Martabat guru di sisi Islam

Martabat Guru Di Sisi Islam

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat, dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Mujadalah: 11)

Ayat ini menerangkan kedudukan guru yang sangat tinggi, guru bukanlah semata-mata sebuah profesion, tetapi mereka menanggung beban yang besar dalam menyebarkan nilai ilmu yang bermanfaat bagi mengeluarkan seseorang dari kegelapan kepada cahaya.

Ilmu merupakan suatu khazanah yang sangat berharga, kerana ilmu mengeluarkan seseorang dari kegelapan kejahilan kepada cahaya yang membawa kepada peradaban sesuatu masyarakat.

Sinonim dengan ilmu adalah guru, darinya kita mula mengenal huruf sehingga mendapat ilmu yang sangat bermanfaat dan akhirnya menjadi seorang yang berguna.

Semenjak dunia dilanda wabak Covid-19, institusi pendidikan antara institusi yang terkesan dan terjejas, sekolah, universiti dan tempat pembelajaran yang lain terpaksa ditutup menyebabkan sistem pembelajaran terhenti seketika.

Cabaran guru berterusan

Menyedari hakikat ini, para guru perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu, maka cabaran guru semakin mencabar dalam era pandemik yang sudah pun mencabar ini.

Tugas guru perlu diteruskan demi kebaikan anak bangsa walaupun perlu bekerja lebih keras sebelum ini dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diperkenalkan.

Ini  sekali gus membawa cabaran yang baru buat para guru, cabaran dalam mengadaptasi kemahiran digital dan Internet, lebih-lebih lagi mereka yang berada di kawasan pedalaman dan murid yang tidak berkemampuan untuk memiliki gajet atau peranti.

Semasa sekolah di seluruh negara telah dibuka secara berperingkat mulai Julai 2021, cabaran lain pula perlu diharungi dalam kebiasaan baharu ‘the new norm’ dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), perubahan seperti penjarakan fizikal sepanjang berada di sekolah, dalam bilik darjah, pejabat, mengamalkan budaya hidup yang sihat dan menitikberatkan aspek kebersihan.

Tugas guru-guru turut memerlukan perubahan yang drastik di luar jangkaan pemikiran biasa apabila berhadapan dengan situasi baharu yang tidak dijangkakan ini. Guru perlu datang lebih awal ke sekolah demi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) berjalan lancar seperti memastikan suhu yang normal, penjarakan fizikal dan lain-lain.

Ini semua sudah pasti mewujudkan cabaran besar dan baharu yang harus didepani oleh setiap guru. Perlu juga diambil kira aspek lain seperti masalah kesihatan fizikal, mental dan emosi akibat ‘terkurung’ apabila murid tidak boleh keluar rumah, berjumpa rakan, beriadah, menghadapi konflik keluarga dan pelbagai lagi masalah lain yang kadangkala tidak terjangkau dek akal.

Sesungguhnya kedudukan guru di sisi Islam sangatlah tinggi dan dipandang mulia, kerana guru adalah seseorang yang dianugerahkan ilmu oleh Allah SWT dan dengan ilmunya itu, dia menjadi perantara manusia yang lain untuk mendapatkan, memperoleh serta menuju kebaikan baik di dunia mahupun di akhirat.

Selain itu, guru tidak hanya bertugas menyampaikan ilmu, tetapi juga mendidik muridnya untuk menjadi manusia beradab dan berakhlak mulia.

Kelebihan seorang guru

Antara kelebihan seorang guru adalah:

1. Pahala yang besar

Apabila kita  menunjukkan suatu kebaikan kepada seseorang, maka dia juga akan memperoleh pahala sepertimana pahala orang yang dia ajarkan, antaranya adalah seperti mengajarkan ilmu. 

Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

“Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.” (HR Muslim, No. 1893)

Begitu juga hadis yang lain, daripada Jarir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal dengannya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun.” (HR Muslim, No. 1017)

2. Pahala yang mengalir setelah meninggal dunia

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ اَلْإِنْسَانُ اِنْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالَحٍ يَدْعُو لَهُ – رَوَاهُ مُسْلم

“Apabila seorang manusia telah  meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau  anak soleh yang mendoakan orang tuanya.” (HR Muslim, No. 1631)

Mengajarkan ilmu dan menyebarkannya termasuk dalam golongan yang memanfaatkan ilmunya selain daripada beramal dengan ilmu yang kita ada.

3. Martabat yang tinggi

Guru sebagai khazanah harta yang tidak ternilai, martabatnya diletakkan tinggi dalam Islam sepertimana tingginya martabat ilmu.

Guru juga merupakan pewaris para nabi kerana mereka menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran, sehingga semua yang ada di langit dan di bumi mendoakan mereka.

Rasululllah SAW bersabda: 

إنَّ الله وملائكته وأهل السَّموات والأرض حتَّى النَّملة في جحرها وحتَّىٰ الحوت ليصلُّون علىٰ مُعلِّم النَّاس الخير

“Sesungguhnya Allah, para malaikat dan semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, hingga semut yang ada di sarangnya dan juga ikan (di lautan), semuanya berselawat kepada muallim (orang berilmu) yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (HR Tirmidzi, No. 2865, Hadis Hasan)

4. Guru golongan yang beruntung

Guru yang berilmu, berwawasan luas di bidang tertentu akan berjaya membawa orang lain kepada kebaikan dan mencegahnya daripada keburukan.

Hanya orang-orang berilmu, berwawasan luas yang menginginkan orang lain menjadi baik yang mampu menjalankan tugas-tugas tersebut.

Islam mendorong umatnya menjadi seorang pendidik yang berilmu, menyuruh kepada kebaikan, mencegah daripada keburukan. Bahkan, mereka digolongkan sebagai orang-orang beruntung, baik di dunia mahupun di akhirat.

Firman Allah SWT:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran: 104)

Ayat itu juga dikuatkan lagi dengan kata-kata Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang berbunyi:

الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ، مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللهِ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا

“Dunia ini dan seisinya adalah laknat (dikeji)  kecuali yang mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar.”  (HR Ibnu Majah, No. 4112 dan Tirmidzi, No. 2322, Hadis Hasan)

Maka berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW tersebut, sudah terang lagi bersuluh martabat dan kedudukan guru yang sangat tinggi dalam Islam.

Semoga para guru terus bersemangat dan tetap teguh serta bersabar dalam mendidik anak bangsa dan dalam mengharungi pelbagai cabaran pada zaman ini.

Oleh itu, sebagai pelajar dan murid, wajib kita memuliakan guru dan menghormatinya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَفِ لِعَالِمِنَا

“Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi yang muda, tidak menghormati yang tua, dan tidak mengerti hak ulama (guru) kami.”  (HR Ahmad, 5/323 dan al-Bazzar, No. 2718, disahihkan oleh al-Albani – Sahih Targhib)

Begitulah antara kelebihan dan kebaikan buat seorang yang bergelar guru, perjuangan, pengorbanan, tugas dan tanggungjawab seorang guru yang tidak mudah, namun sangat mulia dan penting demi masa depan anak didik yang cerdik dan berakhlak mulia.

Jasa seorang guru sangat besar dan kita tidak akan mampu untuk membalas semua jasanya. Guru adalah pahlawan sepanjang masa.

Segak kekasih berbaju baru,
Warnanya biru songket warisan,
Terima kasih buatmu guru,
Budi jasamu tidak akan dilupakan.

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ

“Apakah sama antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Az-Zumar: 9)

 

Muhammad Hazwan Omar
Guru Tutor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia