SERI KEMBANGAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau persiapan terakhir misi bantuan Ops Ihsan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.
Seri Paduka diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa melakukan pemeriksaan bantuan berkenaan yang dikumpulkan di gudang penyimpanan di terminal berkenaan.
Pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gabungan Ops Ihsan telah hadir dalam program tersebut. Turut bersama dalam majlis itu ialah Setiausaha Agung IKRAM, Hj Shahrul Aman Mohd Saari dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Hj Kamarul Zaman Shaharul Anwar.
Misi ini merupakan penghantaran kali ketiga yang akan diterbangkan pada 2.30 pagi esok dan dijangka akan sampai ke lapangan terbang El Arish di timur Mesir pada 8.50 pagi (waktu tempatan).
Ops Ihsan kali ini berjaya mengumpulkan 60 tan barangan keperluan rakyat Gaza yang terdiri daripada ubat-ubatan, selimut, tilam, barangan makanan dan juga barang keperluan wanita serta bayi.
Usaha ini merupakan gabungan usaha 63 badan bukan kerajaan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas MAlaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), rakan logistik, rakan strategik dan rakan antrabangsa.
Sejak dua bulan pelancaran Ops Ihsan, hampir 100 tan bantuan bekalan telah berjaya dikumpulkan. Aktiviti penyediaan kargo dan logitik kemanusiaan telah disediakan oleh sukarelawan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah.
Sukarelawan terlibat terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa mewakili pelbagai NGO seperti MyAqsa Defenders, MyCARE, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Kembara Kitchen.
Mereka juga terdiri daripada pihak di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, jabatan-jabatan kerajaan, orang perseorangan yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan rakyat Palestin yang bermastautin di Malaysia.
Semoga bantuan kemanusiaan in berjaya memasuki sempadan Rafah dan sampai pada rakyat Palestin di Gaza yang sangat memerlukannya pada ketika ini.