Nafkah Keluarga: Dalami Ilmu Secukupnya

Nafkah Keluarga: Dalami Ilmu Secukupnya | IKRAM

SERI KEMBANGAN – Seminar Nafkah Keluarga telah berlangsung pada Sabtu, 11 November di Ibu Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), membincangkan situasi kemelut institusi kekeluargaan yang semakin mengasak masyarakat masa kini. 

Program ini dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan bahawa perkahwinan adalah ibadah yang amat dituntut. “Ia bukan semata-mata memenuhi adat dan tuntutan kehidupan tetapi lebih daripada itu, ia menjadi tempat takungan kasih sayang, perasaan damai dan sejahtera,” tegas Mohd Na’im.

Mengulas lanjut, beliau menyebut  perkahwinan adalah pengiktirafan daripada Allah terhadap peranan golongan lelaki atau suami dan bapa terutama dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan kaum wanita.  

“Suami mestilah memahami akan hak yang wajib dilaksanakan terhadap isteri dan anak-anak seperti hak mahar, hak nafkah, hak komunikasi yang baik, hak memberi bimbingan yang lunak, hak harta sepencarian dan hak isteri untuk memberi pandangan.”

“Sebab itu, disarankan bakal-bakal suami mendapatkan ilmu kekeluargaan secukupnya sebelum mendirikan rumah tangga.”  Tambahnya lagi, pelajaran tersebut tidak pula berakhir dengan ijab dan qabul tetapi mestilah diteruskan sepanjang hayat.

Seminar Nafkah Keluarga diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga keharmonian masyarakat menerusi pemeliharaan sistem kekeluargaan yang merupakan nukleus terpenting dalam pembinaan masyarakat, seterusnya negara.

Menurut Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin, seminar ini memfokuskan untuk memberi pendedahan dan penerangan mengenai nafkah keluarga agar ia tidak lagi menjadi satu perkara yang diandaikan tanpa ilmu dan tidak timbul lagi pengabaian pihak suami atau bekas suami.

“Pun begitu, kami menyedari usaha ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak sama ada kerajaan dan agensinya, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan  untuk mencapai matlamat yang di hasratkan,” ujar beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Ir Hj Jamaludin Shamsudin menyatakan bahawa terlalu ramai yang terkesan dengan isu berkaitan nafkah sehingga menimbulkan kerisauan.

“Anak-anak terbuka kepada pelbagai risiko apabila nafkah tidak diuruskan dengan baik setelah perceraian kedua-dua ibu bapa.” 

Beliau menyebut, ada kes ibu yang mengambil alih tanggungjawab menafkahi keluarga apabila berlaku pengabaian daripada pihak bapa, terpaksa bekerja sepanjang hari hingga ke larut malam demi memenuhi tuntutan keluarga. 

Mengulas lanjut, Jamaludin menyatakan bahawa keadaan sedemikian terpaksa menyebabkan si ibu terpaksa berkompromi dalam urusan penjagaan anak-anak pada anak-anak yang lebih tua meskipun mereka juga adalah kanak-kanak.

Beliau menegaskan apabila isu nafkah tidak difahami dengan jelas oleh masyarakat umum, mudah berlaku pengabaian keluarga dan keadaan ini perlu ditangani dengan mengadakan seminar seperti ini bagi memastikan masalah nafkah dapat diselesaikan dan disebarkan kesedaran dalam semua lapisan masyarakat.

Seminar ini diteruskan dengan forum yang bertajuk ‘Nafkah Keluarga: Antara Abai dan Andai’ menampilkan tiga orang ahli panel iaitu, Prof Dr Najibah Mohd Zin, Tn Mohamad Zakian Dio dan En Md Noh Hj Saiman serta moderator Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Seterusnya pembentangan oleh pakar dalam isu tanggungjawab keluarga dibuat oleh Prof. Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Tn Muhammad Zaki Sukery dan Dr Norzitah Abdul Karim. 

Seminar Nafkah Keluarga turut dipancarkan secara maya, anjuran bersama IKRAM dan ACCIN dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA). 

Resolusi Seminar 

  1. Kita sepakati untuk membudayakan bahawa nafkah ini satu tanggungjawab keibubapaan yang dikongsi bersama dan pendedahan mengenai nafkah diberikan seawal mungkin dalam kehidupan.
  2. Kita sepakati bahawa peningkatan pengetahuan mengenai peruntukan undang-undang dalam hak pemberian nafkah serta makluman mengenai Garis Panduan Skala Pentaksiran Nafkah Anak perlu disebarkan secara meluas kepada pasangan yang akan dan sudah berkahwin melalui pelbagai kaedah yang berkesan. Antaranya melalui kursus praperkahwinan dan kursus yang diadakan khusus berkaitan rumah tangga dan perkahwinan.
  3. Kita menyokong cadangan agar pernyataan bayaran nafkah termasuk nilainya dimasukkan semasa akad nikah serta penubuhan skuad nafkah untuk memberi penerangan tentang isu ini.
  4. Kita mengalu-alukan inisiatif kerjasama antara agensi kerajaan dengan NGO dan badan-badan sukarela yang lain untuk meningkatkan usaha-usaha dan meningkatkan kesedaran tentang penyelesaian isu nafkah yang boleh dibuat melalui potongan gaji dan boleh membawa sehingga pengingkar boleh dipenjarakan.
  5. Kita sepakati bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Bahagian Sokongan Keluarga di bawah JKSM dalam menyediakan khidmat kaunseling, khidmat nasihat dan runding cara kepada keluarga harus disokong dan diteruskan.
  6. Kita bersetuju agar keluarga menetapkan matlamat kewangan dan menyediakan perancangan kewangan berdasarkan kemampuan dan bersih daripada riba serta menyediakan Deklarasi Harta Sepencarian. 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia