Pakaian: Jangan buat main-main

Islam ini agama yang mudah saja. Pakailah apa pun, asalkan tutup aurat sempurna. Pakailah apa pun asalkan tidak menyerupai sesuatu kaum yang Allah murkai. 

 

Saya tak nak sebut tentang spesifikasi tutup aurat. Rasanya semua pun tahu untuk perempuan, semua kena tutup kecuali muka dan tapak tangan. 

 

Kali ini, saya nak sebut tentang aspek yang satu lagi, tentang pemakaian yang menyerupai kaum yang Allah murkai, tentang tasyabbuh

 

Baik, saya nak kongsi tentang dua cerita. 

 

Cerita pertama

 

Masa salah satu program yang saya anjurkan, pernah sekali pasukan minta adakan tema fantasi. Maka meriahlah dewan dengan ratusan kostum pakaian. Yang pakai macam Cinderella, Snow White, Harry Porter, Hang Tuah… ya meriah!

 

Saya sendiri pakai serba putih ala-ala Puteri Gunung Ledang. Suka-suka saja semuanya, sekadar meraikan kecenderungan kanak-kanak yang mudah tertarik pada dunia warna-warni dan fantasi. Teruja! 

 

Yalah, bukan selalu dapat berpakaian seperti ini. Barangkali seumur hidup, sekali. 

 

Saya lihat beberapa orang sahabat memakai pakaian ahli sihir. Saya telan air liur, mula rasa tidak sedap hati. Mereka sedang teruja nak bergembira, maka saya diam saja kerana tidak mahu rosakkan mood mereka dengan teguran saya. 

 

Namun kemudian, saya terkejut apabila pemenang bagi kategori kostum paling menarik jatuh pada yang pakai pakaian ahli sihir. Allah! Apa dah jadi pada juri? 

 

Memang pakaiannya menarik, mekapnya juga real, tampak garang dan jahat. Sesuailah dengan watak yang dibawanya itu. Tapi…

 

“Kenapa bagi ahli sihir menang? Tahu tak sihir adalah sesuatu yang Allah haramkan? Kenapa angkat watak jahat sebagai pemenang? Kita tak boleh kawal pakaian orang lain tapi kita boleh pilih siapa yang boleh kita jadikan contoh. Kenapa pilih ahli sihir?!” 

 

Ya, memang ketika diumumkan pemenang, saya senyum saja sampaikan hadiah tapi hati saya berdarah! Saya diam kerana tidak mahu merosakkan mood ceria majlis tapi malam itu ketika mesyuarat post-mortem AJK, saya terus suarakan rasa tak puas hati saya. 

 

“Bonda, yang pakai kostum ahli sihir tu, al-hafizah tau.” 

 

Allah… lagi dalam luka saya! 

 

Ternyata ilmu agama, al-Quran 30 juzuk dalam kepala pun kadang tidak mampu membantu kita mendapatkan sensitiviti ini. Lalu, sejarah silam terimbas kembali. 

 

Cerita kedua

 

Cerita kedua tentang zaman remaja saya yang ‘nanar’. Walaupun lahir daripada keluarga yang baik-baik, walaupun bersekolah di salah sebuah sekolah menengah agama berprestij, tapi saya remaja yang liar; jean, T-shirt, cap

 

Kadang keluar rumah masih bertudung, sebab abah ada di rumah. Tapi naik saja bas, terus cabut tudung, sumbat dalam beg, berpeleseran di bandar dengan kawan-kawan. Huha huha tanpa tujuan.

 

Antara tempat yang kami suka pergi, kedai aksesori; beli cincin, rantai, earing, semua yang melambangkan ganas seperti anarchy, tengkorak. Rantai bertali hitam itu trademark saya. Entah berapa kali mak marah saya pakai, saya pekakkan telinga saja. 

 

Namun, satu detik yang masih saya ingat yang hingga kini mendatangkan kesal, saya pernah pegang satu loket berbentuk salib. Lama saya pegang, lama saya pandang. Terdetik hati nak beli, terasa nak pakai!

 

Astaghfirullah, sampai macam tu sekali! Semoga Allah ampuni segala lintasan hati saya. Tapi nak bagitau, waktu saya nak beli tu bukan niat nak tukar agama, langsung tidak, waliyazubillah

 

Saya cuma nak pakai sebab saya fikir ia tampak ganas dan liar. Begitulah saya ketika itu, dengan imej bad girl saya, dengan kebodohan saya ketika itu! Dan satu-satunya hal yang buat saya tak jadi beli ketika itu ialah sebab teringatkan seorang sepupu lelaki saya yang juga bersekolah agama macam saya.

 

Tapi dia baik, gaya macam ustaz dan saya segan dengan dia. Saya segan kalau dia nampak saya pakai rantai berloket salib itu. Segan kalau dia marah. 

 

Ya tuan puan, saya tak jadi pakai bukan sebab nak jaga agama, tapi sebab segan dengan sepupu saja! Nak bagitau, betapa ketika itu tiada langsung sensitiviti saya tentang agama. Saya tak fikir langsung betapa pemakaian boleh merosakkan akidah saya! Allah… Allah. 

 

Saya menulis ini dengan rasa sebal pada kejahilan masa lampau saya. Namun saya juga menulis ini dengan rasa penuh simpati pada orang yang juga senasib dengan saya, yang tiada sensitiviti dalam menjaga kesucian hidup beragama.

 

Saya jadi simpati pada al-hafizah yang memilih kostum ahli sihir. Saya jadi simpati pada sahabat-sahabat yang seronok memakai pakaian Santa Claus. Saya jadi simpati pada artis yang berpakaian macam Firaun dalam video klip lagunya. 

 

Saya percaya, situasi mereka sama seperti yang saya pernah rasa, tiada niat menukar agama pun; suka-suka saja, jahil, degil. Dan mereka perlu dididik dengan cara yang baik. Didoakan hidayah buat mereka, bukan dikecam seolah-olah untuk mereka tiada lagi syurga! 

 

Maka, inilah saya dengan rendah diri memohon agar kita sama-sama ambil pengajaran dan peringatan. Bukan semua yang buat salah, yang buat sesuatu menyalahi akidah itu kerana mereka maksudkan begitu. Namun, ilmu mereka kurang, sensitiviti mereka terhadap memelihara akidah masih tiada. 

 

Dan tetaplah saya perlu ingatkan di sini agar tuan puan tidak terjebak dengan sesuatu kesalahan yang saya sendiri hampir lakukan. Tetaplah perlu diingatkan bahawa semua watak-watak yang Allah murkai, jika dipakai ia menjadi tasyabbuh iaitu menyerupai kaum tersebut. 

 

Hukumnya boleh jatuh kufur sekiranya disertai dengan iktikad atau kepercayaan. Bahkan, sekalipun jika dipakai secara ‘suka-suka’ tanpa niat menukar agama, tetap jatuh haram dan hukumnya berdosa!

 

Sensitiviti

 

Tasyabbuh adalah satu hal yang masih kurang sensitivitinya dalam masyarakat kita. Sebab itu, ada yang tak kisah pakai kostum Santa Claus, bangga bergambar dengan pokok Krismas bergantungan hadiah, tak kekok bagi anak pakai cekak rambut bertanduk syaitan. 

 

Padahal semua itu adalah bagai satu pengiktirafan pada sesuatu yang Allah murkai. Allahu Rabbi! 

 

Semoga Allah ampuni dosa-dosa saya dan mereka semua. Semoga Allah selamatkan kita daripada menyerupai ahli maksiat dan yang derhaka kepada Allah. Pesan pada kawan-kawan, pada anak-anak, berhati-hatilah. Nak suka-suka jangan sampai melorongkan kita ke neraka, kerana kita takkan pernah sanggup menanggung azabnya! 

 

Sallimna Ya Allah

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia