Mulianya Tugas Guru: Peranan dan Kelebihannya

Mulianya Tugas Guru: Peranan dan Kelebihannya | IKRAM

Kehidupan manusia ini tidak dapat dipisahkan daripada kepentingan mencari ilmu. Manusia hidup di atas dunia dengan ilmu.

Untuk mencapai sesuatu ilmu, manusia akan memperolehnya melalui pengajaran yang disampaikan oleh guru. Telah menjadi fitrah manusia untuk belajar dalam kehidupan ini.

Oleh kerana itu, apabila Allah SWT menurunkan ayat al-Quran yang pertama, kita dapat melihat bagaimana Allah menyatakan bahawa Allahlah Tuhan yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan dan mengajar manusia tentang apa yang tidak diketahui sebelumnya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-‘Alaq ayat 1-5 yang bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Dengan mengambil faham maksud dan inti pati terpenting ayat ini, jelaslah bahawasanya tugas menjadi seorang pengajar, guru, pensyarah atau apa sahaja di atas nama mengajar merupakan suatu tugas yang sangat dimuliakan dalam kehidupan manusia.

Malah tanpa ilmu pengetahuan, pastinya manusia tidak boleh meneruskan kehidupan ini dengan normal. Dengan itu, ilmu tidak mungkin dapat disebarkan tanpa adanya guru yang mengajar dan menyampaikannya kepada manusia. 

Seorang guru pula tidak boleh menyampaikan ilmu sebagai seorang guru melainkan dirinya belajar pula dengan gurunya. Demikianlah pentingnya rantaian guru yang memberikan kesinambungan rantaian ilmu di dunia ini.

Ketika kita berbicara tentang tugas dan peranan seorang guru, baginda Nabi SAW juga telah menyifatkan diri baginda sebagai seorang guru. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadis riwayat Muslim (1478), sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud:

“Allah SWT tidak menghantar aku untuk bersikap keras dan menyusahkan orang lain, tetapi Allah menghantar aku sebagai seorang guru dan memudahcarakan.”

Oleh itu, kita dapati bahawa sesungguhnya baginda Nabi SAW merupakan seorang guru yang maha besar dalam kalangan manusia kerana baginda telah menjadi guru yang menyampaikan ilmu kepada seluruh manusia, menunjuki jalan yang lurus bagi membolehkan manusia berjaya di dunia dan akhirat. 

Demikian juga boleh kita katakan bahawa seorang guru itu telah memainkan peranan yang begitu besar dalam kehidupan manusia. Peranan besar itu ialah kerana sebahagian peranan Nabi untuk mengajar umat telah dimainkan dan disambung oleh mereka yang bergelar guru.

Dalam sebuah syair seorang tokoh penyair Arab terkenal iaitu Ahmad Syauqi, beliau berkata:

“Bangunlah untuk guru, berikan untuknya penghormatan. 

Hampirlah seorang guru itu menjadi seorang rasul. 

Adakah engkau tahu sesiapa yang lebih mulia dan terhormat daripada seorang yang membina dan menghidupkan jiwa dan akal?”

Demikianlah pujian yang ditujukan kepada mereka yang bergelar guru. Apa yang didendangkan oleh penyair terkenal Ahmad Syauqi ini melambangkan kepada kita kemuliaan dan kedudukan yang istimewa seorang guru.

Warga pendidik atas pelbagai nama gelaran – guru, cikgu, ustaz, ustazah, pensyarah – dan dalam pelbagai bidang pengajaran yang telah “mencetak” warga manusia yang berilmu sepatutnya berasa kagum dengan tugasnya yang sangat berjasa dalam kehidupan.

Walau barangkali pekerjaan guru itu tidak menjanjikan pendapatan yang besar, tidak memberikannya kemewahan dan kekayaan harta yang melimpah ruah, namun tidak ada tugas yang lebih mulia selain tugas guru yang menyemai ilmu kepada umat manusia.

Terkadang dalam kehidupan ini, sebahagian manusia berlumba-lumba melakukan pekerjaan yang boleh menjadikan dirinya diingati orang ramai. 

Namun bagi mereka yang bergelar guru, sekalipun tidak terlintas di benak hati mereka untuk meminta diri mereka diingati, mereka tetap akan diingati sepanjang hayat bahkan tetap akan disebut sebagai “cikgu” walau bertemu di mana-mana jua.

Demikian juga seorang guru itu bukan sahaja diingati dan disebut-sebut oleh kalangan manusia sahaja bahkan seluruh alam juga berinteraksi kerana seorang guru. Hal Ini sepertimana yang telah dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi (2685) daripada Abu Umamah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT, para malaikat dan semua penduduk di langit dan bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.”

Hadis ini dengan jelas menyatakan bahawa seluruh alam hatta semut yang berada di dalam tanah pun akan mendoakan kebaikan buat para guru yang telah mengajarkan kebaikan dalam kehidupan manusia.

Berdasarkan hadis ini, Nabi SAW tidak menyebut mereka yang mengajar agama sahaja tetapi apa sahaja yang diajarkan yang telah memberi kebaikan kepada kehidupan manusia, maka seluruh alam dan seisi dunia ini mendoakannya atas kebaikan mengajar tersebut.

Betapa hebat dan mulianya seorang guru yang tanpa kita sedari hari-hari mereka mengajar diiringi doa oleh seluruh makhluk termasuklah para malaikat, makhluk yang paling taat kepada Allah.

Hakikatnya, pekerjaan guru bukanlah suatu pekerjaan yang boleh dipandang lekeh dan tidak hebat.

Biarpun kadangkala pandangan dunia yang materialistik ini telah membuatkan masyarakat merasakan pekerjaan guru ini sebagai tidak ada kedudukan hebat, malah mungkin ada dalam kalangan kita yang malu-malu untuk mengaku sebagai seorang guru jika hendak dibandingkan dengan pekerjaan lain yang nampak hebat, namun percayalah bahawa guru itu lebih hebat dan mulia kerjanya.

Apa yang kita dapat lihat hari ini, seorang perdana menteri yang hebat dengan pidatonya, seorang peguam yang bijak menyusun tuturnya atau seorang tukang masak yang sedap masakannya, semuanya bermula daripada jasa dan pengorbanan seorang guru.

Demikanlah jasa guru. Sememangnya mereka ini bukanlah pakar yang membina bangunan, namun jangan kita lupa bahawa mereka membina akal fikiran manusia, mencorak dan membentuk pemikiran, membangunkan manusia yang bermaruah dan punya jati diri serta peribadi yang indah.

Membina kemenjadian manusia lebih mustahak dan penting berbanding sibuk membina bangunan pencakar langit yang hanya dikagumi di dunia.

Oleh itu, kepada semua warga pendidik, apa yang tinggal kepada kita ialah keikhlasan dalam menyampaikan ilmu. 

Mungkin orang kaya boleh memberikan wang untuk memenuhi sehari dua keperluan si miskin, namun seorang guru yang ikhlas memberikan ilmu, dan dengan ilmu itu si miskin ini memanfaatkan ilmu tersebut untuk mencari wang dan dengan wang itu dia dapat mengubah nasib hidupnya.

Ia hanya bermula dengan sebuah ilmu yang disampaikan oleh seorang guru yang ikhlas. Semoga Allah memberkati hidup kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia