyak nampak darah dan menggambarkan kesakitan dan tangisan. Bila nampak begitu, saya tidak mampu meneruskan pembacaan, hati saya sangat sedih.”

 

Besarlah harapan daripada seorang wanita yang berusia 65 tahun ini agar kedamaian negara itu segera dikembalikan.

 

Big peaceful is better. Itu yang saya suka dan ingin saksikan agar ‘mereka’ tak gaduh-gaduh lagi.”

 

Dalam pada itu, penulis berkesempatan bertanya kepada suaminya yang bernama Subramaniam yang berasal dari Perak, beliau berkata:

 

“Palestin adalah sebuah negara yang ada masalah pergaduhan yang telah berlangsung beberapa lama, yang dilakukan Israel. Namun sehingga kini, belum selesai lagi. Semua ini saya ketahui melalui surat khabar.”

 

Penulis merasa kagum dengan jawapan yang diberikan oleh seorang’uncle’ ini yang sering mengikuti perkembangan isu Palestin melalui berita di akhbar. Besarlah harapannya agar mereka (yang bergaduh itu) dapat segera berdamai. Duduk dan berbincang, selesaikan masalah yang dihadapi, bukan membiarkan ia berlarutan.

 

“Ini isu semua orang, tak kira agama dan warna kulit. Mereka patut hentikan pergaduhan tersebut supaya segera mencapai kedamaian,” demikian tegasnya ketika mengakhiri perbualan.

 

Berlainan agama dan bangsa tidak membataskan seseorang itu menterjemahkan rasanya terhadap Palestin. Kerana isu yang terjadi ini, sebenarnya adalah isu kemanusiaan yang mana, sekalian kita perlu mengambil tahu dan peduli dengan apa yang terjadi ke atas negara Palestin itu.

 

Ketika berpeluang bertemu seorang pemuda Cina dan bertanyakan soalan-soalan ini kepadanya, beliau menjawabnya dengan penuh keyakinan seakan selalu mengikuti perkembangan dan isu yang berlaku terhadap negara Palestin ini:

 

“Sebuah negara yang ditindas oleh sebuah negara lainnya iaitu Israel. Dan yang sangat kasihannya orang Palestin, tanahnya dirampas, rakyatnya diperlakukan sangat kejam.”

 

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar orang Palestin ini medapatkan kembali hak asasi manusia yang sepatutnya mereka dapat, pada masa yang terdekat ini.

 

“Dan saya mengharapkan agar mereka boleh mendapat semula tanah air mereka yang sepatutnya. Selain itu, saya mengharapkan agar anak-anak atau generasi akan datang dapat hidup dengan aman dan damai. Tiada lagi kezaliman seperti kini.”

 

Beliau yang berasal dari Melaka ini menyatakan sokongan terhadap Palestin dan menyatakan ia bukanlah hanya isu umat Islam, tetapi semua orang perlu mengetahuinya.

 

“Saya berharap agar rakyat Palestin di sana tetap teguh, tidak berputus asa, kerana perkara yang betul jangan takut untuk diperjuangkan.”

 

Begitulah suara yang dizahirkannya. Bukan mudah untuk mengungkapkan demikian jika kita sendiri tidak mengikuti perkembangan yang berlaku di Palestin itu.

 

Pelbagai sudut pandang yang diberikan masyarakat apabila ditanya mengenai Palestin. Namun, baru-baru ini, Presiden Donald Trump mengadakan pelan ‘damai’ yang dilaungkan sebagai ‘Deal of the Century’ (Tawaran Terhebat Abad Ini) bersama Israel.

 

Dan sepatutnya ia menjadi tawaran terburuk abad ini kerana ia berat sebelah, menguntungkan negara haram Israel dan dibuat tanpa persetujuan dan kehadiran seorang pun wakil dari Palestin.

 

Sejauh mana hal ini disedari kita sebagai Rakyat Malaysia? Namun, melalui temu bual yang diadakan ini, paling tidak melegakan penulis bahawa Palestin itu berjuang bukan sendiri walaupun di belakang Israel itu terdapat kuasa besar dunia iatu Amerika Syarikat, sebagaimana yang dikatakan Mohd Khalid.

 

“Palestin telah dijajah oleh Israel, sudah lama berlarutan. Dan rakyatnya dizalimi, dikenakan pelbagai practice of apartheid iaitu didiskriminasi, dilayan tidak seperti manusia selayaknya, ditindas, hingga menyebabkan pihak-pihak antarabangsa mengecam tindakan Israel tersebut.”

 

Beliau berkata, namun Israel mendapat sokongan daripada kuasa besar dunia, jadi lagi ligat ia buat macam-macam hingga menyebabkan sehingga hari ini, tidak selesai lagi isu tentang Palestin.

 

“Saya mengharapkan mereka mendapat pembelaan yang sepatutnya, yang sewajarnya daripada kita rakyat Malaysia dan warga dunia sebab jika kita tidak memberikan sokongan kepada mereka, siapalah mereka nak berdepan dengan Israel dan kuasa besar dunia seperti amerika yang berada di belakang mereka.

 

“Jadi, kita perlu menyokong mereka dengan sedaya upaya kita, sama ada daripada sudut kewangan, sokongan politik dan sebagainya supaya suatu hari nanti kita melihat Palestin yang bebas dan merdeka.”

 

Bersungguh-sungguh beliau menyampaikannya, ketika ditanya soalan mengenai harapannya. Tanpa berselindung apalagi gentar, beliau menzahirkan rasa yang terpendam mengenai Palestin.

 

“Saya mendoakan mereka dapat terus berjuang, sabar dengan perjuangan yang dilalui, insya-Allah kami di Malaysia akan berusaha menyokong sehabis baik, atas kapasiti kami ke atas perjuangan rakyat Palestin. Dan insya-Allah, Palestin akan mendapat kejayaan akhirnya.”

 

Demikianlah, apabila ditanya kenapa ingatan kita perlu ada untuk Palestin, kerana sesungguhnya Palestin adalah tempat tinggal para Nabi. Nabi Ibrahim berhijrah ke Palestin. Nabi Luth alaihissalam diselamatkan oleh Allah Subahnahuwataala dari azab yang turun pada kaumnya menuju bumi yang diberkati iaitu bumi Palestin.

 

Selain itu, Nabi Daud alaihissalam tinggal di Palestin dan membangunkan mihrabnya dan Nabi Sulaiman alaihissalam memerintah seluruh dunia dari Palestin, kisahnya yang popular dengan semut dan berkata: “Hai semut masuklah ke tempat tinggal kalian,” tempat yang disebut dengan wadi an-naml (lembah semut) di Palestin, iaitu berdekatan ‘Asqalan.

 

Perlu diketahui juga, di Palestin juga terdapat Mihrab Zakaria alaihissalam, sebagaimana Musa alaihissalam meminta kaumnya memasuki ‘Bumi Muqaddasah’, ia menamakan dengan al-Muqaddasah, iaitu suci dari syirik, dan dijadikan tempat tinggal para Nabi.

 

Hakikatnya, banyak mukjizat yang terjadi di dalamnya di antaranya kelahiran Nabi Isa dari ibunya Maryam, seorang gadis kecil tanpa suami, dan Allah mengangkatnya ketika Bani Israil sepakat untuk membunuhnya. Di Palestin, Maryam alaihassalam menggoyangkan sepohon batang kurma setelah kelahiran bayinya dalam keadaan paling lemah.

 

Tidak terkecuali, termasuk tanda-tanda akhir zaman di Palestin, Nabi Isa akan turun di menara putih, dan akan membunuh Dajjal di gerbang Lod Palestin, dan itu adalah tanah Mahsyar dan Mansyar, dan Yakjuj dan Makjuj akan dibunuh di bumi Palestin pada akhir zaman kelak.

 

Masjid di Palestin termaktubnya kiblat pertama setelah diperintahkan solat dan ketika Nabi berhijrah ke Madinah, malaikat Jibril turun dan baginda sedang menunaikan solat.

 

Jibril alaihissalam memerintahkan untuk mengubah kiblat dari Baitul Maqdis ke Makkah al-Mukarramah lalu masjid tempat baginda solat itu dinamakan masjid Dzulqiblatain (dua kiblat).

 

Selain itu, ketika Rasulullah melakukan Israk, baginda pergi ke Baitulmaqdis sebelum Mikraj ke langit. Inilah terminal pertama baginda berhenti setelah berangkat dari Makkah menuju ke langit dan baginda menjadi imam solat para Nabi kerana tempat ini menjadi makam para Nabi.

 

Abu Dzar radhiyallahuanhu pernah bertanya kepada Rasulullah: “Masjid mana yang pertama diletakkan oleh Allah di muka bumi?” Baginda menjawab, “Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi, “Kemudian masjid mana?” Baginda menjawab, “Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak antara keduanya?” Baginda menjawab, “40 tahun.” Kemudian baginda bersabda, “Di mana pun solat menjumpaimu, maka solatlah dan bumi bagi kalian adalah masjid.”

 

Siapa pun kita, apa pun bangsa dan agama yang dianuti, isu berkaitan Palestin ini telah sangat jelas bahawa ia adalah isu kemanusiaan. Bukan tertakluk pada umat Islam sahaja yang perlu peka dan peduli, tetapi merentasi semuanya. Kepedulian kita semua inilah perlu diterjemahkan agar dapat menggerunkan kuasa besar dunia yang semakin hari, semakin menggila dengan rakusnya.

 

Kita semua bersama Palestin. Teruskan doa dan usaha untuk merealisasikan ia mendapatkan kembali negaranya itu. Big peaceful is better. Kemerdekaan untuk Palestin, bersama kita ungkapkan.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia