Saat dan momen kerap kali menjadi penggerak kepada setiap kita yang hidup. Nah, namakan sahaja saat atau momen seperti ulang tahun kelahiran, kejayaan persekolahan, kejayaan SPM, matrikulasi, diploma, sarjana muda, sarjana, PhD, pertunangan, perkahwinan, kelahiran, lagi dan lagi.
Perayaan juga diraikan mengikut konsep saat dan momen. Peralihan hari baharu, minggu, bulan malah tahun baharu sering kali diraikan. Bentuk keraian bagi saat dan momen indah ini kerap kali diraikan indah juga bukan?
Anjakan kepada semua saat dan momen ini jika diamati mempunyai pasangannya. Seperti kita membalikkan cermin wajah, ia akan memberi refleksi ironi! Kelahiran dengan kematian, kejayaan dengan kegagalan, penyatuan dengan perceraian. Perayaan dengan malapetaka dan peperangan barangkali! Nauzubillah.
Bagaimana cara kita menangani situasi saat atau momen sebegini? Ada yang sabar, ada yang tabah dan tidak kurang yang rebah…
Mari kita kembali kepada fitrah alam. Bukankah setiap asal kejadian alam ini adalah berpasangan? Lelaki dengan wanita, bulan dengan bintang, langit dengan bumi, bunga dengan kumbang, aur dengan tebing dan banyak lagi.
Bentuk pasangan lain adalah kaya dengan miskin, sihat dengan sakit, muda dengan sempit dan hidup dengan mati! Kenapakah? Supaya ada keseimbangan dan sebagai tanda kita ini khalifatullah!
Tidak beriman jika kita tidak diuji bukan? Untuk apa diuji? Supaya kita layak menikmati ganjaran Allah di syurga nanti!
Saat dan momen inilah anugerah Allah kepada kita sebenarnya, dalam bentuk suka dan duka. Apa yang kita patut raikan ialah kesyukuran kita kepada nikmat Tuhan yang Maha Esa!
Azam tahun baharu
Tahun baharu menjelma lagi. 2024 tahun masihi disambut meriah serata dunia dengan suka duka di lapis masyarakatnya. Doa dan tawakal dipanjatkan, semoga perkara yang baik-baik berterusan manakala benda yang buruk dijauhkan.
Situasi begini sangat sinonim dengan masyarakat manusia tanpa mengira agama, etnisiti dan situasi politik, sosial dan ekonomi.
Ada yang meraikan dengan tembakan bunga api, sehingga ada yang menjadi korban dek tragedi! Ada yang meraikan dengan acara makan-makan, berhias-hias dan pelbagai lagi keraian. Ia tidaklah menjadi kesalahan asalkan kita faham apa yang kita lakukan. Bukankah manusia punya pilihan?
Muslimin dan Muslimat seluruh dunia kebiasaannya menyambut tahun baharu Hijrah dengan amalan membaca doa akhir dan awal tahun.
Pada hemat penulis, tidak menjadi kesalahan jika doa ini dibacakan bagi menyambut tahun masihi. Hal ini demikian kerana doa merupakan amalan yang digalakkan tanpa dikhususkan atau dikaitkan dengan waktu tertentu.
Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan.”
Dalam hadis juga disebut bahawa doa itu asas ibadah. (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan disahihkan oleh Albani)
Oleh itu, apa salahnya kalau memulakan tahun baru dengan berdoa kepada Allah.
Penulis bersetuju dengan pendapat bahawa doa boleh diamalkan pada bila-bila masa sama ada pada awal tahun, pertengahan tahun mahupun hujung tahun. Jadi, doa awal dan akhir tahun tidak termasuk dalam perkara bidaah.
Cuma apa yang perlu diperbetulkan dan diberi kefahaman ialah jangan menyandarkan perbuatan tersebut pada Nabi serta jangan mewara-warakan hadis palsu yang berkaitan dengan fadilat doa tersebut. Wallahua’lam.
Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk tujuan memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah.
Justeru, dalam kita menyambut tahun baharu, marilah kita bersama-sama berubah ke arah yang lebih baik, antara lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid serta kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir juga berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati sebagai titik perubahan ke arah yang lebih baik.
Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas.
Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT dalam mizan hasanat kita kelak. Ingatlah juga firman Allah SWT:
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun ‘kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan penyakit munafik).’” (Asy-Syu’ara’: 88-89)
Pada awal tahun masihi 2024 ini, jangan lupa memanjatkan doa untuk bersyukur di samping merangkai doa dan impian, menaburkan azam untuk menjalani hari-hari yang akan datang dengan lebih bererti.
Di sebalik kegembiraan dan keterujaan, ayuh kita berdoa agar Allah SWT membuka pintu keberkatan, memberi kita kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi setiap rintangan dalam tahun yang mendatang.
Doa akhir tahun Islam
اَللَّهُمَّ مَا عَمِلْتُ مِنْ عَمَلٍ فِي هَذِهِ السَّنَةِ مَا نَهَيْتَنِي عَنْهُ وَلَمْ أَتُبْ مِنْه وَحَلُمْتَ فِيْها عَلَيَّ بِفَضْلِكَ بَعْدَ قُدْرَتِكَ عَلَى عُقُوبَتِي وَدَعَوْتَنِي إِلَى التَّوْبَةِ مِنْ بَعْدِ جَرَاءَتِي عَلَى مَعْصِيَتِكَ فَإِنِّي اسْتَغْفَرْتُكَ فَاغْفِرْلِي وَمَا عَمِلْتُ فِيْهَا مِمَّا تَرْضَى وَوَعَدْتَّنِي عَلَيْهِ الثّوَابَ فَأَسْئَلُكَ أَنْ تَتَقَبَّلَ مِنِّي وَلَا تَقْطَعْ رَجَائِ مِنْكَ يَا كَرِيْمُ
“Ya Tuhanku, aku meminta ampun atas perbuatanku pada tahun ini termasuk yang Engkau larang sementara aku belum sempat bertaubat, perbuatan yang Engkau maklumi kerana kemurahan-Mu sementara Engkau mampu menyeksaku, dan perbuatan (dosa) yang Engkau perintahkan untuk bertaubat sementara aku menerjangnya yang bererti menderhakai-Mu. Kerananya aku memohon ampun kepada-Mu, ampunilah aku. Ya Tuhanku, aku berharap Engkau menerima perbuatanku yang Engkau redai pada tahun ini dan perbuatanku yang dijanjikan pahala-Mu. Janganlah pupuskan harapanku wahai Tuhan Yang Maha Pemurah.”
Doa awal tahun Islam
اَللَّهُمَّ أَنْتَ الأَبَدِيُّ القَدِيمُ الأَوَّلُ وَعَلَى فَضْلِكَ العَظِيْمِ وَكَرِيْمِ جُوْدِكَ المُعَوَّلُ، وَهَذَا عَامٌ جَدِيْدٌ قَدْ أَقْبَلَ، أَسْأَلُكَ العِصْمَةَ فِيْهِ مِنَ الشَّيْطَانِ وَأَوْلِيَائِه، وَالعَوْنَ عَلَى هَذِهِ النَّفْسِ الأَمَّارَةِ بِالسُّوْءِ، وَالاِشْتِغَالَ بِمَا يُقَرِّبُنِيْ إِلَيْكَ زُلْفَى يَا ذَا الجَلَالِ وَالإِكْرَامِ
“Ya Tuhanku, Engkau yang Abadi, Qadim, dan Awal. Atas kurnia-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang mulia, Engkau menjadi pintu harapan. Tahun baru ini sudah tiba. Aku berlindung kepada-Mu daripada pujukan iblis dan para walinya pada tahun ini. Aku pun mengharap pertolongan-Mu dalam mengatasi nafsu yang kerap mendorongku berlaku jahat. Kepada-Mu aku memohon bimbingan agar urusan seharian mendekatkanku pada rahmat-Mu wahai Tuhan Pemilik Kebesaran dan Kemuliaan.”
Kedua-dua doa ini boleh dibaca secara bersendirian atau berjemaah sama ada di masjid, surau, tempat kerja dan sebagainya.
Noktah azam tertunggak
Punca kepada azam yang tertunggak dari beberapa tahun lalu, dan hari ini masih tertanam racun yang perlahan-lahan merosak tubuh ialah:
- Suka beralasan
- Gagal mencapai matlamat
- Tidak berdisiplin
- Tidak merancang
- Salah dalam tindakan
Noktah kepada azam tertunggak ini ialah berazamlah untuk berubah walaupun setiap kali berazam kita kalah. Azam untuk berubah dan bangun daripada kalah itulah yang dinamakan mujahadah!
Dekagon (segi sepuluh) berjaya dan bahagia
Dalam Islam, terlalu banyak kalimah yang mengertikan dengan kebahagiaan seperti lafaz al-Falah, al-Fauz, an-Najah, as-Sa’adah dan lain-lain. Ini menandakan gesaan Islam agar kita hidup bertujuan meraih kebahagiaan bukan sekadar di dunia tetapi juga merentasi di akhirat.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minun (maksudnya):
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (2) Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia; (3) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); (4) Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – (5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: – (6) Kemudian, sesiapa yang menginginkan selain daripada yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; (7) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; (8) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; (9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – (10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”
Dr Rosfazila Abd Rahman
Pensyarah Kanan / Penyelidik
Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan
Universiti Islam Selangor (UIS)