Misi kemanusiaan A2G4: IKRAM-AQSA2Gaza berjaya – Bahagian 4 (Akhir)

Lawatan ke Parlimen Gaza

Salah satu acara misi Syaddurihal-Ilal-Quds yang disertai misi A2G4 ialah lawatan ke Dewan Parlimen Gaza.  Lawatan ini diadakan pada hari kedua rombongan berada di Gaza selepas sahaja membuat kunjungan hormat Perdana Menteri Gaza, Dr Ismail Haniyeh.

Kedatangan rombongan kami dengan dua buah bas di perkarangan Dewan Parlimen Gaza itu disambut Speaker bagi Palestinian Legislative Council (PLC), Syeikh Dr Ahmad Bahar dengan barisan Ahli-ahli Parlimen Gaza berbaris menghulurkan tangan, pelukan dengan ucapan selamat dan salam serta senyuman penuh kegembiraan di samping menghadiahkan mafla kepada anggota misi.

Bagi sukarelawan wanita, terdapat ahli Parlimen dan pegawai-pegawai Dewan parlimen wanita yang menyambut mereka. Juga dengan dakapan mesra dan hadiah mafla Palestin yang menjadi simbol yang unik bagi masyarakat Palestin khususnya dalam fasa perjuangan yang semakin menyerlah.


Anggota misi kemudian masuk ke dalam dewan yang cukup sederhana. Kelihatan tempat duduk yang tidak mencukupi dan ruang duduk yang sangat kecil serta dewan yang tidak memiliki kemudahan canggih berbanding mana-mana dewan Parlimen di dunia, namun selesa.

Majlis ringkas di dewan Parlimen ini mempersembahkan beberapa ucapan dari wakil delegasi misi dan juga ucapan Speaker Parlimen. Keseluruhannya menjurus kepada memantapkan perjuangan dan kerjasama bagi meneruskan perjuangan membebaskan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa. Wakil-wakil 19 negara Islam yang berganding bahu dalam misi kali ini sebenarnya membawa makna yang besar di dalam koordinasi perjuangan Palestin yang sedang rancak di negara-negara Islam seluruhnya.

Setelah majlis tamat, anggota misi dibawa ke khemah yang sederhana di perkarangan dewan yang kecil. Namun, layanan mesra dan penuh tradisi sungguh menyentuh perasaan. Sepinggan nasi arab dikongsi berdua dengan setin minuman ringan. Lebih terharu, Speaker Dewan sendiri pergi menemui di meja-meja anggota misi dan membuka serta membantu mengoyak-ngoyakkan daging ayam di pinggan juadah untuk memudahkan setiap mereka memakannya.

Berkunjung ke Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi

Dalam konvoi Syaddurihal-Ilal-Quds yang disertai yang disertai anggota misi A2G4, mereka turut dibawa mengunjungi Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi Gaza. Sudah menjadi tradisi murni masyarakat dan pemimpin di Gaza pada setiap kali rombongan, anggota konvoi akan disambut di hadapan pintu bangunan dengan satu barisan pegawai-pegawai utama termasuk menterinya sendiri iaitu Dr Osama al-Mazini. Mafla Palestin dihulur dan dikalungkan ke leher sebagai tanda selamat datang dan salam perjuangan.

Majlis ringkas di adakan dengan ucapan beberapa wakil delegasi. Tidak semena-mena Aqsa Syarif di sebut dan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia disampaikan kepada sidang hadirin.


Aqsa Syarif dan rakyat Malaysia disebut telah membuat sumbangan yang signifikan terhadap pembinaan dan menaik taraf sekolah-sekolah di Gaza serta sumbangan beg-beg dan pakaian sekolah. Ini termasuk juga sumbangan yang dikumpulkan oleh warga pendidik di sekolah-sekolah di Malaysia yang baru-baru ini diserahkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia melalui Viva Palestina Malaysia.

Anggota misi A2G4 turut mengambil kesempatan menyampaikan cenderahati kepada  Dr Osama berupa ‘coffee table book‘ yang merupakan koleksi gambar-gambar sukarelawan dalam misi A2G2 Ramadhan 2011. Cenderahati disampaikan oleh Dr Mohd Tahir, ahli BoT Aqsa Syarif.

Projek-projek Pendidikan Aqsa Syarif Di Gaza

Selepas berjaya ‘memecahkan sekatan’ di pintu Rafah melalui ‘Konvoi Global Kemanusiaan Jalan Darat A2G-VP5’ pada Oktober 2010, beberapa projek yang berfokus kepada membangun semula sektor pendidikan di Gaza telah dirancang dan diusahakan oleh Aqsa Syarif melalui sumbangan rakyat Malaysia.

Bermula dengan membantu membangunkan sekolah Aghsan & Afnan di Beitlahiya, Aqsa Syarif telah membantu membaik pulih beberapa sekolah di Khanyounis. Di antaranya ialah membaik pulih bangunan Sekolah Harun Al-Rashid dan pembinaan musolla Sekolah Tariq bin Zyiad juga di Khanyounis. Beberapa sekolah lagi akan menerima peruntukan bantuan untuk menaik taraf keperluan P&P pelajar-pelajar di Gaza.


Para sukarelawan Aqsa Syarif sempat bersolat di musolla yang dibina dengan kerjasama Emaar Associationn Khanyounis yang merupakan rakan NGO Aqsa Syarif yang mempunyai pelbagai projek sumbangan rakyat Malaysia. Selain itu, anggota misi sempat bermesra dengan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah tersebut walaupun mereka sedang sibuk kerana minggu peperiksaan di Gaza.

Sekolah Harun Al-Rasyid adalah sebuah lagi sekolah yang dikunjungi. Pembinaan projek baik pulih dilakukan oleh Unit Pembinaan Emaar Association. Dengan cara itu, kos pembinaan dapat dikurangkan dan lebih banyak projek akan dapat dilaksanakan.

Sumbangan tambahan kepada sekolah ini telah disampaikan oleh Ust Haris Bain. Anggota misi turut menerima penghargaan dan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan dan sijil tersebut diterima oleh Dr Mohd Tahir (gambar utama).

Ketika Ramadhan tahun lalu, Aqsa Syarif turut melancarkan projek bantuan ‘back-to-school‘, iaitu kempen bantuan beg-beg sekolah, peralatan sekolah dan pakaian-pakaian sekolah pelajar yang disampaikan pada bulan Ogos 2011 sebagai persiapan mereka ke sekolah semasa sesi persekolahan bermula di Gaza pada bulan September.

Membangun semula luar bandar Gaza

Anggota misi A2G4 berkesempatan melawat di kawasan luar bandar di bahagian utara semenanjug Gaza iaitu di daerah Jabalia dan Beitlahiya. Beberapa jenis aktiviti pertanian sudah mula dijalankan oleh para petani selepas dua tahun diganggu dan dimusnahkan oleh tentera Israel yang menyerang Gaza pada 2008-2009 dan menyebabkan hampir keseluruhan industri pertanian di Utara Semenanjung Gaza hampir lumpuh.


Tinjauan ke tempat ternakan kambing, limau dan zaitun

Antara aktiviti-aktiviti yang sedang dijalankan para petani ialah ternakan lembu, ternakan kambing, tanaman rumput untuk makanan lembu dan tanaman pertanian seperti sayur-sayuran, buah limau, buah lemon dan zaitun. Dengan beberapa bantuan luar negara, kini beberapa projek pertanian untuk membolehkan rakyat Gaza memperolehi keperluan makanan asas yang dihasilkan daripada bumi Gaza sendiri.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan Gaza yang masih dikepung oleh rejim Israel, Gaza perlu membangunkan dan menghasilkan bahan-bahan makanan dan keperluan asas. Aqsa Syarif telah terlibat dalam usaha penternakan lembu dan akan berusaha untuk beberapa projek pertanian bagi membantu Gaza terus berupaya menyediakan kecukupan keperluan makanan, Insya-Allah.

Projek bersama Islamic Society of Beit Lahia (ISB)

Misi A2G4 berkesempatan mengadakan lawatan dan kunjungan hormat ke pejabat Islamic Society of Beit Lahia (ISB). Kedatangan misi A2G4 disambut oleh Syeikh Musher Al-Mashiri, Ahli Parlimen dari daerah Beitlahiya. Turut hadir ialah Datuk Bandar Beitlahiya, Pengerusi ISB dan beberapa pemimpin masyarakat setempat.

Aqsa Syarif telah sekian lama menjalin hubungan dengan ISB dan telah menyalurkan sejumlah lebih RM600,000 untuk pelbagai projek pendidikan, kesihatan dan makanan. Sekolah Aghsan & Afnan telah dibantu semenjak 2010 lagi dengan penggemblengan dan bantuan Pertubuhan Mawaddah Malaysia yang disalurkan melalui Aqsa Syarif. Sekolah ini telah turut dilawati sebelum sukarelawan misi A2G4 tiba ke pejabat ISB.

Projek bantuan ternakan lembu tenusu kedua Aqsa Syarif di Gaza ialah di Beitlahiya setelah berjaya dilaksanakan di Jabalia. Ketika misi B2G (A2G3) yang diketuai oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, sejumlah USD15,800 (RM50,000) sumbangan untuk pembelian lembu-lembu tenusu telah diserahkan pada Januari 2012.

Tidak sebagaimana di Jabalia, di Beitlahiya pemprosesan keju masih dibuat secara kecil-kecilan. Justeru itu, Aqsa Syarif berhasrat untuk membantu meningkatkan pengeluaran produk berasaskan tenusu yang merupakan salah satu makanan utama masyarakat di Gaza.

Sebelum tiba ke Pejabat ISB, para sukarelawan A2G4 turut berkesempatan melawat klinik yang disumbangkan Aqsa Syarif. Para peserta sempat beramah mesra dengan seorang anak kecil yang sedang menunggu untuk mendapat rawatan sakit gigi.

Projek bantuan untuk klinik di Beitlahiya yang sebelum ini dibantu seawal tahun 2005 turut menerima sumbangan tambahan apabila sukarelawan misi A2G (2010) membuat kunjungan dan menyerah sejumlah EUR62,000 kepada ISB.

Dalam suasana penuh mesra, pelbagai projek dibincangkan dan salah satu yang menjadi tumpuan ialah cadangan pembinaan Pusat Aktiviti Wanita dan Pusat Al-Quran yang terletak di sebuah tanah lapang di Beitlahiya. Projek ini sangat diperlukan dan Aqsa Syarif akan berusaha membantu melalui agensi wanitanya, Rose2Rose yang kini sedang menyiapkan kompleks Darul Quran Wa Sunnah di Rafah (Selatan Gaza). Pada penghujung perjumpaan, Aqsa Syarif menghulurkan sumbangan untuk klinik di Beitlahiya yang disampaikan oleh Ust Lokman.

Beitlahiya yang terletak di Utara Gaza sememangnya satu kawasan yang paling teruk menerima serangan Israel pada 2008-2009. Pelbagai keperluan asas penduduk seperti pertanian dan infrastruktur banyak yang musnah dan perlu dibangunkan semula. Aqsa Syarif akan memberi penumpuan dan membantu pembangunan semula di kawasan Beitlahiya, insya-Allah.

Sumber: aqsa2gaza3.blogspot.com

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia