Noktahkan Penunggang Agama, Taasub Membabi Buta

Noktahkan Penunggang Agama, Taasub Membabi Buta | IKRAM

Salah satu daripada maqasid syariah adalah ‘hifzuddin’ atau memelihara agama. Menurut profesor Islam yang terkenal di Syria yang juga merupakan cendekiawan Islam khusus dalam bidang Perundangan Islam (Syariah) dan pendakwah di Masjid Badar di Dair Atiah, Dr Mustafa Wahbah al-Zuhaili, memelihara agama bermaksud memastikan kewujudan dan pelaksanaan ajarannya serta kekal selamanya.

Dengan kata lain, memelihara agama bermakna menjaga, menyelamatkan, melindungi, mengawal serta mengawasinya dengan cara melaksanakan syariat, di samping mempertahankannya daripada kebatilan dan kerosakan dengan cara mewajibkan jihad serta melarang murtad.

Konsep polariti dalam kepercayaan dan amalan agama memainkan peranan penting dalam usaha memelihara agama. Sebagai contoh balasan pahala-dosa, konsep tempat kehidupan abadi syurga-neraka dan konsep hukum halal-haram berperanan sebagai panduan dan peringatan kepada manusia mengenai hal-hal berkaitan agama.

Memelihara agama wajib dimulakan dengan memahami agama Islam daripada sumber yang asal iaitu al-Quran dan Sunah serta diajarkan oleh para ilmuwan yang bertakwa juga bertanggungjawab. Mereka tentunya sangat berhati-hati dan amanah terhadap ilmu yang diajarkan.

Namun kini dengan ledakan dunia digital, apabila maklumat berada di hujung jari, sebahagian besar manusia mengambil maklumat mengenai  agama daripada sumber-sumber selain ilmuan dan agamawan. 

Natijahnya, pelbagai pengalaman dan persepsi mengenai agama terbina dalam masyarakat yang adakalanya jauh menyimpang daripada ajaran sebenar. Apalagi jika pemahaman dan persepsi ini dicampur aduk dengan kepentingan ideologi politik  juga ketaasuban setempat.

Penunggang Agama?

Mutakhir ini, frasa berlawanan bagi memelihara agama iaitu menunggang agama sering digunakan oleh netizen secara berleluasa. Dengan bahasa mudahnya, penunggang agama ialah mereka yang menyalahgunakan atau membuat tafsiran dan dalil terhadap sesuatu ilmu agama untuk memperoleh keuntungan diri dan kelompok. Apa sahaja yang ada nilai komersial dan memberikan keuntungan kelompok akan diolah dengan menggunakan dalil dan nama agama.

Apa yang pasti, frasa penunggang agama membawa maksud negatif iaitu mempergunakan agama demi kepentingan sendiri dan kelompok untuk mencapai tujuan tertentu. Atas nama agama, sesuatu perbuatan kejahatan atau kesalahan yang dilakukan akan ditutup atau disembunyikan menggunakan dalil dan nama agama. Sebagai contohnya, pemberian wang rasuah disusuli balasan sokongan atau undian dalam pilihan raya boleh ditutup atas nama sedekah. 

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Munif Zarirruddin Fikri Nordin berkata, secara tersuratnya, menunggang bererti menaiki dan duduk bercelapak di atas sesuatu, seperti basikal, kuda dan kenderaan lain. Menunggang juga mempunyai makna tersirat iaitu mempergunakan sesuatu untuk kepentingan sendiri bagi mencapai maksud tertentu.

“Memelihara agama bukan sekadar dipamerkan pada cara berpakaian, panggilan, gelaran dan nama organisasi, tetapi pada tutur kata dan tingkah laku. Berpakaian seperti mengenakan serban dan jubah berasaskan sunah sambil melakukan pembohongan atas alasan bohong sunat ialah perbuatan menunggang agama.”

Tegasnya lagi, kesan perbuatan menunggang agama bukan hanya mencemarkan agama, bahkan mengelirukan, menimbulkan salah faham serta defisit kepercayaan (trust deficit) terhadap agama dan agamawan dalam kalangan masyarakat.

“Lebih memburukkan keadaan adalah apabila agamawan yang sepatutnya berakhlak mulia dan bertakwa  menunjukkan akhlak yang sebaliknya dengan menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dalam ceramah dan kuliah. Agamawan seperti ini berada jauh daripada kriteria “ulama penyuluh umat” dan pembawa kebenaran.” 

Hipokrasi yang nyata

Perlu diketahui bahawa perbuatan menunggang agama umpama memakai topeng menawan bagi menyembunyikan wajah sebenar pelakunya yang rakus dan sanggup menggunakan agama demi mencapai matlamat tertentu.

Selain perpecahan dan permusuhan, implikasi lain akibat perbuatan menunggang agama ialah wujudnya pengikut yang taasub hingga sanggup melakukan apa sahaja tindakan untuk membela perkumpulan yang mereka ikuti tanpa mencari atau mengesahkan sesuatu perkara. Dalam perkataan lain, mereka lebih banyak “tibaiyyun” daripada “tabayyun”. 

Hakikatnya, situasi ini perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh dan segera bagi mengelakkan salah faham dan kebencian serta hilang keyakinan terhadap ahli agama yang baik dan benar serta jujur dalam usaha mereka menyampaikan agama Allah.

Pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan pemeliharaan kesucian agama seperti yang dilakukan dalam pembanterasan gerakan ajaran sesat bagi membendung fenomena ini.

Perbuatan menggunakan dan menyelewengkan ayat-ayat Allah dan hadis Nabi SAW bukan pada tempatnya atau dengan sesuka hatinya adalah tidak wajar dan perlu diperbetulkan.

Oleh yang demikian, masyarakat seharusnya menolak gejala yang menormalisasikan penggunaan agama dengan cara yang tidak benar ini. Tentunya ia bukan sesuatu yang mudah. Ia perlu dimulakan sekarang agar isu menunggang agama dapat dinoktahkan dengan memberikan kesedaran dan kefahaman bagi memperbaiki situasi yang semakin menular ini.

Pelampau dalam beragama

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Open University Malaysia (OUM), Dr Hamidah Mat berkata, syariah ialah satu peraturan dan panduan hidup yang mulia. 

“Kedudukannya tinggi dan sebarang usaha untuk menghuraikan dan menerangkan setiap perinciannya perlulah diperhalusi.”

Menurutnya, para ilmuan yang sebenar mempunyai metode dan tatacara dalam berinteraksi dengan sumber dan dalil. Pendapat yang dikemukakan adalah berfakta dan berhujah bukti. 

“Sebarang penggunaan hujah agama yang tidak berasas, apalagi untuk kepentingan diri dan memudaratkan adalah sebuah jenayah. Secara asasnya, jenayah ialah tindakan yang boleh memberikan masalah atau kesusahan kepada orang lain.”

Jelas beliau, apalagi jika kesusahan tersebut mengakibatkan kekusutan konsep dan salah faham terhadap agama itu sendiri.

“Sebarang tindakan yang boleh menyebabkan salah faham terhadap agama boleh dianggap sebagai jenayah kepada ilmu itu sendiri. Ia perlulah dibanteras pada pelbagai peringkat masyarakat,” tegas Hamidah. Oleh yang demikian, bagi memperbetulkan sentimen yang telah berleluasa dalam masyarakat ini, golongan ilmuwan serta mereka yang berautoriti sewajarnya melaksanakan peranan dan usaha bersungguh-sungguh dalam memperbaiki situasi yang kerap terjadi kini.

Tidak dinafikan, adakalanya amat keterlaluan bagi sebahagian mereka mengguna pakai ayat-ayat al-Quran serta perkataan-perkataan tertentu untuk membenarkan apa yang dilakukan, walaupun hakikatnya ia adalah sebaliknya, demi untuk kepentingan diri mahupun perkumpulan yang disertainya. 

Tidak kurang juga, ada yang jenis setiap sesuatu atau isu dijawab dan diulas secara pukul rata tanpa mengambil kira hakikat sebenarnya apatah lagi yang seronok membabi buta melabelkan orang lain dengan sesukanya. 

Akhir-akhir ini kerap kita baca netizen mengguna pakai kata “walaun” atau “walanon” bagi menggelarkan puak-puak yang tidak sealiran atau tidak sependapat dengan mereka hanya untuk kepentingan diri mahupun perkumpulan masing-masing. Situasi sebegini seharusnya dihentikan.

Menurut Ibnu Manzur, Lisanul Arab, jilid 3, (m.s 985 – 986) dan Alfairuz Abadi, Alqamusul Muhit, jilid 4, (m.s 294, cet. 3), pengertian al-Wala’ dari segi bahasa berasal daripada perkataan ولى- يلى- وليا ولاية ولاء yang membawa maksud dekat, kasih, mengikut, memberi pertolongan atau memberi perlindungan.

Dari segi istilahnya, tidak ada satu kalimah dalam bahasa Melayu yang dapat mengungkapkan secara keseluruhan makna wala’. Al-Wala’ biasanya ditakrifkan sebagai meletakkan kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pemimpin yang disertakan dengan sokongan dan bantuan sama ada berbentuk nyata atau tidak. Ia adalah satu konsep penting dalam Islam dan ada kaitan dengan akidah. Ia perlu dibina dengan ilmu serta iman yang benar.

Namun, acap kali perkataan yang ada dalam al-Quran ini sering disalah guna apalagi mengikut sesukanya. Fenomena yang tidak sihat ini perlulah dihentikan agar kalimah agama tidak dipermainkan atau dipersendakan.

Peranan mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang benar, khususnya para asatizah yang kompeten untuk menangkis segala ketidakbenaran itu sangat diperlukan.

Sedarkah kita semua bahawa perkataan tersebut adalah daripada al-Quran? Namun, amat malang sekali ia dipakai sebagai ayat sarkastik, menyindir, mencuit, memperlekeh dan yang sama maksud dengannya bagi ‘menembak’ pihak lawan atau mereka yang tidak sependapat dengannya.

Kebodohan yang menghancurkan

Dalam kitab Faishilut Tafriqah bainal Islam wal Zindiqah, Imam Ghazali menyebutkan:

لِأَجْلِ الجُهَّالِ كَثُرَ الخِلَافُ بَيْنَ النَّاسِ وَلوْ سَكَتَ مَنْ لَايَدْرِيْ لَقَلَّ الخِلَافُ بَيْنَ الخَلْقِ

“Kerana orang-orang dungu terjadilah banyak kontroversi antara manusia. Seandainya orang-orang yang bodoh berhenti berbicara, nescaya berkuranglah pertentangan antara sesama.”

Dalam era siber yang sangat terbuka ini, setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk meluahkan apa yang ada dalam fikirannya. Masalah timbul apabila semangat bersuara yang tinggi tidak selari dengan tahap ilmu dan kepakaran yang dimiliki.

Hal ini amat ketara bilamana isu semasa yang melibatkan pelbagai dimensi, aspek serta fiqahnya dianalisis dan diulas oleh golongan yang tidak memiliki keilmuan, kepakaran serta pengetahuan  serta maklumat sebenarnya. Maka lahirlah fatwa agama yang dikeluarkan oleh orang yang baru belajar agama dan mereka yang berasa serba tahu atas segala sesuatu bak kata Altimet, “Tujuh kali pergi usrah, sudah pandai tepis fatwa.”

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibidhah? Maka baginda SAW menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar.”

(Riwayat Ibn Majah, kitab al-Fitan, bab zaman yang dahsyat. No. Hadith: 4026)

Fenomena akhir zaman banyak sekali disebut dalam al-Quran dan hadis. Hal ini menjelaskan banyaknya cabaran terhadap keimanan kita yang kini melalui kehidupan semakin jauh daripada Rasulullah SAW.

Antara yang paling kerap ditemukan kebelakangan ini ialah kemunculan golongan Ruwaibidhah. Ruwaibidhah ialah kalimah bahasa Arab, iaitu rabidhah yang merujuk kepada individu lemah dan tenggelam dengan hal keduniaan.

Golongan ini kerap disebutkan dalam hadis, malah Rasulullah SAW mengaitkan Ruwaibidhah dengan zaman paling ditakuti. Jika ditelusuri hadis lain yang seumpama dengannya, kewujudan golongan Ruwaibidhah dikaitkan dengan tanda akhir zaman. Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila amanah disia-siakan, maka tunggu datangnya kiamat.” Lalu ada bertanya, “Bagaimana amanah itu disia-siakan?” Maka, Baginda menjawab: “Apabila suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (HR Bukhari)

Menurut Imam al-Ghazali, perselisihan di dunia ini dicetuskan oleh ketidakupayaan orang bodoh untuk berhenti bertindak balas terhadap perkara yang mereka tidak faham dan kuasai dengan baik.

Pelabelan agama yang longgar

Justeru, perlu disedari bahawa sebagai manusia, kita adalah makhluk yang mempunyai batas kemampuan. Menjadi pandai dalam segala-galanya adalah mustahil. Sebagai contoh, seseorang yang mahir dalam seni tidak semestinya mahir dalam bidang ekonomi; orang yang pandai berpolitik belum tentu pandai agama. Begitu juga sebaliknya. Jadi, apa yang diperlukan ialah kesedaran diri terhadap kapasiti dan kompetensi diri sendiri.

Bagi memperbetul sentimen yang berleluasa dalam masyarakat, golongan ilmuwan serta mereka yang berautoriti sewajarnya melaksanakan usaha mendidik masyarakat dengan kefahaman Islam yang sebenar.

Dalam hal ini, Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) Pendidikan Masyarakat IKRAM, Haji Roslan Mohamad berkata, situasi ini boleh dibendung dengan semua pihak yang bertanggungjawab dalam hal memelihara kesucian agama mengadakan aktiviti pendidikan masyarakat bersama-sama.

Tambahnya lagi, pendidikan masyarakat merupakan usaha untuk membina fikrah, mengislah sikap dan amalan masyarakat melalui penyebaran kefahaman yang sahih dan menerapkan nilai murni yang dilakukan secara terancang dan bersepadu, dengan harapan akan wujud “ummatan wasatan, khayra ummah”, penyebar rahmah Allah.

“Ini adalah tanggungjawab kita yakni menjaga agama. Ia adalah tugas kita semua umat Islam.”

Contohnya, perkataan wala’ adalah kalimah Allah yang ada kaitannya dengan akidah dan kalimah positif yang penuh dengan kasih sayang. Janganlah disalahgunakan. Sikap tidak bertanggungjawab menggunakan kalimah agama untuk melabelkan sesama umat Islam mesti dihentikan.

“Secara jelasnya, sifat yang merata sekarang ini adalah sifat taasub atau taklid membabi buta yang lahir daripada ketidakfahaman yang benar terhadap agama,” ujarnya.

Roslan turut menekankan peri pentingnya menjaga agama, kerana kalau bukan kita sebagai seorang Islam yang memeliharanya, siapa lagi?

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia