Minda Terbuka Atau Tertutup Bukan Masalahnya, Tapi…

Minda Terbuka Atau Tertutup Bukan Masalahnya, Tapi… | IKRAM

Saya sentiasa diberikan pesan untuk mempunyai minda yang terbuka (open minded). Begitulah saya diajar seawal sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti. 

Ia tersemat di dalam kepala saya bahawa mempunyai minda terbuka adalah prasyarat penting untuk bawa kita maju ke depan.

Hal ini kerana, kesediaan kita menerima idea-idea dan unsur-unsur baru dapat memberikan kita jalan yang berbeza untuk maju dan tidak membuatkan kita pegun di satu titik yang sama. 

Manakala minda tertutup (close minded) pula sering tampak buruk sifatnya. Minda sebegini akan menolak kita mundur ke belakang. 

Ia menjadi lawan kepada kemajuan kerana minda yang tertutup membuatkan kita tidak bersedia menerima idea-idea dan unsur-unsur yang baru. Kita menjadi selesa dengan apa yang sudah biasa kita fikir dan lakukan. 

Minda tertutup juga menjadi penghalang yang cukup besar untuk kita mengubah hal yang sudah sebati dengan kita kepada sesuatu yang baharu untuk diri kita. 

Mudahnya, minda terbuka itu hal yang baik – ia membawa kita ke hadapan. Sedang minda tertutup itu sebaliknya – ia menjadi lawan kepada kemajuan. 

Sisi Berbeza Minda Terbuka, Tertutup

Namun begitu, bahagian awal tulisan Prof Shaharuddin Maaruf dalam esei “Jejak Pencarian Falsafah Melayu; Ketaasuban dan Penutupan Minda Melayu” di dalam buku beliau iaitu Elit Tradisi dan Reformasi di Asia Tenggara memberikan sisi kefahaman yang berbeza ketika membincangkan tentang “minda terbuka vs minda tertutup”.

Membaca esei ini membuatkan saya berfikir semula apa yang saya fahami sebelum ini. Sebenarnya, tidaklah semudah itu – terbuka itu bagus, tertutup itu tidak – kita membuat kesimpulan dalam menentukan premis baik atau buruknya bentuk minda berkenaan. 

Bagi penulis, realitinya yang wujud bukanlah cuma minda itu terbuka dan minda itu tertutup, tetapi kata penulis, “..minda yang terbuka kepada unsur-unsur tertentu dan tertutup pula terhadap unsur yang lain.”

Tanpa sedar, minda kita ini hakikatnya memang akan terbuka kepada perkara tertentu dan tertutup pula kepada perkara tertentu.

Ia berlaku melalui proses memilih, menyaring, menerima, menolak, mengubah suai, memadam dan membina unsur-unsur budaya pada diri kita sama ada secara luaran mahupun dalaman.

Maka, bila difikirkan semula, masalahnya bukanlah pada terbuka atau tertutupnya minda kita. Tetapi menurut penulis, masalahnya adalah pada cita rasa dan selera kebudayaan kita sendiri untuk menentukan kita ini akan terbuka kepada hal apa dan tertutup pada hal yang mana.

Perkara inilah yang menentukan sama ada minda terbuka dan tertutup itu menjadi perkara yang menyihatkan atau sebaliknya.

Tahu Malu Asas Selera Budaya

Mempunyai sifat tahu malu adalah ciri utama bangsa yang mempunyai maruah. Bangsa yang bermaruah sentiasa sedar tentang kehormatan dan kemuliaan diri mereka.

Mereka akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengawal diri mereka daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Mereka juga akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengangkat kemuliaan bangsa mereka. 

Harus kita sedar bahawa apabila kita bercakap tentang tahu malu, ia bukanlah semata-mata tentang diri kita secara individu sahaja, tetapi ia juga melibatkan masyarakat secara kolektif. Ya, sebegitu besar kesan sifat tahu malu ini.

Syed Hussein Alatas menjelaskan dengan lebih luas tentang makna sense of shame. Menurut beliau; “What is meant here by the sense of shame is not shame associated with private and individual relations but a shame associated with the collectivity, with the condition of one’s fellow men. It is directed at elements threatening human welfare and dignity. It is undignified to have a dirty surrounding. It is undignified to live in a disorderly and haphazard manner. It Is undignified to be subjected to petty corruption and rude treatment. It is undignified to be cheated of your rights. It is undignified to be governed by men of criminal minds, men who spend most of their time plotting to cheat and plunder the state.

(Yang dimaksudkan di sini dengan rasa malu bukanlah malu yang dikaitkan dengan hubungan peribadi dan individu tetapi malu yang dikaitkan dengan kolektiviti, dengan keadaan sesama manusia. Ia ditujukan kepada unsur-unsur yang mengancam kebajikan dan maruah manusia. Tidak bermaruah untuk mempunyai persekitaran yang kotor. Tidak bermaruah untuk hidup dalam keadaan tidak teratur dan serampangan. Tidak bermaruah untuk dikenakan rasuah kecil dan layanan biadab. Adalah tidak bermaruah untuk ditipu hak anda. Tidak bermaruah untuk ditadbir oleh lelaki yang berfikiran jenayah, lelaki yang menghabiskan sebahagian besar masa mereka merancang untuk menipu dan merompak negara).

Meletakkan sifat ini sebagai tapak kepada selera budaya kita akan dapat mendidik kita mengawal minda ketika menerima mahupun menolak (atau menyaring) apa-apa unsur yang datang menyapa kita. Asasnya, kita akan memastikan kehormatan dan kemuliaan diri kita dipelihara; bukan dihinakan.

Ukurannya boleh dilihat kepada dua perkara iaitu (1) kompas moral dan (2) sikap pemihakan. Kompas moral adalah tanda arah ke mana kecenderungan kita sedang ditarik ketika berdepan dengan pelbagai pilihan. Adakah ia mendekati prinsip yang memuliakan, ataupun mendekati kepentingan peribadi? 

Sikap pemihakan pula adalah kepada pihak siapa kita ingin perjuangkan dan pertahankan ketika berlakunya apa-apa konflik atau pertembungan? Apakah mereka yang sedang ditindas dan dinafikan haknya atau sesiapa yang memberikan kita sejumlah wang yang lumayan atau tawaran jawatan yang menggiurkan?

Dua hal inilah – kompas moral dan sikap pemihakan – akan menentukan bagaimana selera budaya kita. Maka, kita harus perhatikan semula dalam diri kita; adakah kompas moral dan sikap pemihakan kita sedang membina selera budaya yang bermaruah?

Kita harus ingat pesan Almarhum Dato’ Dr Siddiq Fadzil. Kata beliau, “Bangsa yang berjiwa merdeka adalah bangsa yang sensitif dengan maruah dan martabatnya.” Maka, jika hilang sensitif kita (atau hilang rasa malu kita), kita akan berbuat apa-apa sahaja sesuka hati kita. 

Biarlah minda kita cepat terbuka kepada unsur-unsur yang membina dan memajukan kita kerana begitu sensitifnya kepada perkara yang dapat mengangkat martabat dan maruah masyarakatnya seperti memilih pemimpin yang berintegriti dan kompeten. 

Juga, biarlah minda kita cepat-cepat tertutup tanpa kompromi kepada unsur-unsur yang melemahkan dan memundurkan kita kerana sensitifnya kepada perkara yang mengaibkan dan meruntuhkan maruah dan martabat bangsa seperti menolak pemimpin yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa. 

Usaid Asmadi adalah aktivis IKRAM Muda yang sedang merajinkan diri menulis persoalan dan pemerhatian yang berlegar dan bergelut di dalam kepalanya untuk bacaan anda.

Rujukan:

Fadzil, S. (2022). Maqasid al-Shariah dalam Ranah Demokrasi. UNISEL Press.

Shaharuddin b. Maaruf. (2022). Elit tradisi dan reformasi di Asia Tenggara: kumpulan esei. Strategic Information and Research Development Centre.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia